Manfaat Waktu Terluang

Bukan semua wanita sanggup melakukan kerja membentang sejadah sebagai persiapan jemaah lelaki menunaikan solat Jumaat, tetapi itu yang dilakukan kumpulan wanita berusia 50-an di Masjid Bukit Rangin, Kuantan, sejak setahun lalu.

Tugas dilakukan dengan penuh keredaan dan seikhlas hati itu bukan saja meringankan beban siak masjid yang sudah uzur dengan kesihatan yang kurang mengizinkan tetapi wajar menjadi ikutan kepada masjid lain setiap kali kedatangan Jumaat.

Walaupun tugas itu sekadar menghampar sejadah memenuhi ruang solat masjid, golongan wanita terbabit tidak pernah menganggap tugas mereka renyah sebaliknya dilaksanakan dengan penuh kemuliaan.

Ahli Jawatankuasa (Biro Wanita) Masjid Saidina Othman ibni Affan, Bukit Rangin, Kuantan, Saadiah Abu Bakar, 56, berkata idea membantu tugas yang kebiasaannya dilakukan tok siak masjid bermula selepas mendengar ceramah agama di masjid berkenaan.

“Ustaz dan ustazah sering mengingatkan kami untuk melakukan kerja berfaedah jika mempunyai masa selepas menguruskan rumah tangga.

“Tidak ada salahnya kita membantu orang yang memerlukan lebih-lebih lagi ini kerja mulia yang jarang dilakukan kaum wanita kecuali membersihkan ruang solat wanita saja,” katanya ditemui di masjid berkenaan baru-baru ini.

Saadiah berkata, setiap pagi Jumaat bermula jam 8.30 pagi dia bersama beberapa rakan mula membersihkan ruang solat di bahagian dalam dan luar masjid.

“Sebaik tiba, kami mengagihkan tugas masing-masing untuk menyiram pokok, menyapu sampah dan menyusun kerusi meja di bahagian luar.

“Kami lakukan seikhlas hati untuk memudahkan jemaah lelaki bersolat Jumaat. Ganjarannya hanya Allah yang Maha Mengetahui,” katanya.

Chik Yahya,57, pula berkata, kelas agama yang dihadiri memberinya keinsafan untuk melakukan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat terutama berkaitan keagamaan.

“Membantu menyusun sejadah setiap Jumaat adalah pekerjaan mulia kerana ia mengurangkan beban jemaah atau tok siak yang ditugaskan membersihkan kawasan masjid setiap hari.

“Bagi saya, kerja sukarela yang dilakukan ini pasti dibalas ganjaran yang bukan sedikit dan seharusnya direbut oleh kaum wanita yang mempunyai masa lapang di waktu pagi selepas menguruskan rumah tangga,” katanya.

Chik yang menetap di Kampung Permatang Badak berkata, dia gembira melakukan kerja itu kerana memberinya peluang memupuk ikatan persaudaraan dalam kalangan wanita yang hadir.

“Kesibukan mengurus rumah tangga mengehadkan kami bertemu antara jiran tetangga. Dengan adanya aktiviti seperti ini, kami berpeluang bertukar pendapat, mendalami ilmu berkaitan agama dan saling membantu menguruskan aktiviti yang dirancang.

“Balasan atas semua yang dilakukan ini hanya Allah Maha Mengetahui tetapi sebagai seorang Islam, kita seharusnya memanfaatkan setiap waktu terluang dengan aktiviti berfaedah untuk mendapat pahala berganda,” katanya.

Selain kerja sukarela membersih dan menyusun sejadah untuk bersolat Jumaat, mereka juga sepakat menggunakan masa terluang ‘mengoyak dan menyiat’ bahan bercetak yang mengandungi ayat al-Quran terutama kitab suci al-Quran dan muqaddam sebelum dibakar di relau yang disediakan di masjid berkenaan.

Asiah Supaat, 42, berkata, walaupun baru pertama kali didedahkan dengan aktiviti seperti itu, dia berasa teruja kerana digerakkan kaum wanita.

“Kebiasaannya, kaum wanita ini sentiasa sibuk di waktu pagi kerana menguruskan rumah tangga tetapi dengan kebijaksanaan akal fikiran, masa yang ada dibahagi sama rata.

“Jika dilakukan secara bergotong-royong, kerja yang banyak dapat disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat,” katanya.

Dia yang pertama kali berkunjung ke masjid berkenaan memilih untuk ‘menyiat’ al-Quran.

“Timbul perasaan sayu kerana terpaksa mencanai al-Quran sebelum memasukkan ke dalam plastik sampah untuk dilupuskan ke dalam relau yang disediakan di masjid ini.

“Daripada dibiarkan terus dalam almari dan berhabuk, lebih baik ia dilupuskan dalam cara yang paling diredai dan diberkati,” katanya.

Bagi Azlina Samsuri, 50, kesempatan bergotong-royong membersihkan kawasan masjid termasuk menyiram pokok adalah rutin sama dilakukan di rumahnya.

“Semua ini tidak menjadi masalah kepada jemaah wanita kerana aktiviti ini sebahagian daripada ibadat yang dituntut dalam Islam.

“Kami ikhlas melakukannya dan tidak menuntut sebarang ganjaran atau upah daripada pengurusan masjid sebaliknya kami bergotong-royong menyediakan makanan dan minuman untuk berjamu selepas bekerja,” katanya.

Sementara itu, setiausaha masjid berkenaan, Abd Aziz Awang, 70, berterima kasih kepada jemaah wanita yang sanggup menjalankan tugas berkenaan yang sebelum ini dipelopori jemaah lelaki.

“Sejak lebih setahun lalu mereka meluangkan masa bersama tok siak masjid membersihkan masjid dan menyusun sejadah malah memperuntukkan sedkit waktu merincih bahan bercetak yang mengandungi ayat al-Quran.

“Alhamdulillah, aktiviti seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada dalam kalangan jemaah masjid,” katanya.

Abd Aziz berkata, dengan kewujudan pusat pengumpulan dan pembakaran al-Quran sejak lebih setahun lalu, masjid itu semakin dikenali ramai dan menjadi tumpuan untuk kerja pelupusan al-Quran.

“Sebanyak RM25,000 hasil sumbangan kariah masjid dan individu prihatin diperuntukkan bagi membina bangunan yang dijadikan pusat pengumpulan al-Quran dan relau untuk proses pembakaran.

“Banyak aktiviti keagamaan dilaksanakan di sini seperti kelas al-Quran, fardu ain, ceramah agama dan motivasi serta kursus pengurusan jenazah,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

615 views