Melentik Bulu Mata

Untuk cantik pelbagai kaedah rawatan kecantikan sanggup dicuba wanita. Bahagian mata antara yang menjadi tumpuan kerana bagi wanita, lazimnya kesan peningkatan usia makin ketara di bahagian berkenaan.

Bagi pengasas Sureanggun Beauty House, Rahayu Ramli, antara proses rawatan yang diperkenalkan ialah melentikkan bulu mata.

Memang ada pelbagai pakej rawatan kecantikan lain tetapi paling menarik ialah proses rawatan berkenaan. Ini kerana ia berupaya mengubah penampilan wanita dalam sekelip mata tanpa perlu bersusah payah setiap hari menggunakan pelentik bulu mata ketika berhias.

“Ia bukan saja memudahkan malah mampu mengekalkan bentuk asal bulu mata secara semula jadi. Bahan yang digunakan ketika proses itu juga tidak membahayakan.

“Namun begitu, bau yang dikeluarkan losen digunakan mungkin kurang menyenangkan,” katanya ditemui di pusat kecantikannya di Jalan Danau Lumayan, Pusat Perdagangan Danau Lumayan, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.

Melalui proses rawatan terbabit, kesan melentikkan bulu mata berkenaan kekal selama tiga bulan namun ia masih bergantung kepada bentuk bulu mata.

Sekiranya wanita memiliki bulu mata asli jenis lurus, melalui rawatan terbabit, ia hanya mampu bertahan selama dua bulan sebelum kembali kepada keadaan asal.

Proses rawatan ini dibawa masuk dari China dan Taiwan yang cuba diketengahkan dalam kalangan penggemar kecantikan tempatan.

“Prosesnya memerlukan ketelitian memandangkan ia membabitkan kawasan paling sensitif di bahagian muka. Oleh itu, tidak digalakkan melakukan proses ini sendirian di rumah sebaliknya dapatkan pakar bertauliah.

“Saya yakin ia mampu mengubah penampilan wanita kerana jika kita selesa dengan apa yang digayakan, keyakinan diri lebih terserlah,” katanya.

Rahayu mula menceburi dunia perkhidmatan kecantikan sejak 10 tahun lalu termasuk menyediakan kelas mekap dan andaman.

Memulakan kerjayanya dengan menyediakan perkhidmatan rawatan kecantikan dari rumah ke rumah dia akui bukan mudah untuk berjaya jika tidak berusaha.

Terkini dia turut menyediakan kelas kecantikan kepada wanita yang ingin mencuba nasib dalam bidang ini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej rawatan kecantikan, layari www.sureanggun.com.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

657 views