Maklumat CKD Di Hujung Jari

Penyakit buah pinggang kronik (CKD) adalah penyakit seumur hidup dan boleh mendatangkan kesan negatif yang amat teruk terhadap kualiti hidup pesakit buah pinggang.

Selain membataskan aktiviti harian, pesakit tahap kronik bukan sahaja terpaksa menelan ubat-ubatan dan menjaga pemakanan harian, mereka juga bergantung sepenuhnya pada mesin dialisis untuk meneruskan hidup.

Malangnya, bilangan pesakit buah pinggang di negara ini senantiasa meningkat setiap tahun. Malah, Malaysia juga dikenal pasti antara negara paling ramai pesakit buah pinggang di dunia disebabkan amalan gaya hidup tidak sihat penduduk terutama pengambilan makanan tidak seimbang.

Sebagai organisasi tidak berasaskan keuntungan yang membantu pesakit buah pinggang kurang bernasib baik, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Malaysia menjalankan pelbagai usaha bagi mempertingkatkan kesedaran awam terhadap penyakit buah pinggang sejak 46 tahun lalu berikutan pertambahan pesakit setiap tahun.

Terbaharu, NKF melancarkan aplikasi di telefon pintar sebagai satu lagi medium penyampaian maklumat penting mengenai penyakit buah pinggang dan aktiviti yayasan kepada pengguna.

Aplikasi berkenaan dengan nama NKF Malaysia menyampaikan semua maklumat yang kita ingin tahu mengenai fungsi buah pinggang dan penyakit berkaitan menerusi antara muka yang ringkas dan lebih mudah diakses, lantas menjadikan aplikasi ini mudah dilayari.

Aplikasi itu diselaraskan dengan laman sesawang NKF bagi memastikan pengguna mendapat maklumat terbaharu mengenai aktviti NKF termasuk ceramah kesihatan, kempen kesedaran dan lokasi program pemeriksaan kesihatan percuma bagi mengesan penyakit buah pinggang di seluruh negara.

Pengerusi NKF Malaysia, Datuk Dr Zaki Morad Mohamad Zaher berkata, aplikasi baharu ini juga memperkenalkan program kebajikan yang ditawarkan pihak yayasan dan cara-cara bagaimana untuk memohon bagi rawatan dialisis.

“Ini kerana, NKF memberikan subsidi rawatan sehingga RM60 bagi satu sesi kepada pesakit tidak berkemampuan. Malah, dengan tambahan subsidi sebanyak RM50 daripada Kementerian Kesihatan, pesakit hanya perlu bayar RM40 untuk sekali rawatan.

“Aplikasi ini adalah inisiatif pihak yayasan mendekati lebih ramai komuniti. Malah, sebelum ini NKF menjalin kerjasama dengan aplikasi penjagaan kesihatan, Bookdoc, yang membenarkan pengguna mencari pusat dialisis pihak yayasan dan permohonan dana kebajikan itu.

“Menerusi Bookdoc, pengguna juga boleh cari lokasi program pemeriksaan kesihatan anjuran NKF yang berhampiran dan membuat temujanji tanpa dikenakan bayaran. Sebanyak RM1 akan didermakan kepada pihak yayasan untuk menyokong aktiviti mendidik masyarakat bagi setiap muat turun Bookdoc dengan kata kunci KIDNEY,” katanya.

Katanya, NKF bekerjasama dengan pelajar Universiti Asia Pasific membangunkan aplikasi permainan dalam telefon pintar pertama dikenali sebagai Kidney Rescue. Aplikasi permainan ini dalam peringkat ujian dan bakal dimasukkan dalam aplikasi NKF Malaysia bertujuan mendidik remaja mengenai kepentingan menjaga buah pinggang dalam usaha mencegah CKD.

“CKD juga dianggap sebagai pembunuh senyap kerana perkembangan penyakit ke tahap akhir tidak menunjukkan sebarang gejala. Oleh itu, pendidikan adalah kunci bagi mencegah penyakit ini berikutan kebanyakan orang terutama dalam kalangan orang muda memandang remeh kepentingan menjaga buah pinggang sendiri.

“Disebabkan itu, pihak yayasan memanfaatkan teknologi supaya lebih ramai pengguna memiliki akses mudah kepada maklumat kesihatan dan kemudahan yang disediakan. Aplikasi NKF Malaysia dan Bookdoc boleh dimuat turun secara percuma menerusi Apple App Store dan Google Play Store,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

264 views