Mahu Pasar Ke Seluruh Negara

Takdir Allah menemukan saya dengan biskut ini. Ketika menginap di sebuah inap desa di Batu Pahat, Johor, tuan rumah berpesan supaya makan kuih-muih yang dihidangkan di atas meja tetamu. Ia rezeki yang tidak mungkin ditolak. Antara yang terhidang ialah biskut yang menimbulkan rasa pelik di hati penulis. Namanya biskut belinjo bermadu.

Selepas menikmati beberapa keping, penulis tidak tunggu lama untuk berhubung dengan pembikinnya dan mengatur temu janji segera di kediamannya di Parit Sulong, Batu Pahat.

Di Malaysia, kita mungkin biasa mengenali belinjo atau melinjo sebagai emping yang digoreng menjadi keropok. Di Indonesia, ia lebih popular dengan pelbagai kegunaan. Pucuk daun mudanya dijadikan sayuran. Ada yang memasak pucuk belinjo dengan resipi masak lemak dicampur tempe.

Bijinya dijadikan emping dan digoreng sebagai keropok yang biasa kita nikmati itu. Sekarang ini pula ada peniaga belinjo di negara kita yang menjual produk itu yang sudah disira menjadi pedas, manis dan masin.

Nama belinjo mungkin juga disebut lain di negeri dan daerah tempat tinggal kita di seluruh Malaysia. Ada yang memanggilnya belinjau, melinjau, malinja dan pelbagai nama lain lagi. Ada antara kita mempunyai pokok ini di sekitar rumah di kampung dan ada yang langsung tidak mengenali rupa bentuk pokoknya.

Ruhayah Asahari, 40, yang membawa jenama Alleeya Cookies sempena gabungan nama dirinya, suami dan anak tunggal mereka mula menjual biskut belinjo bermadu sekitar enam tahun lalu.

Guru tadika sekolah agama Johor itu mula membuat biskut pada 2003 sebagai menambah pendapatan sampingan kini semakin seronok berniaga kerana gembira dengan pulangannya.

“Saya mula membuat biskut belinjo bermadu ini apabila ia dibuat oleh kawan-kawan. Ia memang mengambil idea daripada biskut emping jagung bermadu yang biasa dihasilkan. Resipi kemudian diolah supaya ia lebih sempurna dan lazat,” katanya.

Menurut Ruhayah, sekiranya resipi tidak kena, ia boleh jadi terlampau keras, berterabur atau terlalu rapuh. Jadi mendapatkan resipi yang betul memang sangat perlu.

Kejayaan Ruhayah bersama biskut belinjonya semakin ketara kerana tahun ini saja pada Ramadan lalu, dia berjaya menjual sehingga 5,000 balang biskut belinjo. Dia bertuah mempunyai pekerja yang berpengalaman dan cekap sehingga boleh menyiapkan 80 loyang sehari.

Musim raya ialah musim bonus bagi kebanyakan penjual kuih termasuk Ruhayah kerana jualan harian biasa tidak sebanyak musim itu. Tetapi ia tetap ada terutama permintaan daripada ejen dan pelanggan tetap yang mahukan kuih itu di luar musim perayaan.

Pelanggan dan penggemar biskut belinjo bermadu Ruhayah sudah melangkaui Batu Pahat hingga ke Johor Bahru, Melaka dan juga Kuala Lumpur. Ia belum meluas ke seluruh Malaysia, tetapi tidak mustahil dalam masa terdekat dengan promosi ejen dan daripada hebahan mulut ke mulut, biskut belinjo Ruhayah ini boleh terkenal ke seluruh negara.

“Di daerah saya dan di Johor, kebanyakannya sudah tahu mengenai biskut ini dan mereka tak terkejut sangat. Tetapi bagi orang luar, mereka rasa sedikit pelik. Belinjo dibuat biskut?” katanya.

Memang itulah yang penulis sendiri rasai kerana belinjo pada hakikatnya sedikit pahit. Mungkin keistimewaan sisi rasa yang lain iaitu gabungan pahit dan lemak membuatkan ia mudah menarik selera.

Tidak menafikan belum ramai yang membuat biskut belinjo seperti dirinya. Walaupun tetap ada, Ruhayah tidak merasakan ia satu masalah.

“Biskut ini sentiasa mendapat sambutan. Walaupun ada pesaing ia tidak harus dijadikan masalah kerana cita rasa pelanggan tidak sama,” tegas anak jadi Parit Sulong itu.

Menggunakan belinjo sebagai bahan utama juga bukan mudah dan ada risikonya sendiri.

“Apabila tiba musim perayaan, mendapatkan bekalan belinjo memang payah dan saya perlu membeli beratus-ratus kotak belinjo daripada pembekal,” katanya.

Selain itu menurut Ruhayah, harga akan melambung naik. Memilih belinjo yang baik juga bukan mudah. Untuk menjamin rasa yang sedap, belinjo perlu daripada gred terbaik saja.

“Belinjo juga tidak tahan lama dan perlu berhati-hati dalam proses penyimpanannya. Ia mesti disimpan di tempat kering.

“Penggemar biskut belinjo terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak. Orang dewasa memang mudah suka. Cuma kanak-kanak ada yang tidak suka sebab rasanya yang sedikit pahit. Tetapi ada juga kanak-kanak yang menggemarinya,” katanya.

Perniagaan Ruhayah asalnya kecil dan beroperasi dengan modal dan ketuhar kecil di ruang tamunya saja, tetapi sekarang tidak lagi. Ketuhar sudah semakin besar bagi memenuhi kapasiti tempahan.

“Dulu loyang pun saya ada tiga saja kerana harganya mahal. Sekarang alhamdulillah, untuk membuat biskut dengan jumlah yang banyak tiada masalah,” katanya.

Resipi yang diolah Ruhayah memang menjadikan biskut belinjonya sedap kerana ada gabungan antaranya madu, gula dan badam. Hiasan ceri hijau dan merah pula menambah rasa dan ceria biskut itu.

“Ketika mula membuat biskut belinjo ini saya tidak terfikir pun ia akan jadi sebesar ini dan mendapat sambutan. Kebanyakan orang tua yang tidak suka biskut emping jagung apabila diberitahu ia belinjo terus mencuba dan menyukainya sebab memang ramai masyarakat kita yang menggemari belinjo,” katanya.

Tahniah kepada wanita kreatif ini dalam menghasilkan biskut unik sebegini apatah lagi mampu menambah pendapatan keluarga.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,529 views