Makanan Tentukan Kesihatan Diri

TIDAK dinafikan setiap individu mahu kesihatan mereka berada pada tahap optimum, sama ada dari segi fizikal atau mental. Namun cara hidup yang semakin pantas, sibuk dan sentiasa mengejar masa menyebabkan ramai hilang fokus hingga mengabaikan diri demi mencapai kejayaan yang bersifat materialistik.

Walaupun wang yang dicari, ia bukan penyelesaian kepada segala persoalan hidup dan apabila kesihatan merosot, kualiti hidup juga merudum hingga menyebabkan seseorang itu menjadi murung.

Kesihatan mental dan fizikal saling berkait rapat. Kedua-duanya perlu bergerak seiringan kerana sekiranya mental tidak sihat, ia akan memberi kesan negatif kepada fizikal dan begitu juga sebaliknya.

Perangkaan di negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat menunjukkan kes bunuh diri banyak berlaku. Ini terjadi apabila wujud masalah mental akibat pengurusan minda yang tertutup, harapan tinggi yang tidak tercapai serta tekanan hidup yang mendorong perbuatan negatif itu.

Antara faktor yang menyumbang kepada kes bunuh diri semakin meningkat adalah masalah pengangguran, ekonomi, kemurungan dan tekanan daripada masyarakat sekeliling.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Khaidzir Ismail berkata, minda adalah bahagian yang paling penting pada tubuh dan sekiranya ia tidak dijaga, pemikiran seseorang menjadi bercelaru hingga menyebabkannya gagal mengurus diri serta hidup dengan baik.

Apabila mental menjadi tidak sihat termasuk mengalami tekanan akibat masalah hidup seperti putus cinta, bergaduh dengan rakan atau bercerai, hormon menjadi tidak seimbang hingga ia kelihatan pada kulit.

“Kulit boleh timbul ruam dan kering akibat hormon yang bercelaru disebabkan tekanan pada minda. Kadangkala kita ingatkan kulit kering kerana tidak sapu losen tetapi sebenarnya ia terjadi kerana stres.

“Apabila mental tidak stabil, perubahan pada tubuh dapat dilihat dengan nyata, antaranya fizikal menjadi tidak terurus, rambut kusut atau kulit kering,” katanya.

Beliau berkata, sebaliknya juga akan berlaku apabila seseorang gembira dan berfikiran positif, mindanya akan tenang membuatkan hormon menjadi stabil, seterusnya kulit kelihatan cantik dan berseri-seri.

Selain pemakanan yang teratur dan seimbang, kesihatan fizikal seseorang turut mempunyai hubung kait yang rapat dengan mindanya hinggakan pemikiran yang negatif mampu dilihat pada perubahan fizikal yang mungkin menjadi tidak bermaya dan kulit kusam.

Menurutnya, pemakanan turut menyumbang kepada kesihatan diri. Apabila seseorang itu mengambil pemakanan banyak karbohidrat, tubuh akan menjadi lesu fizikal dan ia memberi kesan secara tidak langsung pada minda.

Begitu juga apabila seseorang mengambil makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi dalam diet, ia akan membuatkan diri menjadi terlalu aktif dan mungkin mudah naik marah.

“Makanan sememangnya mempunyai hubung kait dengan kesihatan mental kerana ia memberi kesan kepada kesihatan fizikal. Nutrien makanan seperti zat besi dan protein memberi kesan pada tubuh.

“Setiap makanan yang diambil mempengaruhi tubuh. Oleh itu, untuk mendapat mental yang sihat, pemakanan juga perlu dijaga kerana minda memerlukan zat daripada pemakanan yang disalurkan ke dalam tubuh,” katanya.

Dr Khaidzir berkata, seseorang itu perlu menjaga kesihatan mentalnya dalam usaha memelihara kesihatan dirinya secara menyeluruh termasuk mengambil pendekatan sentiasa berfikiran positif walaupun berhadapan dengan cabaran.

Menurutnya, setiap orang perlu mengetahui keupayaan diri masing-masing supaya mereka dapat mengawal diri mereka daripada melakukan perkara tidak sepatutnya.

“Seseorang itu tidak seharusnya suka menyalahkan pihak lain, sebaliknya menerima sebarang dugaan yang datang dengan hati yang terbuka, reda dan tenang kerana ia boleh menjaga kesihatan mental diri mereka.

“Mereka juga perlu tahu kaedah untuk mengawal diri sendiri kerana minda yang tidak tenang akan menyebabkan seseorang berasa penat dan mudah diserang penyakit, mudah meracau selain sukar menerima gurau senda rakan,” katanya.

Beliau berkata, minda perlu sentiasa positif dan menerima dugaan serta cabaran hidup dengan hati terbuka, seterusnya membuatkan seseorang memperoleh kesihatan mental yang baik.

Bagi orang Islam pula, mereka perlu menjaga solat dan sentiasa berdoa dalam usaha memperoleh ketenangan diri, seterusnya dapat menjalani hidup dengan lebih gembira.

“Selain positif dan menikmati setiap saat hidup dengan gembira, manusia perlu berkawan dan tidak seharusnya berseorangan. Ini kerana seseorang perlu berkongsi apa yang ada dalam hatinya termasuk susah senang demi minda yang sihat.

“Seseorang juga digalakkan terbabit dalam kegiatan riadah dan aktiviti yang mampu menyibukkan diri mereka, berkawan dengan ramai orang selain mempunyai hobi bagi membuatkan minda mereka sentiasa bekerja dan berfikir.

“Ada kata-kata hikmah yang mengatakan, minda yang kosong mudah dimasuki syaitan dan ada kebenaran pada ayat itu. Oleh itu, kita perlu sibukkan diri dengan perkara berfaedah,” katanya.

Cara mendapat minda yang sihat:

Tahu keupayaan diri sendiri

Mengambil pemakanan seimbang

Berfikiran terbuka

Berfikir secara positif

Reda dengan dugaan

Sibukkan diri dengan aktiviti berfaedah

Beriadah

Berkawan dengan ramai orang

Bersolat dan berdoa

Kongsi perasaan

Kesan mental tidak tenang:

Kulit menjadi kering dan kusam

Timbul ruam

Hormon bercelaru

Penampilan kusut

Mudah tersinggung

Mudah penat

Mudah diserang penyakit

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/09

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

780 views