Menanti Artis Pujaan

Apa ada pada secangkir kopi? Selain aromanya yang membangkitkan deria, kopi bagaikan tonik untuk segelintir individu yang ingin memulakan aktiviti hariannya.

Tapi tidak kurang juga yang mengalami alahan pada kopi hinggakan bauannya saja mampu membuatkan diri menderita sakit kepala.

Biar apapun definisi individu mengenai kopi, ia antara elemen penting dalam tamadun manusia.

Namun bagi sekumpulan gadis ini, melepak di kafe kopi bukan untuk menikmati secawan kafein, tapi lebih kepada ‘stalking’ atau memerhati sekeliling dengan harapan menemui artis kegemaran mereka.

Ia situasi biasa di beberapa kafe milik artis popular Korea Selatan. Di Seoul, dianggarkan lebih 20 kafe dan restoran diwujudkan atas nama artis dan lazimnya keuntungan diraih daripada kunjungan tanpa henti peminat.

Biarpun harga yang perlu dibayar lebih tinggi berbanding kafe lain, kafe artis atau dikenali kafe idola ini menawarkan tarikan tersendiri dilayan oleh sang selebriti terbabit.

Media sosial peminat K-Pop dibanjiri paparan mengenai layanan di kaunter oleh selebriti berkenaan, sekali gus membuatkan kafe terbabit menerima lebih banyak kunjungan berbanding kafe lain.

Bagi peminat K-Pop, sememangnya tidak lengkap kembara ke negara Hallyu itu tanpa mengunjungi kafe idola terbabit dan kesempatan yang diperoleh penulis, baru-baru ini digunakan sebaiknya untuk meneroka keistimewaan kafe itu berbanding kafe kopi yang lain.

Laluan ke Sinsa-dong ditempuhi untuk mencari lokasi kafe idola pertama kali. Selepas 20 minit sesat mencari laluan berdasarkan peta bergambar, penulis serta dua rakan pasrah menahan teksi dan rupanya jarak dari stesen kereta api bawah tanah Sinsa ke kafe Boy Who Cried Wolf (BWCW) tidak sampai dua kilometer.

Seperti yang dijangkakan, puluhan remaja perempuan memenuhi segenap ruang BWCW yang khusus dibina atas nama kumpulan EXO.

Imej, poster, tanda tangan juga mesej yang dititipkan 12 ahli EXO di segenap ruang dalaman kafe menjadi latar utama BWCW. Sememangnya bagi seorang teman yang fanatik EXO, kafe ini ibarat Disneyland untuknya. Hampir semua ingin disentuh dan hampir semua barangan yang dipamerkan ingin dibeli.

Lucunya, hanya kami bertiga yang memesan kopi sedangkan pengunjung yang majoritinya remaja perempuan serta wanita muda warga Korea Selatan sekadar berdiri di pintu dan ada yang tidak henti-henti mengambil gambar sekitar kafe.

Menariknya, setiap menu yang tertera di papan belakang kaunter dinyatakan pilihan ahli EXO, sekali gus memudahkan peminat membuat pesanan.

Kafe Super Junior

Namun tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai kopi di BWCW kerana kopi di Kona Beans yang dimiliki ahli Super Junior lebih enak, pekat dan mewah.

Kembara kopi kami di cawangan Kona Beans yang terletak di Apgujeong nyata lebih menepati cita rasa penulis. Di Seoul saja mempunyai lebih 3,000 kafe kopi sama ada rangkaian popular atau persendirian.

Kona Beans mempunyai beberapa cawangan sekitar Seoul dan satu-satunya yang terletak di Apgujeong diuruskan tiga ahli Super Junior iaitu Leeteuk, Sungmin dan Kyuhyun.

Biarpun bersifat kafe rangkaian, Kona Beans berupaya mengekalkan kualiti produk dan persekitaran yang santai. Kopi macchiato karamel yang dihidangkan di cawangan Gangnam atau Hongik pasti sama rasanya di cawangan Apgujeong.

Begitu juga pilihan pastrinya terdiri daripada variasi kek keju dan coklat yang bersaiz sederhana serta boleh dikongsi bersama.

Bagaimanapun, kafe Mouse Rabbit lebih menarik perhatian penulis kerana lokasi, dekorasi dan suasananya yang santai.

Lazimnya, kafe persendirian lebih bersifat intim dan tenang berbanding kafe rangkaian popular yang terlalu komersial.

Mouse Rabbit yang dimiliki dan diusahakan ahli Super Junior, Yesung bersama keluarganya ini menghidangkan menu sama seperti kafe lain.

Cuma yang membezakannya ialah rasa dan buatannya yang lebih peribadi. Dekorasi dalamannya juga menyenangkan seperti berada di rumah peranginan luar bandar.

Bagi peminat kopi, Nurhafizzah Jekria, 29, kebanjiran kafe idola yang ada di Korea Selatan nyata memberi lebih banyak peluang untuknya menikmati secangkir kafein.

“Ia saingan sihat dalam kalangan pengusaha kafe dan dengan adanya kafe idola seperti ini, pengusaha kafe lain pasti akan meningkatkan mutu serta tahap perkhidmatan mereka kepada pelanggan.

“Tidak dinafikan ada selebriti yang sekadar menggunakan namanya dan tidak menepati standard, tapi majoriti kafe idola ini saling bersaing sesama sendiri dalam memastikan peminat berterusan mengunjungi kafe mereka,” katanya.

Bagi peminat K-Pop, Bibi Nurshuhada Ramli, 27, pula, pengalaman mengunjungi kafe idola antara saat berharga sepanjang kembaranya ke Seoul.

“Sebagai peminat K-Pop, ia pengalaman yang perlu dirasai kerana ini salah satu cara untuk peminat merapatkan hubungan dengan idola mereka.

“Bukannya kopi atau menu yang dihidangkan jadi tumpuan, tapi lebih kepada idea, konsep serta barangan memorabilia yang dipaparkan di kafe terbabit.

“Ini juga salah satu cara untuk selebriti mengembangkan rangkaian hubungan sosial serta populariti mereka dan tidak hanya bergantung kepada persembahan atau penampilan di pentas,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

595 views