Mampu Pamer Kehebatan
Sekali pandang, logam nipis dan panjang yang dihayunkannya seakan memukul tubuh si perenang. Selepas beberapa kali diamati, rupanya logam panjang dan nipis itu digunakan sebagai alat bantuan untuk memberitahu si perenang bahawa dia perlu bersedia dengan halangan dinding di depan kepala lalu memudahkannya menukar arah.
Dan logam panjang itu pula tidaklah berat atau menyakitkan kala singgah di bahu atau kepala perenang. Ibarat jentikan perlahan pada kulit yang tidak memeritkan tapi mengejutkan saraf.
Ia sebenarnya kaedah lazim digunakan jurulatih renang bagi golongan kelainan upaya (OKU) sebagai penunjuk arah bagi perenang yang mengalami masalah penglihatan.
“Apabila deria penglihatan tidak dapat digunakan, deria lain pasti berupaya berfungsi dengan baik, justeru sentuhan dan bunyi-bunyian perlu dilakukan bagi membantu perenang istimewa ini,” ujar Lee Soon Keong jurulatih yang tanpa lelah menunggu di tepi kolam.
Sememangnya apa yang dilakukan lelaki ini juga jurulatih OKU lain amat mengagumkan. Dengan pelbagai teknik serta pendekatan yang perlu dilakukan, mereka juga perlu menetapkan tahap kesabaran tinggi agar perenang istimewa ini berjaya mencapai sasaran program.
Sejak 1996, Lee Soon Keong atau lebih dikenali sebagai Mr Lee atau Uncle Lee ini menggerakkan program renang untuk kanak-kanak dan remaja OKU.
Dan kini, sebahagian daripada ratusan anak didiknya pernah bergelar atlet paralimpik sama ada mewakili peringkat negeri juga negara.
“Saya dan beberapa sukarelawan berasakan perlunya ada program khas untuk kanak-kanak OKU ini. Kami tidak mahu mereka membesar dalam suasana terasing daripada komuniti.
“Program ini juga memberi peluang sama rata untuk mereka membuktikan kemampuan diri kerana sememangnya kanak-kanak istimewa ini mampu cemerlang dalam sukan seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Kelab Renang Kinta di Ipoh, Perak menjadi pusat pertama berlangsungnya program menarik ini. Ia seterusnya beralih ke Kompleks Renang Dewan Bandaraya Ipoh yang mampu menempatkan lebih ramai peserta juga barisan sukarelawan.
“Kami beruntung kerana kerajaan mendengar masalah dan keperluan kami. Dengan bantuan Majlis Paralimpiad Malaysia dan Majlis Sukan Negara, masyarakat Malaysia mula lebih terbuka dengan aktiviti untuk golongan.
“Ditambah lagi dengan pelancaran Pusat Kecemerlangan Paralimpiad di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, baru-baru ini, golongan OKU mempunyai kemudahan yang lebih selesa dan spesifik untuk aktiviti latihan setiap hari.
“Banyak kejohanan yang dianjurkan ketika ini juga bertaraf antarabangsa, justeru ia membuktikan golongan OKU juga mampu beraksi sama hebat seperti orang lain.
“Jika dibandingkan 10 tahun lalu, ramai yang cuba mengelak apabila kami minta bantuan, malah ada yang langsung tidak mahu dikaitkan dengan aktiviti kami atas alasan malu.
“Itu belum lagi dikira pandangan skeptikal ibu bapa kanak-kanak terbabit. Ramai yang ragu-ragu dan tidak percaya dengan kemampuan anak mereka lalu menyukarkan kami untuk memberikan perkhidmatan sepatutnya,” ujarnya.
Program untuk kanak-kanak OKU ini dimulakan dengan sesi terapi hidro bagi mengenal pasti masalah atau kesukaran yang dihadapi kanak-kanak ini.
“Kami mempunyai peserta daripada pelbagai masalah dan kesukaran. Ada yang luarannya nampak normal tapi mereka berdepan kesukaran mental. Begitu juga yang mengalami kesukaran fizikal.
“Jadi dengan adanya terapi hidro ini, setiap bahagian dalam tubuh mereka akan ‘bekerja’, otot-otot yang sebelum ini ‘tidur’ akan digerakkan semula, sekali gus berfungsi apabila diperlukan,” jelasnya.
Sememangnya saat anak didiknya bergelar atlet adalah saat terbaik untuk meraikan pencapaiannya, namun ada satu perkara yang benar-benar membuatkan Mr Lee tersenyum bangga.
“Satu saja objektif saya sejak dulu hingga kini iaitu meningkatkan tahap keyakinan kanak-kanak OKU ini dengan kemahiran dan kemampuan yang saya ada.
“Selepas sekian lama mereka dipandang dingin dan dilayan tidak sepatutnya, saya mahu mereka bangkit dengan membabitkan diri dalam aktiviti sukan seperti ini.
“Sukan bukan saja membantu menguatkan tubuh dan menjaga kesihatan, malah sukan sebenarnya dapat membantu seseorang hidup lebih gembira.
“Kanak-kanak OKU ini biasanya dilihat dengan wajah muram dan dianggap sukar untuk dikendalikan. Tapi sejurus mereka diperkenalkan dengan sukan, personaliti mereka juga berubah kepada lebih positif dan lebih disenangi.
“Saya bangga dengan pencapaian peserta program ini tapi kepuasan sebenar muncul apabila kanak-kanak ini mengambil langkah pertama untuk ke kolam renang.
