Manfaat Sumber Alam

Konsep tradisional masih menjadi pilihan pengunjung spa kecantikan disebabkan penggunaan bahan semula jadi dan kaedah rawatan yang menepati cita rasa mereka.

Disebabkan itu, Zunika Othman memilih konsep berkenaan sejak menawarkan rawatan kecantikan yang bermula dari rumah sebelum membuka spa miliknya, Kecantikan Andaman SZ Enterprise.

“Di spa ini, saya lebih selesa menggunakan produk yang dicuba terlebih dulu sebelum ia digunakan pada kulit pelanggan.

“Kebanyakan produk menggunakan sumber semula jadi yang memberi banyak khasiat kepada kulit seperti betik, kayu manis, garam, kopi dan tepung beras,” katanya.

Menurutnya, spa berkonsepkan Muslimah yang bertempat di Serendah, Hulu Selangor itu dibuka sejak 1999 menawarkan rawatan wajah dan seluruh badan mengikut keinginan pengunjung.

Paling digemari pengunjung adalah rawatan wajah termasuk rawatan wajah kolagen, normal, resdung dan pemutihan.

Penggunaan bahan seperti getah betik dalam produk rawatan wajah itu membantu menganjal dan mencerahkan kulit wajah.

Selain itu, ia juga mengandungi sumber antioksidan untuk membantu menjadikan kulit tampak awet muda. Terdapat juga penggunaan bahan yang mengandungi ekstrak daun sirih yang mempunyai fungsi sama seperti getah betik selain membantu menutup liang pori terbuka.

Pengalamannya dalam bidang kecantikan iaitu 22 tahun berjaya mencetus idea lebih baik terhadap kaedah rawatan wajah bagi mendapatkan kesan seperti diinginkan pengunjung.

“Biasanya, sebelum melakukan rawatan, kami akan mengikut langkah demi langkah yang disarankan iaitu mencuci wajah dengan pembersih.

“Namun, di sini saya lakukan dua kaedah pembersihan sedikit berbeza iaitu dengan memulakan sapuan pembersih susu terlebih dulu bagi membuang kotoran atau alat solekan.

“Jika lakukan sendiri di rumah, bersihkan pembersih susu dengan kapas muka selepas menyapu rata pada seluruh muka dengan sedikit urutan,” katanya.

Seterusnya, sapuan bahan sentalan pada wajah perlu dilakukan bagi membantu menanggalkan sel kulit mati dan menghaluskan kulit. Pelanggan disapu dengan bahan sentalan yang mengandungi ekstrak langsat, daun sirih dan sengkuang.

Namun, individu berjerawat perlu berhati-hati supaya mengelak daripada pemakaian bahan sentalan bagi mengurangkan risiko radang kulit.

Ini diikuti sapuan pembersih wajah di seluruh muka untuk membantu membersihkan kotoran yang tertinggal selepas disental dengan bahan sentalan.

“Jenis pembersih muka perlu dipilih mengikut kesesuaian kulit kerana ia adalah rutin penjagaan wajah yang sangat penting dan perlu dilakukan setiap hari selain pembersih susu, penyegar dan krim pelindung matahari.

“Bersihkan wajah dengan air dan bukan span atau kapas muka bagi mengelakkan pori tersumbat. Di spa, saya lakukan urutan di tengkuk, bahu dan belakang badan ketika rawatan wajah dilakukan bagi membantu mengurangkan keletihan.

“Selesai stim wajah selama lima hingga 10 minit, sapuan pupur yang mengandungi ekstrak sirih dan getah betik dibiarkan dalam tempoh 15 hingga 20 minit,” katanya.

Menurutnya, sebelum menyapu lulur berkenaan, Zunika mencampurkannya dengan minyak zaitun yang mengandungi vitamin E.

Selepas pupur dibersihkan daripada wajah, penyegar dan pelindung tabir suria disapu pada muka bagi menjadikan kulit sentiasa bebas ancaman kerosakan daripada faktor persekitaran.

Selain rawatan wajah, spa berkenaan turut menawarkan khidmat rawatan badan. Bahan rawatan badan yang digunakan juga berasaskan sumber semula jadi.

Misalnya, penggunaan bahan lulur badan yang dicampur dengan ekstrak kopi dan beras pulut sebelum dicampur dengan minyak kayu putih bagi membantu melembapkan kulit.

Sebelum menyapu lulur pada badan, Zunika menyapu kulit dengan minyak terlebih dulu untuk membantu melembapkan kulit sebelum disental dengan bahan lulur selama sejam 15 minit untuk satu badan.

“Bagi pengunjung yang memilih pakej satu badan, saya menggalakkan mereka melakukan mandi susu atau rempah bersesuaian dengan kesan diinginkan pada kulit.

“Terdapat dua jenis mandian iaitu mandi susu yang berfungsi membantu menghaluskan kulit manakala mandi rempah pula menyegarkan badan,” katanya.

Urutan badan berkonsepkan tradisional juga dilakukan jika mendapat permintaan pengunjung. Biasanya, urutan dilakukan bermula daripada kaki hingga ke kepala. Gabungan urutan tradisional dan aromaterapi (menggunakan siku) dilakukan bagi membantu melegakan keletihan tubuh.

Untuk maklumat lanjut mengenai rawatan yang ditawarkan di spa milik Zunika, layari Facebook, ZunikaOthman@gmail.com.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,958 views