Mahu Kongsi Ilmu

Semuanya bermula selepas kelahiran anak ketiga, Adlan Iman, 4, yang disahkan mengalami sindrom Williams sejak dilahirkan. Ini menyebabkan Masliza Maaris membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai Pegawai Perhubungan Awam Tentera Laut Diraja Malaysia selepas 10 tahun berkhidmat semata-mata ingin memberi tumpuan kepada Adlan.

Pada mulanya dia ragu-ragu dengan keputusan itu memandangkan kerjaya sebagai pegawai tentera menjadi minatnya sejak belajar di sekolah rendah, apatah lagi bertugas dalam bidang perhubungan awam yang memberikan peluang kepadanya untuk bergaul dengan ramai orang daripada latar belakang berbeza.

“Memang saya sukar membuat keputusan memandangkan inilah kerjaya yang menjadi idaman sejak zaman persekolahan. Namun selepas melihat Adlan yang mempunyai ciri-ciri autisme dan dan sindrom Down, saya tidak berlengah untuk bersara awal kerana dia sangat memerlukan saya.

“Tambahan pula ketika itu anak kedua, Aiman Adham turut berdepan masalah lambat bercakap dan menggunakan bahasa isyarat. Ini memaksa saya membuat pemeriksaan di hospital dan doktor mengesahkan anak kedua saya itu hanya mengalami masalah malas bercakap sehinggalah dia berusia empat tahun, barulah dia mampu bertutur dengan baik,” katanya.

Tidak cukup dengan ujian itu, anak sulung Masliza, Amirul Hakimi, 10, turut menghadapi masalah ekzema yang teruk sehingga dia tidak boleh berada di bawah cahaya matahari atau salah mengambil makanan.

Oleh kerana berdepan dengan pelbagai keadaan, Masliza tidak mampu menunggu lama untuk melepaskan jawatannya. Namun seminggu selepas bergelar suri rumah, dia mulai bosan kerana mempunyai banyak masa terluang terutama ketika anak-anak ke sekolah.

Masliza berasa dia perlu melakukan sesuatu bagi mengisi masa itu. Selepas memikirkan bakat yang ada, dia melayari Internet meninjau blog masakan yang mungkin memberikan idea kepadanya.

Walaupun ibunya adalah pembuat makanan tradisional dengan gelaran juara kuih tradisional daerah Port Dickson, tiada seorang pun anak-anak mewarisi bakat ibunya. Apa yang Masliza tahu, dia memang boleh memasak tetapi hanya menjurus kepada lauk-pauk sahaja.

“Namun keinginan saya kuat untuk membuat kek. Disebabkan ketika itu banyak program dan kelas memasak, saya mendaftar di kelas asas membuat kek di Pastry Art, Petaling Jaya. Pulang ke rumah, saya melayari laman sosial YouTube untuk mempelajari kaedah membuat kek, kek cawan dan pavlova yang menjadi manisan terhangat ketika itu.

“Sana sini pembuat kek memperkatakan mengenai pavlova kerana tidak ramai yang mampu menghasilkannya dengan sempurna. Ada yang terlalu manis dan muak apabila dimakan,” katanya.

Di Barat, pavlova menjadi menu minum petang yang dihidangkan bersama secangkir kopi pekat tanpa gula. Jadi sangat sesuailah dengan rasanya yang manis kerana mampu diseimbangkan dengan pahit kopi. Menyedari di Malaysia rata-rata masyarakat mengamalkan minuman manis bergula, jadi resipi ini tidak sesuai ditiru 100 peratus.

“Pavlova iaitu sejenis kek meringue yang diperbuat daripada putih telur dan gula halus. Jadi tidak hairan mengapa rasanya sangat manis. Jadi saya mengubah suai dengan mengurangkan kandungan gula dan hasilnya ramai pelanggan menyukainya kerana kurang manis,” katanya yang turut menghasilkan kek kahwin menggunakan hiasan figura dan sumber alam.

Ujarnya, menghasilkan hiasan yang segar, kreatif dan nampak ‘hidup’ bukanlah sesuatu yang mudah kerana keadaan cuaca turut memberi kesan kepada bahan. Pernah satu ketika figura pada kek kahwin pelanggan pecah akibat hujan pada waktu malam lantas Masliza terpaksa menyiapkannya semula.

Pavlova terhangat

Menjadikan anak-anak dan suami sebagai pelanggan pertama, percubaan Masliza menghasilkan kek, kek cawan dan pavlova mendapat pujian keluarga. Kemudian dia beralih kepada saudara-mara, jiran dan rakan sebagai hadiah hantaran manakala kek cawan untuk pesta hari jadi serta kelahiran bayi.

Dari situ, kek dan pavlova Masliza mula mendapat perhatian. Malah dia mendapat tempahan yang banyak dalam kalangan rakan-rakan serta mereka yang melayari Facebook dan Instagram Triple Sprinkles.

