Makan Ikan Jantung Sihat

Makanan laut terutama ikan mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan tubuh kerana ia kaya dengan kandungan asid lemak penting omega-3, mineral, antioksida dan vitamin.

Pengambilan makanan laut dalam jumlah yang mencukupi menyumbang kepada keperluan protein yang membantu meningkatkan metabolisma, seterusnya menggalakkan penurunan berat badan.

Kandungan nutriennya juga mampu menjaga kesihatan dan mengelak daripada risiko penyakit yang biasa berlaku dalam masyarakat seperti berat badan berlebihan, kencing manis, kardiovaskular, serangan strok dan masalah lemak dalam salur darah iaitu aterosklerosis.

Antara ikan yang sememangnya berkhasiat ialah salmon yang menjadi sumber kepada protein, kumpulan vitamin B, vitamin D dan asid lemak omega-3.

Menurut Bahagian Pangkalan Data Nutrien Pertanian Kebangsaan Amerika Syarikat, tiga auns atau 85 gram salmon yang dimasak mengandungi 22 gram protein, tujuh gram lemak dan lima gram asid lemak sihat.

Kadar trigliserida yang tinggi boleh menyumbang kepada penyakit jantung dan pengambilan ikan serta makanan tambahan minyak ikan boleh mengurangkan risiko berkenaan sehingga 50 peratus.

Pengambilannya dikatakan mampu melindungi seseorang daripada serangan jantung dan meningkatkan tahap kesihatan pesakit yang mempunyai masalah kegagalan jantung akibat salur darah tersumbat serta mengurangkan kadar tekanan darah tinggi.

Tuna banyak khasiat

Selain salmon, ikan tuna bukan sekadar lazat dan digemari ramai tetapi ia juga sarat dengan khasiat seperti mineral, selenium, magnesium, potasium, kumpulan vitamin B kompleks dan omega-3.

Ia baik untuk kesihatan jantung seperti mengelak masalah ritma degupan jantung tidak sekata, mengurangkan risiko darah beku, membekalkan kolesterol baik pada tubuh, mengurangkan kesan kolesterol bahaya, membantu mengurangkan masalah radang, seterusnya menghalang arteri daripada tersumbat dengan plak lemak yang terkumpul dalam badan.

Kandungan tinggi vitamin B6 dalam tuna bersama asid folik, membantu melindungi dinding arteri daripada risiko aterosklerosis, seterusnya mengelak masalah darah tinggi yang menjurus kepada serangan jantung.

Tuna juga baik untuk kesihatan mata kerana omega-3 yang ada pada ikan berkenaan mampu menentang masalah degenerasi makula mata, satu keadaan yang mana penglihatan merosot dan antara risiko yang banyak menyerang mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

Kajian yang dijalankan mendapati pertambahan pengambilan omega-3 boleh mengurangkan sindrom mata kering iaitu punca utama dan aduan yang sering didengar daripada kebanyakan orang.

Ia juga dikatakan boleh menghalang masalah hilang ingatan seperti Alzheimer kerana membantu pengaliran darah yang lancar ke otak dan mengurangkan keradangan di otak.

Selain itu, tuna dikatakan mampu meningkatkan mood seseorang dan mengurangkan perasaan tertekan yang dialami apabila aliran darah menjadi lancar, membantu fungsi otak, hormon dan sistem pertahanan badan.

Murah tapi berkhasiat

Ikan kembung yang digemari ramai terutama di Malaysia juga mempunyai banyak khasiat kepada tubuh sehingga ada yang mengatakan makan ikan kembung memberi 1,500 kali lebih kebaikan daripada mengambil ubat.

Ini kerana ia kaya dengan kandungan mineral, vitamin dan asid lemak. Ikan ini mempunyai 13 jenis vitamin, sembilan jenis mineral dan lima asid lemak penting.

Ikan yang hidup di laut dalam itu mempunyai vitamin A, D, E dan K serta tiamin, riboflavin, niacin, B6, folat, B12, asid pantotenik dan choline serta kaya dengan kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, potasium, sodium, zink, tembaga dan selenium.

Berasal dari Lautan Atlantik, Mediterranean dan Hitam serta mempunyai banyak jenis, ia dikatakan mampu membuatkan darah seseorang lebih cair, seterusnya mengelak serangan jantung selain menjadikan salur darah lebih kuat.

Ikan kembung juga dikatakan boleh mengawal kadar pengeluaran hormon.

Dengan mengurangkan pembekuan darah, ikan kembung mampu menghapuskan pemendapan kolesterol serta mengurangkan kolesterol merbahaya dan tekanan darah.

Ikan yang boleh didapati pada harga murah itu juga dikatakan mampu menghalang penyakit kardiovaskular, menguatkan sistem imun, memperbaiki fungsi organ yang lemah oleh penyakit dan mengawal metabolisma.

Pada masa sama, ia juga dikatakan membantu dalam mengurangkan kesakitan migrain, artrosis, artritis serta meningkatkan aktiviti otak dan dengan itu, mening-katkan memori.

Biarpun kecil, ikan bilis juga mempunyai manfaat yang besar kepada kesihatan tubuh badan kerana ia adalah sumber asid lemak poli tidak tepu, menjadikannya baik untuk kesihatan jantung.

Ikan bersih

Ikan bilis juga antara makanan laut paling bersih kerana ia mempunyai kurang kandungan toksin alam sekitar dan raksa merbahaya memandangkan kitaran hidupnya yang pendek.

Kandungan protein dalam ikan bilis penting bagi pertumbuhan dan pembaikan tisu penghubung dan selular, selain membantu memberikan kulit lebih sihat.

Menambah ikan bilis dalam diet secara tetap boleh membantu menghalang masalah jerawat, membuatkan kulit tampak lebih berseri dan membantu mengatasi masalah kedutan halus pada wajah.

Ikan bilis juga sumber kalsium dan vitamin A yang bagus untuk membantu seseorang mendapat gigi dan tulang yang kuat serta kesihatan mata terutama bagi mereka yang berusia.

Ikan tidak bergula

Selain ikan, makanan laut seperti belut yang banyak diambil masyarakat di Amerika Syarikat, Jepun, China, Eropah dan New Zealand mengandungi banyak nutrien.

Ia kaya dengan vitamin A, D, E, B1, B2 dan B12 yang sememangnya diperlukan bagi mendapatkan tubuh yang sihat. Belut tidak mengandungi gula tetapi tinggi kandungan fosforus dan kurang sodium.

Belut mempunyai fungsi penting dalam menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko penyakit sendi. Lebih unik, ia mempunyai kandungan yang mampu menyegarkan badan ketika cuaca panas selain membantu penglihatan, fungsi otak dan sistem saraf.

Ia dikatakan mampu mengurangkan risiko penyakit kencing manis jenis dua kerana mempunyai kandungan omega-3 yang tinggi. Di Jepun dan Eropah, belut dihasilkan dalam bentuk serbuk dan dimakan begitu saja untuk mendapat tenaga dan kecergasan.

Belut yang sudah dibekukan menjadi makanan tradisional di bahagian timur London dan belut salai pula makanan istimewa bagi masyarakat di Belanda, Jerman, Sweden dan Denmark. Orang Jepun pula menyediakan belut dalam hidangan makanan seperti unajun dan unadon.

Biarpun khasiat makanan laut sememangnya tidak dapat disangkal, ada pendapat daripada pakar pemakanan yang menyarankan supaya memilih ikan segar dari laut dalam bagi memastikan ia bebas daripada kandungan merkuri merbahaya dan pencemaran persekitaran yang lain.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

646 views