Malakoff Bantu Rumah Kebajikan

MEMBANTU mereka memerlukan adalah satu tanggungjawab yang cukup besar dan ia memerlukan komitmen tinggi daripada syarikat korporat untuk memberikan bantuan.

Justeru, sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menganjurkan projek gotong-royong di Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar (Al-Ansar).

Malah, ia turut menyumbang RM30,000 bagi membantu menyediakan persekitaran yang lebih kondusif untuk 250 kanak-kanak di rumah kebajikan terbabit.

Program yang dilakukan selama enam tahun berturut-turut ini turut menarik minat 50 kakitangan Malakoff berserta keluarga meluangkan waktu hujung minggu membantu memperindahkan rumah kebajikan berkenaan.

Rumah kebajikan itu dihuni mereka yang berusia antara lapan hingga 50 tahun yang tidak mempunyai rumah ataupun keluarga terdekat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Zainal Abidin Jalil, kerjasama ini dilakukan bagi berkongsi kejayaan dengan golongan kurang berkemampuan. Malah, tradisi ini mencerminkan falsafah sebenar syarikat iaitu ‘memberi khidmat’.

Katanya, penganjuran projek gotong-royong ini di bawah tanggungjawab sosial korporat – perkongsian komuniti Malakoff saban tahun.

Sejak 2005, Malakoff membantu rumah kebajikan berkenaan dari segi kewangan dengan menyediakan kemudahan pendidikan lebih baik dan menampung penyelenggaraan bangunan sekolah, kuarters kediaman serta pelbagai kemudahan lain.

Selain itu, sebuah dewan serba guna turut dibina bagi menggalakkan pembabitan kanak-kanak dalam aktiviti sukan seperti badminton, futsal, bola tampar dan sepak takraw.

Sementara itu, bagi guru besar rumah kebajikan terbabit, Ustaz Sazli Ansari, segala bantuan yang diterima selama ini adalah sesuatu yang sungguh bernilai.

“Kami amat bersyukur kerana menerima sumbangan tidak terhingga daripada Malakoff dan kakitangannya terutama apabila melihat senyuman di wajah kanak-kanak yang berada di sini.

“Saya berharap lebih banyak lagi syarikat lain akan mengikuti langkah baik ini dan membantu mereka memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan demi untuk melakukannya,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif ini dan lain-lain di bawah Perkongsian Komuniti Malakoff, layari www.malakoff.com.my.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

734 views