Bagi Masliza, perniagaan kek yang diusahakan itu bukanlah semata-mata mengejar keuntungan, sebaliknya kepuasan sebagai suri rumah tangga. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang diisi. Sebab itu dia mementingkan kualiti berbanding kuantiti.
Dia juga mempunyai rakan dalam kalangan pembuat kek yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dalam talian.

“Kami berkongsi ilmu mengenai makanan dan juga saling memberikan semangat antara satu sama lain. Jika ada kelas terutama membabitkan chef dari luar negara, kami saling berkongsi maklumat. Jika dibandingkan dengan pembuat kek berpengalaman yang sudah lama berkecimpung dalam perniagaan ini, saya dikira masih baru.

“Namun ini tidak menjadi masalah walaupun resipi digunakan sama, apabila jatuh ke tangan seseorang, ia akan menghasilkan rasa berbeza. Ini kerana setiap orang memiliki keistimewaan dari segi rasa dan mengubah suai mengikut kesukaan masing-masing,” ujarnya.

Sejak menyertai bidang ini, kefahaman Masliza mengenai seni pembuatan kek juga semakin bertambah. Misalnya apa yang membezakan hasil tangan seseorang adalah pada kualiti bahan, jumlah koko dalam coklat serta jenis tepung dan mentega digunakan. Malah jenis krim mentega juga akan memberikan rasa berbeza.

“Sebelum ini saya beranggapan ia sama saja. Namun sejak memasuki dunia masak-memasak, kefahaman mengenai jenis bahan semakin meluas. Krim mentega misalnya mempunyai fungsi berbeza.

“Misalnya krim mentega Amerika sesuai digunakan untuk kek fondan kerana ia bersifat kekal dan menjadikan kaedah piping lebih jelas dan sempurna. Krim mentega meringue pula iaitu jenis Itali atau Perancis menghasilkan rasa lebih sedap dan enak. Namun cara pembuatannya agak leceh kerana memerlukan kaedah putar yang lebih lama,” katanya.

Cabaran anak sindrom Williams

Mempunyai tiga anak dengan dua daripadanya sudah bersekolah manakala seorang menghidap sindrom Williams, sangat mencabar bagi dirinya menjadi suri rumah dan pada masa sama perlu menyiapkan tempahan pelanggan.

Namun aktiviti membuat kek hanya dilakukan selepas ketiga-tiga anaknya masuk tidur. Apa yang menjadi masalah, Adlan mempunyai masa tidur yang tidak menentu dan mampu tidak melelapkan dalam tempoh yang panjang biasanya berlarutan sehingga jam 4 pagi.

“Apa yang saya lakukan adalah menyiapkan tempahan pelanggan mengikut waktu tidur Adlan. Misalnya jika dia tidur awal jam 11 malam, ketika itulah saya menyiapkan tempahan. Jika sebaliknya, saya akan menyiapkannya pada awal pagi selepas dia dihantar ke rumah pengasuh. Namun ini semua tidak menjadi masalah kerana saya yang menetapkan jadual harian anak-anak, jadi minat saya ini tidak akan mengganggu masa mereka bersama saya,” katanya yang mengakui masa berkualiti bersama keluarga menjadi keutamaan.

Melihat penampilannya yang ramah serta mudah mesra memberi kelebihan kepada Masliza berhubung dengan pelanggan. Malah ada sesetengahnya selesa bergelar sahabat dan sering berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS). Ada juga tidak percaya yang dia seorang tentera laut dan mampu menghasilkan kek buatan sendiri.

Masliza juga turut menyangkal dakwaan yang mengatakan individu berhenti kerja dan ingin menjadi suri rumah dikatakan golongan yang gagal. Namun selepas bergaul dengan mereka, kebanyakannya golongan profesional seperti peguam, jurutera, akauntan dan arkitek yang berhenti kerja semata-mata ingin menjaga anak sepenuh masa.

Disebabkan sudah lama bekerja, golongan ini tidak boleh duduk ‘diam’ tanpa melakukan apa-apa. Sebab itu muncul kumpulan usahawan dari rumah atau dalam talian yang berpendidikan dan berjaya mempamerkan potensi diri mereka. Paling menarik apabila kisah kejayaan serta cabaran berniaga memberi inspirasi kepada suri rumah yang lain untuk memulakannya.

Walaupun dianggap masih bertatih dalam perniagaan, besar harapan Mazliza untuk melihat perniagaan yang diusahakan itu berkembang menjadi realiti sebuah butik kek. Dengan berpengalaman menghadiri pelbagai kelas anjuran chef antarabangsa dan tempatan, sudah sampai masanya ilmu atau seni pembuatan kek, pavlova dan kek cawan dikongsi bersama menerusi kelas membuat kek yang akan direalisasikan pada tahun ini.

“Saya percaya dengan ilmu dimiliki, sedikit pengalaman serta kebolehan dalam berkomunikasi, saya semakin yakin melakukannya. Insya-Allah saya akan menyewa studio untuk kelas memasak yang akan diadakan pada tahun ini,” katanya yang mengamalkan sifat jujur dan ikhlas dalam berniaga.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

575 views