Mekap Umpama Seni

Bagi sebahagian wanita, tidak lengkap gaya harian mereka tanpa calitan mekap.

Namun, apabila bermekap perlu kena pada gayanya kerana sapuan mekap umpama seni. Luarannya ia kelihatan mudah dilakukan, tetapi apabila ‘diwarnakan’ hasilnya belum tentu nampak menarik.

Setiap sapuan bahan mekap perlu diadun sempurna dan rata pada keseluruhan wajah bagi mengurangkan kewujudan garis halus atau berbelak.

Selain itu, penting untuk membezakan gaya solekan untuk majlis pada siang hari dan malam, jika tidak, kecantikan wajah tidak menyerlah sepenuhnya.

Asas penjagaan kulit

Asas pemakaian mekap adalah memastikan kulit wajah sentiasa bersih iaitu dengan membersih, menyegar dan melembap wajah terlebih dulu.

Tanpa wajah yang bersih, pemakaian mekap tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

Riasan mata

Ramai masih tercari-cari tip mekap bahagian mata bagi menyerlahkan titik tumpuan pada wajah mereka. Antara yang boleh dijadikan panduan ialah penggunaan penggaris mata warna semula jadi seperti coklat.

Apabila disapukan, mata kelihatan tidak begitu garang berbanding penggunaan penggaris mata berwarna hitam.

Untuk gaya lebih ringkas dan semula jadi, letakkan secara nipis di atas dan di bawah garis mata.

Bagi menutupi kesan lingkaran gelap di bawah mata, gunakan penyamar cela terlebih dulu di bahagian terbabit. Mulakan sapuan dari bahagian dalam mata ke penghujung mata hingga sebati dengan kulit.

Mulut

Bagi mereka yang memiliki bentuk bibir yang nipis, gunakan penggaris bibir dan besarkan sedikit bahagian bawah bibir untuk mendapatkan bentuk bibir penuh.

Kemudian ratakan dengan gincu atau pelembap bibir, namun usah menggaris bibir terlalu jauh dari garis asal bibir.

Untuk mengekalkan warna gincu pula, warnakan bibir dengan penggaris bibir tadi sebelum diletakkan gincu kerana ia boleh bertindak sebagai gam dan memastikan warna gincu tidak tertanggal dengan mudah.

Pipi

Jika memiliki tulang pipi timbul yang juga satu kelebihan, beri keutamaan kepada bahagian itu. Bagi mereka yang berkulit cerah, gunakan pewarna pipi berwarna kuning kemerah-merahan dan merah jambu kusam untuk wanita berkulit gelap.

Gunakan berus pemerah pipi yang besar untuk mendapatkan hasil sapuan lebih sekata. Sapuan perlu dibuat secara serong iaitu dari bahagian tulang pipi menghala ke mulut. Gunakan satu arah sapuan saja agar warna lebih sekata.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

623 views