Mamee Chef Guna Teknik La Mian

Rakyat Malaysia tidak sah jika tidak dikaitkan dengan budaya makan. Boleh dikatakan setiap ceruk daerah di negara ini mempunyai hidangan istimewa masing-masing hingga menjadi tanda pengenalan dalam kalangan pelancong tempatan, juga luar negara.

Menariknya, budaya makan ini mula dikategorikan sebagai hobi dalam kalangan masyarakat kita dan makanan juga sering menjadi perkara pertama yang ditanya saat bertemu dengan individu lain.

Selain hidangan nasi dan lauk, juga menu Barat, majoriti gemar menikmati semangkuk mi yang bukan saja enak malah mengenyangkan.

Dan dalam pelbagai hidangan mi, mi segera paling popular dalam kalangan masyarakat hinggakan ia dinikmati semua tanpa mengenal usia.

Atas faktor itulah membuatkan MAMEE-Double Decker memperkenalkan MAMEE Chef, mi segera yang dicetuskan daripada teknik La Mian yang terkenal di China.

La Mian atau Mi Tarik diangkat sebagai pengenalan utama dalam produk MAMEE Chef ini.

Nyata MAMEE Chef bukanlah mi segera biasa kerana ia dilengkapi cebisan udang, tauhu kering dan sayuran yang dihasilkan berdasarkan gabungan resipi antara MAMEE dan Datuk Chef Ismail.

Seiring dengan visi yang dipegang chef tersohor negara itu, MAMEE Chef menggunakan ramuan segar dan rempah ratus asli terutama bagi penghasilan pes.

Selain itu, perolehan pensijilan Halalan Toyiban kepada MAMEE-Double Decker jelas menunjukkan MAMEE mengutamakan standard dan kualiti kebersihan yang tinggi dalam proses pembuatan makanannya.

Tidak ketinggalan MAMEE-Double Decker juga dianugerahkan Anugerah Putra Brand baru-baru ini bagi kategori ‘Food Stuff’ dan produk MAMEE Chef Laksa Kari diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 Mi Segera Terbaik Dunia oleh The Ramen Rater, penulis blog makanan segera popular dari Amerika Syarikat.

Penggunaan mesin yang diimport dari Taiwan dengan peruntukkan sehingga RM80 juta juga banyak membantu bagi menghasilkan mi segera yang sama rasanya seperti mi tarik.

Mesin ini mampu mengadaptasi proses seperti yang dipraktikkan oleh pembuat mi di China antaranya regangan, melentur dan ditarik sehingga menjadi untaian mi yang sangat kenyal.

Sementara itu, inovasi diangkat sebagai salah satu prinsip asas di MAMEE, justeru perubahan demi perubahan cuba dilakukan tanpa mengenepikan warisan jenama itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAMEE-Double Decker Sdn Bhd, Tan Sri Pang Tee Chew, MAMEE berterusan menjalankan kajian ke atas produk baru dan sedia ada untuk hasil lebih berkualiti.

“MAMEE tidak henti membuat kajian produk inovasi dan cara ini dapat membantu meningkatkan lagi kualiti produk MAMEE-Double Decker untuk dinikmati pengguna.

“Selain kajian inovasi ke atas produk sedia ada khususnya MAMEE Chef, beberapa produk baru akan diperkenalkan dalam tahun ini,” katanya.

Produk MAMEE-Double Decker ini boleh didapati di lebih 100 negara dan mempunyai beberapa pejabat operasi di luar negara seperti Indonesia, Thailand serta Myanmar.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

579 views