Manfaat Darah Tali Pusat

Sel stem adalah sel induk darah yang terdapat dalam tubuh manusia dan ia boleh menghasilkan komponen darah seperti sel darah merah, sel darah putih dan platelet. Malah, sel induk ini adalah asas pembentukan pelbagai tisu, organ dan sistem dalam keseluruhan sistem tubuh manusia.

Dua punca utama sel stem adalah sel stem dewasa yang diperoleh daripada janin yang gugur, darah tali pusat, sum-sum tulang, darah dan otak, manakala sel stem embrionik pula sel diperoleh daripada tubuh embrio yang terbentuk akibat persenyawaan luar atau teknologi pengklonan.

Sel stem berkemampuan untuk berubah menjadi kebanyakan jenis sel atau tisu apabila boleh diprogram untuk menjadi sel otot, sel saraf, sel jantung dan sel darah.

Oleh itu, sel stem ini boleh diguna untuk menjana sel dan tisu gantian bagi merawat beberapa penyakit seperti Parkinson, Alzheimer, leukemia, aplastic anaemia dan thalasaemia, angin ahmar dan radang tulang (Rheumatoid Arthritis).

Darah tali pusat adalah sumber yang baik bagi sel stem. Darah tali pusat adalah darah yang masih tertinggal dalam tali pusat dan uri selepas kelahiran bayi. Biasanya tali pusat dibuang sebagai sisa perubatan.

Ketua Pegawai Operasi StemLife Berhad (StemLife), Zahrein Redza berkata, darah tali pusat diambil sejurus bayi dilahirkan apabila tali pusat berkenaan akan dipotong oleh doktor dan dibersihkan.

“Jarum dari beg pengumpulan yang dibekalkan oleh StemLife dicucuk pada saluran vena yang bersambung dengan uri dan darah disalurkan dari tali pusat ke dalam beg pengumpulan melalui tarikan graviti.

“Proses ini perlu dilakukan sebelum uri keluar kerana darah tali pusat akan membeku jika uri sudah keluar. Biasanya proses ini mengambil masa kira-kiar lima minit dan ia tidak memudaratkan ibu dan bayinya,” katanya.

Katanya, darah tali pusat yang dikumpul akan dihantar ke makmal dan pakar akan menjalankan pemprosesan dan beberapa ujian untuk menentukan kualiti dan kuantiti sel stem berkenaan.

“Darah berkenaan juga akan diasingkan antara plasma dan darah kerana sel stem dan sel darah putih yang akan disimpan dalam satu beg khas untuk dimasukkan ke dalam tangki Cryopreservation untuk pembekuan berperingkat dalam jangka panjang.

“Tangki berkenaan mengandungi nitrogen cair dengan suhu takat beku -196 darjah Celcius. Sel yang dibekukan itu mampu bertahan selama yang mungkin selagi ia disimpan dengan cara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif StemLife, Sophian Abdul Rahman berkata, penyelidik juga kebelakangan ini mengenal pasti beberapa jenis sel stem tambahan dalam tali pusat dan penemuan berkenaan dalam teknologi sel stem membolehkan potensi sel stem dalam penyembuhan adalah tidak terhad.

“Tali pusat mengandungi darah, jeli Wharton, arteri tali pusat dan vena tali pusat. Komponen ini dilindungi oleh lapisan selaput yang dikenali sebagai selaput tali pusat. Jeli Wharton mempunyai sel stem Mesenkima (MSCs), manakala selaput tali pusat mempunyai sel stem MSCs dan sel stem Epitilium (EPSCs).

“Sel stem MSCs adalah sumber bagi pembentukan tulang dan rawan serta berpotensi untuk menjana semula tisu berkenaan, manakala sel stem EPSCs adalah sel awal bagi pembentukan kulit, tisu otot licin dan organ,” katanya.

Katanya, darah dan tisu dari tali pusat mempunyai kelebihan kerana menjadi sumber kaya dengan sel stem muda dan belum rosak akibat terdedah kepada pelbagai pencemaran dan StemLife adalah bank darah tali pusat yang berperanan menyimpan kedua-dua darah dan tisu tali pusat untuk aplikasi terapi pada masa depan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

324 views