Mantapkan Ilmu Penyusuan

Menyusukan bayi sehingga berusia dua tahun menjadi satu cabaran besar kepada ibu muda dan bekerjaya kerana kekurangan masa bersama anak masing-masing.

Alasan utama yang diberikan ialah banyak urusan kerja mesti dilakukan hingga mereka tidak sempat mengepam susu untuk dijadikan stok susu anak tersayang.

Persekitaran yang tidak menyenangkan seperti tiada sokongan kuat daripada insan terdekat menjadikan penyusuan susu ibu tidak dapat dilaksanakan sebaiknya.

Menyedari masih ramai lagi wanita yang tidak memberikan susu badan dengan baik, Persatuan Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia (MBFPCA) mengambil langkah memberi pengetahuan dan bimbingan kepada golongan ibu terutama yang muda dan bekerjaya.

Persatuan yang ditubuhkan sejak 2010 itu sudah membimbing ramai kaunselor penyusuan susu ibu dari seluruh negara yang berperanan memberi nasihat dan semangat kepada ibu untuk menyusukan bayi mereka.

Presiden MBFPCA, Nor Kamariah Mohamad Alwi berkata, sebelum penubuhan persatuan tiada organisasi khas untuk menasihati ibu bagi penyusuan bayi.

Selepas keluar dari hospital, kebanyakan ibu muda tiada tempat yang mahu dituju bagi mendapatkan maklumat dan nasihat penyusuan susu ibu, jadi mereka mengambil remeh hal ini dengan tidak memberi susu badan kepada si kecil.

Perkara ini menyebabkan si comel kesayangan tidak mempunyai antibodi yang kuat untuk melawan penyakit misalnya bayi akan mudah demam.

Sebaliknya dengan penyusuan susu ibu, bayi lebih sihat dan tidak mudah diserang penyakit terutama jaundis yang banyak menyerang bayi baru lahir.

“Menyedari hal itu, kami berasa bertanggungjawab memberi tunjuk ajar kepada ibu di luar sana supaya meneruskan penyusuan sehingga bayi berusia dua tahun.

“Pada awal penubuhan banyak cabaran dihadapi kerana kekurangan tenaga pengajar yang mengetahui kebaikan susu ibu jadi kami terpaksa berdikari dengan mengambil maklumat melalui Internet.

“Bagi ibu di bandar, mereka mudah untuk mengakses Internet, sebaliknya ibu luar bandar mereka hanya mengetahui sedikit maklumat daripada ibu mereka dan ilmu yang diberikan itu tidak mencukupi,”katanya.

Menyedari teknik bersemuka memberi lebih kefahaman maka Nor Kamariah mengambil keputusan mewujudkan persatuan itu untuk mengajak ibu dan bapa bersama-sama mengambil tahu kebaikan susu ibu.

Pada awal penubuhan, dia pernah hampir putus asa kerana kekurangan ilmu untuk dicurahkan kepada ibu bapa, namun bantuan daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang memberi latihan selama seminggu kepada dia dan 18 peserta lain membuatkan Nor Kamariah semakin bersemangat untuk berkongsi pengetahuan.

“Selepas tamat latihan itu, saya terus membimbing kaunselor laktasi lain. Pengetahuan dalam bidang ini perlu disebarkan demi kesejahteraan bayi apabila dapat menyusu penuh selama dua tahun seterusnya menjamin kesihatan mereka daripada diserang pelbagai penyakit,” katanya.

Kini dia mampu berbangga kerana persatuan yang berpusat di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi itu mendapat sambutan apabila ramai ibu bapa datang mendengar seminar dianjurkan.

Modul disediakan juga bersesuaian dengan ibu bapa yang mahu menyusukan bayi dan memberi semangat kepada mereka meneruskan penyusuan bayi sehingga berusia dua tahun.

Lebih menggembirakan, bukan ibu muda saja yang hadir malah warga emas dan golongan dewasa turut berminat menambah ilmu.

“Bukan mudah untuk mengajak orang memberikan susu anak secara eksklusif jika tiada pengetahuan. Tugas ini sangat mencabar kerana ada sesetengah ibu tidak mahu menyusukan bayi kerana bimbang payudara akan mengendur, tetapi sebenarnya ia memberi kebaikan kerana dapat mencegah penyakit barah yang paling ditakuti.

“Melalui latihan ini, saya cuba memberi nasihat kepada ibu muda dan nampak perubahan selepas mereka mengikuti program ini apabila bersungguh-sungguh menyusukan bayi mereka,” katanya.

Beliau berharap persatuan itu akan terus berkembang memberi semangat dan bimbingan kepada kaum ibu supaya meneruskan penyusuan walaupun mempunyai banyak tugasan harian demi kesejahteraan bayi mereka.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

607 views