Makan Ubat Sepanjang Hayat

Sebelum menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat (AS) pada 1990, leher Dr Muhammad Nizam Osman yang kini bertugas di Universiti Putra Malaysia sudahpun bengkak tetapi oleh kerana ia tidak menyebabkan rasa sakit, maka ia tidak dianggap sebagai masalah.

Namun apabila bengkak semakin besar sehingga ramai menegurnya termasuklah pensyarah, kawan-kawan dan ibu bapa ketika balik bercuti pada 1996, barulah dia tergerak hati berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan.

Dia tidak terkejut apabila dimaklumkan mempunyai masalah tiroid kerana arwah nenek, emak dan kakaknya mengalami masalah yang sama.

“Bengkak di leher saya tidak sakit, cuma apabila ia semakin besar saya rasa tidak selesa. Doktor beritahu beng–kak ini perlu dibedah kerana ia disebabkan oleh masalah kelenjar tiroid. Doktor cadangkan kelenjar tiroid saya dibuang sepenuhnya,” katanya.

“Memang saya boleh jalani rawatan di AS (ketika belajar) tetapi emak dan ayah bertegas supaya saya dirawat di tanah air. Saya tidak kisah untuk dibedah tetapi ayah tidak bersetuju. Ayah mahu saya mencuba rawatan alternatif atau ubat kampung. Namun saya percaya doktor pakar yang mencadangkan pembedahan itu lebih arif mengenai keadaan saya dan penyakit ini.

“Seminggu selepas dibedah, saya alami kekejangan seluruh badan. Kata doktor keadaan itu disebabkan badan saya tidak mempunyai hormon tiroid langsung. Jadi saya diberikan ubat tiroksin yang perlu diambil sepanjang hayat,” kata Dr Muhammad.

Meskipun terpaksa me–ngambil ubat sepanjang hayat, baginya ia bukan satu masalah kerana ia secara tidak langsung membuatkan hidupnya lebih teratur. Ubat diambil sebaik dia bangun tidur pada jam 5 pagi disusuli sarapan pada jam 6 atau 7 pagi, malah ada masa untuk bersenam sebelum ke kampus.

Keadaan Tuan Farrahhana Tuan Jaafar, 29, jururawat di Hospital Putrajaya pula agak berbeza. Tangannya selalu menggeletar, berdebar-debar dan sukar untuk bekerja kerana berasa cepat penat.

“Degupan jantung pula mencecah 130 degupan seminit, macam orang berlari. Di samping itu, saya rasa cepat marah, sukar tidur pada waktu malam, sakit lutut dan susah hendak bangun daripada sujud ketika solat atau naik tangga. Saya juga kerap buang air – lima hingga enam kali sehari. Walaupun saya makan banyak, berat badan tetap turun sehingga jadi kurus.
“Keadaan ini memang meresahkan dan merimaskan. Ia memang memberi pengaruh besar pada kerjaya saya yang perlu berhadapan dengan pesakit setiap hari. Saya sudah agak ada masalah tiroid tetapi masih bertangguh untuk jalani pemeriksaan.
“Tetapi selepas empat bulan apabila ketaran tangan semakin kuat seperti pesakit Parkinson, saya nekad jalani ujian darah. Seperti yang diduga, memang saya ada masalah tiroid,” katanya.
Selepas makan ubat, ada satu masalah lain timbul. Kesan sampingan ubat yang dimakan menyebabkan seluruh badannya gatal sehingga mengganggu kerja.
“Doktor kata saya alah pada ubat berkenaan. Saya diberikan ubat lain dan syukur keadaan bertambah baik. Lebih menggembirakan, kini berat badan saya sudah naik dua kilogram!” katanya.
Kehidupan Azizah Othman, 34, jauh berubah selepas ‘minum’ radioaktif iodin selepas ubat yang diambil tidak mampu merendahkan paras hormon tiroid dalam badannya.
“Rawatan radioaktif iodin itu hanya perlu diambil sekali saja dalam makmal khas. Dulu saya alami masalah hipertiroid dan selepas rawatan itu, kini saya berada dalam keadaan hipotiroid. Saya bersyukur dengan keadaan sekarang kerana kualiti hidup saya semakin baik,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

641 views