Makanan Seimbang Jadikan Badan Sihat
SESETENGAH anak kecil sangat cerewet dalam pemilihan makanan hingga adakalanya mereka hanya mahu minum susu sepanjang hari dan tidak menjamah sebutir nasi walaupun usia semakin meningkat.
Biarpun sudah disuap, mereka meluahkan semula makanan atau menangis kerana enggan makan apa yang diberi. Mereka lebih suka memilih susu sedangkan susu semata-mata tidak cukup untuk melengkapkan nutrien diperlukan tubuh ketika anak sedang membesar.
Ada pula anak yang menolak makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayuran dan nasi, sebaliknya lebih gemar makan gula-gula, coklat dan segala macam makanan ringan.
Keadaan berkenaan bukan saja mengundang rasa gusar serta bimbang di kalangan ibu bapa, malah ia boleh mengganggu proses pertumbuhan yang sihat dari segi fizikal dan mental anak itu sendiri.
Pemakanan seimbang bagi anak kecil amat penting untuk membina asas yang kukuh dalam memastikan tubuh sihat, namun tidak dapat dinafikan ibu bapa sentiasa berdepan dengan cabaran untuk memilih makanan anak mereka.
Pertumbuhan pesat berlaku pada zaman kanak-kanak iaitu selain pertambahan berat badan dan keting–gian, organ penting seperti otak dan sistem penghadaman juga berkembang secara mendadak ketika usia berkenaan.
Justeru, tabiat pemakanan yang baik dan seimbang amat penting bagi peringkat usia bayi dan kanak-kanak supaya mereka memperoleh zat secukupnya untuk perkembangan badan serta minda yang sihat.
Menurut Pakar Pemakanan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Sameeha Jamil, menyediakan makanan yang seimbang untuk anak sangat penting kerana ia dapat memupuk tabiat pemakanan yang sihat dalam jangka masa panjang.
Pertumbuhan pesat berlaku pada usia penting bermula sejak dilahirkan hingga usia dua tahun dan berterusan sehingga usia anak mencapai enam tahun.
“Fasa pertumbuhan fizikal membabitkan otot, tulang, gigi, otak dan sistem pertahanan badan manakala bagi fasa perkembangan, ia membabitkan mental, kemahiran fizikal dan emosional serta sosial,” katanya ketika menyampaikan taklimat pada kursus ‘Memupuk Pemakan Sihat’ anjuran Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) di bawah program Pengasuhan Positif dengan kerjasama NSM, baru-baru ini.
Perkembangan mental membabitkan kemahiran kognitif serta kebolehan menyelesaikan masalah, manakala kemahiran fizikal membabitkan aktiviti seperti berlari atau melukis selain kebolehan sosio dan emosi seperti keupayaan untuk berkawan serta keyakinan diri anak.
Kadar pertumbuhan setiap kanak-kanak adalah berbeza kerana ia mengikut pemakanan mereka dalam diet masing-masing selain ditentukan faktor genetik.
Sameeha berkata, tenaga dan pelbagai jenis nutrien diperlukan anak bagi mencapai pertumbuhan dan perkembangan fizikal, kognitif, sosioemosi dan kemahiran fizikal yang optimum.
“Tenaga dan nutrien ini perlu diperoleh daripada pelbagai kumpulan makanan dan bukannya daripada suplemen. Diet perlu seimbang dalam jumlah yang sederhana dan mempu–nyai kumpulan pilihan makanan.
“Ibu bapa perlu ingat B, M dan V yang membawa maksud seimbang (balance), kesederhanaan (moderation) dan pelbagai (variety) setiap kali menyediakan makanan untuk anak. Pemakanan juga perlu diseimbang–kan dengan aktiviti senaman bagi mengekalkan berat badan yang sihat,” katanya.
Pengambilan kalori yang terkawal juga perlu bagi menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan fizikal dengan memilih diet yang mempunyai pelbagai jenis seperti buah-buahan, sayuran, bijirin, gandum, daging, ikan dan susu.
Setiap kumpulan makanan mempunyai kandungan nutrien yang berbeza dan perlu dielakkan makanan tinggi kandungan gula, garam dan lemak.
