Mempelai Langsing, Anggun

SELAIN pakaian pengantin, pemilihan sepatu dalam persandingan tidak harus dipandang ringan. Selain berperanan memberikan keselesaan kepada si pemakai, pelindung kaki ini mampu memberikan imej menawan, segar dan memikat terutama apabila berjalan menuju singgahsana bersama pasangan.

Biasanya sepatu dihasilkan sedondon dengan pakaian, tetapi ada juga yang berlainan warna mengikut kegemaran pengantin. Apa yang menyerlahkan sepasang sepatu bukan saja pada warna, tetapi fabrik dan perhiasan digunakan.

Berkonsepkan Golden Touch I, Galeri Saiful Sin Couture memperkenalkan rekaan sepatu unik inspirasi daripada gaya segar dan menawan. Pemilihan warna memainkan peranan penting apabila jenama ini mengetengahkan rona terang seperti biru, kuning keemasan, hijau, merah dan merah jambu pada sepasang sepatu bersama perincian manik pada hadapan dan sisi kasut.

Rekaan unik dan memikat ilham dua pereka muda, Saiful Amar dan Saiful Alif ini sesuai digayakan mempelai sama ada untuk majlis perkahwinan di taman atau dewan.

“Mempelai pasti mengimpikan sepatu khayalan dengan sedikit kelainan pada potongan serta perincian manik digunakan.

“Justeru, menerusi sedikit tinjauan kami akur dengan sedikit sentuhan glamor, moden dan elegan yang menjadi inspirasi dalam menghasilkan rekaan,” ujar Saiful Amar.

Menampilkan lapan rekaan kasut dengan warna terang disulami perincian manik pada bahagian tertentu, setiap padanan berada dalam kelas tersendiri. Lebih penting kasut digayakan mampu membuatkan mempelai bertambah langsing dan anggun.

Bagi mereka yang berminat, boleh membuat tempahan mengikut rekaan serta warna pilihan di Galeri Saiful Sin, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

695 views