Makanlah Telur Betul-betul Masak

PERMUKAAN kulit telur ayam yang kelihatan bersih, segar dan tidak retak bukan jaminan telur itu tidak tercemar.

Hakikatnya, telur itu masih berisiko tercemar oleh kuman iaitu bakteria, virus dan fungus.

Biasanya kuman yang dikaitkan dengan telur tercemar atau tamat tempoh berpunca daripada ‘Salmonella’.

Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Dr Ida Zarina Zaini berkata, Salmonella ialah satu kumpulan bakteria yang menyebabkan keracunan makanan.

“Kebiasaannya bakteria ini ditemui pada kulit telur, tetapi Salmonella juga boleh ada dalam telur semasa pembentukan awal telur berkenaan.

“Permukaan kulit telur yang bersih dijangkiti Salmonella semasa proses bertelur atau melalui najis ayam di kawasan sekitar ayam bertelur,” katanya.

Beliau berkata, telur ayam boleh bebas daripada bakteria Salmonella selepas dipasteurisasi iaitu proses pemanasan untuk membunuh kuman pada telur berkenaan.

“Berdasarkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA), Amerika Syarikat (AS), keracunan makanan disebabkan telur tercemar oleh Salmonella dianggap perkara biasa dengan merekodkan 79,000 kes setiap tahun.

BAKTERIA Salmonella punca telur tercemar.

“Berbanding di Malaysia, kes keracunan makanan jarang berlaku dan bilangan kes direkodkan juga rendah,” katanya.

Beliau berkata, pesakit mula mengalami gejala keracunan makanan seperti sakit perut, cirit-birit, muntah dan demam dalam tempoh 12 hingga 72 jam selepas dijangkiti Salmonella.

“Bagaimanapun, pesakit boleh menghidap gejala ini dalam tempoh singkat iaitu kira-kira 30 minit selepas mengambil makanan yang dicemari Salmonella, namun ia jarang berlaku.

“Lebih banyak kuman memasuki badan, lebih cepat individu berkaitan mengalami keracunan makanan,” katanya.

Dr Ida Zarina berkata, Salmonella menghasilkan toksin yang menyerang sel di permukaan usus yang menyebabkan individu mendapat gejala cirit-birit dan muntah.

“Lazimnya, gejala yang dialami individu berlaku dalam tempoh tiga hingga tujuh hari dan akan sembuh tanpa memerlukan rawatan di hospital.

“Bakteria Salmonella sangat berbahaya kerana bukan saja boleh menyebabkan keracunan makanan malah membawa maut,” katanya.

Menurutnya, keracunan makanan disebabkan Salmonella boleh mengakibatkan kematian melalui dua cara iaitu apabila pesakit kehilangan air (dehidrasi) yang teruk dan sepsis.

PERMUKAAN kulit telur ayam yang kelihatan bersih, segar dan tanpa retak masih berisiko tercemar.

“Muntah dan cirit-birit yang teruk akan menyebabkan pesakit dehidrasi dalam badan. Ini boleh menyebabkan tekanan darah menjadi rendah dan pesakit juga boleh pengsan.

“Apabila makanan tercemar memasuki ke dalam badan pesakit, berlaku tidak balas tubuh melawan jangkitan kuman,” katanya.

Jelasnya, tujuan utama tindak balas ini untuk menyelamatkan badan dan mengawal jangkitan kuman agar tidak merebak.

“Sepsis pula adalah keadaan apabila berlaku tindak balas badan berlebihan atau tidak seimbang menghasilkan bahan kimia untuk melawan jangkitan kuman.

“Ia secara tidak langsung menyerang organ lain dalam badan dan menyebabkan kegagalan fungsi organ,” katanya.

Menurut Dr Ida Zarina, sebab itu orang ramai tidak digalakkan makan telur mentah atau separuh masak.

Sebaik-baiknya makan telur yang dimasak dengan sempurna kerana Salmonella dapat dimatikan pada suhu tinggi ketika dimasak.

Beliau berkata, langkah kecemasan yang boleh diambil individu yang mengalami keracunan makanan bergantung kepada gejala dialami pesakit.

“Sekiranya pesakit mengalami muntah-muntah, digalakkan minum air pada kadar yang sedikit, tetapi kerap bagi mengelakkan badan terdehidrasi.

“Elak makan makanan pepejal seperti nasi atau makanan berat yang lain, berminyak, pedas dan terlalu manis.

SALMONELLA menjangkiti kulit telur semasa ayam bertelur dan najis ayam.

“Sebaik-baiknya gantikan dengan bubur kerana ia akan membantu pemulihan dan menambahkan air dalam badan,” katanya.

Dr Ida Zarina berkata, jika pesakit mengalami gejala muntah dan cirit birit melebihi 24 jam, mereka digalakkan mengambil garam hidrasi oral (ORS).

“ORS penting dalam rawatan ini untuk menggantikan garam galian dan air yang hilang dalam tubuh.

“Bagaimanapun, saya menggalakkan pesakit supaya terlebih dahulu berjumpa doktor sebelum mengambil ORS,” katanya.

Menurutnya, masalah keracunan makanan perlu diberikan perhatian terutama apabila mengalami muntah dan cirit-birit teruk.

Ini kerana ia boleh membahayakan nyawa pesakit jika tiada rawatan segera.

“Pesakit perlu mendapatkan rawatan di klinik atau hospital sekiranya mengalami gejala muntah, cirit-birit yang diikuti dengan pening, demam dan pitam di rumah.

“Ini kerana ia adalah tanda bahaya disebabkan kekurangan air dalam badan atau kemungkinan kuman sudah memasuki darah,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

818 views