“Bagi saya, ia bonus apabila mereka untuk cuba berenang sendiri hingga akhirnya berjaya ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Atas usaha untuk membantu lebih ramai kanak-kanak OKU, Mr Lee tidak kisah kerap berulang-alik antara Ipoh dan Kuala Lumpur setiap minggu.
Di saat ramai rakan sebaya lebih senang duduk di rumah melayan cucu, lelaki berusia 68 tahun ini betah menaiki bas setiap kali perlu ke Kuala Lumpur.
“Saya tidak kisah menempuh perjalanan jauh kerana saya percaya ia dapat membantu kanak-kanak OKU ini kelak. Lagipun banyak perkara dan pengalaman baru yang saya raih setiap kali keluar dari Ipoh.
“Saya kini dibantu sekumpulan sukarelawan muda di Ipoh, jadi saya tidak bimbang dengan perjalanan aktiviti di sana,” jelasnya.
Dalam masa sama, Mr Lee turut aktif dengan aktiviti kesedaran terhadap gejala lemas dan kerap diminta memberikan tunjuk ajar untuk mengelakkannya.
“Saya sendiri hampir lemas ketika kecil dulu. Sejak insiden itu saya berusaha belajar berenang dan sedar bahawa hanya mahir dalam berenang saja dapat membantu seseorang daripada lemas.
“Namun seiring usia, saya mula belajar pelbagai cara menyelamatkan dan mengelakkannya berlaku. Setiap individu perlu tahu sekurang-kurangnya teknik asas menyelamat dan mengelakkan lemas kerana ia penting sebagai salah satu survival kehidupan.
“Ditambah dengan kes lemas yang makin meningkat dalam kalangan golongan muda Malaysia ketika ini, gerakan kesedaran perlu dilakukan segera bagi mengelakkan lebih ramai lagi terkorban,” tegasnya.
Beberapa sekolah rendah sekitar Kuala Lumpur dan Ipoh mula menitikberatkan kesedaran serta langkah pencegahan dan teknik menyelamat ini. Mr Lee kini dalam rangka mengembangkan lagi program seumpamanya di negeri lain seluruh Malaysia.
Aktiviti berenang banyak manfaat
Ramai orang di negara kita yang tidak tahu berenang. Ramai juga yang takut dan cemas apabila kepala secara tidak sengaja berada di dalam air ketika mandi di sungai, laut mahupun kolam renang.
Tujuan utama belajar berenang tentu saja untuk mengelakkan lemas ketika berada dalam air. Bagi yang tidak pandai berenang juga boleh mendapat manfaat jika bersenam dalam air seperti:
- Ia aktiviti yang menenangkan – Berenang atau sebarang bentuk senaman dalam air sebenarnya memenatkan, tetapi ia juga menenangkan fikiran dan menyeronokkan walaupun anda perlu mengerah otot bekerja lebih kuat untuk bergerak dalam air.
- Biasanya berenang menjadi medan membentuk hubungan sosial yang sihat dan ia juga secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan tekanan.
- Ia membantu membentuk perilaku positif – Inilah yang akan kita peroleh sama ada berenang bersendirian atau berkumpulan. Ia meningkatkan keyakinan diri seseorang dan mengajar kita untuk jadi individu yang lebih sabar. Pada masa sama kita juga akan lebih peka terhadap keadaan di sekeliling.
- Berenang adalah satu senaman yang ada manfaat tersendiri – Tidak seperti senaman aerobik lain, berenang adalah satu-satunya senaman yang tidak memberi impak kasar kepada sistem tulang kita. Apabila berada dalam air, badan kita secara automatik menjadi ringan (kerana daya apungan air). Jika berendam separa pinggang, badan menjadi 50 peratus ringan. Pergerakan di dalam air menjadi senaman yang baik khususnya untuk mereka yang mengalami masalah sendi dan otot termasuklah pesakit artritis. Jika air kolam renang sedikit hangat, ia lebih baik kerana kehangatan air itu akan meredakan ketegangan sendi.
- Berenang meningkatkan tahap kecergasan dengan lebih cepat – Berenang adalah senaman yang memerlukan kita menggerakkan hampir ke semua otot pada satu masa. Ia secara tidak langsung akan membantu membuatkan semua otot menjadi anjal berbanding senaman lain yang hanya menggunakan beberapa otot tertentu saja.
- Berenang membuatkan jantung lebih sihat. Mengapa? Berenang adalah satu senaman aerobik yang berfungsi menguatkan jantung, membantu ia berfungsi dengan lebih cekap. Kajian juga menunjukkan berenang boleh membantu mencegah keradangan dalam badan. Persatuan Jantung Amerika Syarikat melaporkan berenang 30 minit sehari dapat mengurangkan risiko sakit jantung pada perempuan sebanyak 30 hingga 40 peratus selain menurunkan tekanan darah.
- Berenang kini disahkan sebagai salah satu kaedah paling cepat untuk mengurangkan berat dan membakar simpanan lemak berlebihan dalam badan.
- Berenang juga amat bagus untuk pesakit asma kerana ia akan meningkatkan kapasiti paru-paru, membuatkan sistem pernafasan menjadi lebih baik dan mengurangkan insiden diserang asma.
- Berenang atau sebarang bentuk senaman dalam air juga membantu mengurangkan risiko diabetes. Bagi yang sudah menghidap penyakit gaya hidup, ia akan memudahkan kita mengawal penyakit yang ada.