Sameeha berkata, bagi bayi, mereka hanya memerlukan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan dan diperkenalkan dengan makanan secara perlahan-lahan selepas itu, selain terus diberi susu ibu sehingga usia mencapai dua tahun.
Katanya, asas diet sihat adalah mengambil makanan daripada semua kumpulan makanan dalam jumlah sederhana kerana tidak ada satu saja jenis makanan dapat memenuhi keperluan tubuh secara optimum.
“Ibu bapa juga harus menetapkan jadual pemakanan teratur kepada anak-anak supaya ia menjadi tabiat diikut dalam jangka masa panjang.
“Karbohidrat adalah sumber tenaga penting untuk membantu aktiviti sepanjang hari tetapi perlu dipilih berdasarkan kumpulan seperti gandum, bijirin dan ubi serta rendah lemak.
“Perlu diingat karbohidrat perlu diambil secara teratur sepanjang hari bagi membekalkan tenaga yang konsisten dan pilih karbohidrat daripada jenis kompleks dan tinggi kandungan serat,” katanya.
Sayur juga perlu diambil bagi memastikan anak mendapat vitamin, galian, phytokimia dan serat yang dapat menggalakkan sistem pencernaan yang baik serta meningkatkan pertahanan badan.
Paling penting, jangan sekali-kali menggantikan khasiat sayur dengan buah-buahan atau sebaliknya, tetapi perlu menggalakkan anak mengambil pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan.
Jenis sayuran yang boleh diamalkan termasuk bayam, kubis, tomato dan lobak merah. Ia haruslah segar dan tidak dimasak sehingga layu kerana nutrien yang ada akan hilang.
“Kumpulan makanan seperti ikan, daging, tenusu dan telur termasuk kacang dal, tempe dan kacang merah boleh diberikan kepada anak kerana ia mengandungi protein yang tinggi.
“Protein membantu pertumbuhan otot selain menyalurkan mineral penting seperti zat besi dan asid lemak omega-3, namun daging yang dipilih perlu bahagian yang tidak berlemak dan buang kulit sebelum memasak.
“Susu dan produk tenusu seperti keju juga penting kerana ia tinggi protein, vitamin dan mineral. Pengambilan susu perlu diamalkan sepanjang hayat kerana ia penuh dengan zat, tetapi susu pekat manis tidak mengandungi zat seperti susu lembu,” katanya.
Apa pun, lemak, minyak, gula dan garam juga diperlukan tubuh untuk berfungsi pada tahap optimum tetapi perlu diambil dalam jumlah yang sedikit.
Susu serta produk tenusu boleh diambil secara sederhana antara satu hingga tiga hidangan sehari, sayuran pula tiga hidangan sehari, kumpulan protein diambil setengah hingga dua hidangan sehari, buah-buahan dua hidangan sehari manakala bijirin dan gandum boleh diambil antara empat hingga lapan hidangan sehari.
Contoh kuantiti yang betul bagi hidangan kumpulan makanan bagi sehari contohnya, sayuran berdaun hijau dihidang mengikut satu cawan (mentah), sayuran berakar (lobak merah) setengah cawan manakala sayuran jenis buah (tomato) dua biji saiz sederhana atau sayuran krusiferus (seperti kubis) setengah cawan (sudah dimasak).
Hidangan mengikut kuantiti betul juga boleh dilihat dalam contoh kumpulan karbohidrat bagi sehari seperti nasi (satu cawan), bubur (dua cawan), roti (dua keping) dan bijirin sarapan (satu cawan).
Contoh hidangan buah dalam sehari pula adalah jambu batu (setengah biji), tembikai (satu potong) atau limau (satu biji).
Sameeha berkata, masa makan perlu ditetapkan secara teratur membabitkan sarapan, makan tengah hari dan malam selain snek sihat dalam jumlah yang sederhana bagi memberikan tenaga sepanjang hari kepada anak.
“Snek sihat seperti buah, susu, roti, keju dan biskut boleh diberi dua jam sebelum makan utama contohnya pada jam 10 pagi dan 3 petang setiap hari supaya ia tidak mengganggu pemakanan yang lain,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/09