Mencapai Hidangan Seimbang Dengan Mi Segera?
Mi segera sememangnya menjadi kegilaan ramai terutamanya bagi pelajar institusi pengajian tinggi dan orang bujang di negara ini.
Populariti mi segera tidak dapat disangkal sehingga ada pelajar menjadikan ia sebagai hidangan ringkas dan cepat untuk dijual ke pada kawan sekampus.Bahkan ia juga dijadikan antara menu utama di kebanyakan restoran khususnya yang beroperasi 24 jam.
Sebabnya jelas. Ia bukan saja cepat dimasak, malah mengenyangkan apatah lagi jika ia ditambah dengan pelbagai bahan segar.
Bagi yang tidak pandai memasak juga boleh menyediakan hidangan sendiri hanya merendamkan mi segera dalam air panas selama beberapa minit.
Kalau mahu lebih khasiat, boleh tambahkan sebiji telur dan segenggam sayuran hijau.
Bagaimanapun, tahukah anda apa bahan utama untuk menghasilkan mi segera? Kebanyakan mi segera yang ada di pasaran hari ini diperbuat daripada bahan asas utama iaitu tepung gandum.
Mi segera yang siap diadun akan melalui proses separa goreng sebelum dibungkus bersama serbuk perencah.
Bagi yang tidak menggemari serbuk perencah berkenaan, anda boleh menyediakan mengikut cita rasa anda menggunakan bahan yang ada di dapur seperti bawang, halia dan cili.
Bagaimanapun, apabila bercerita mengenai mi segera, ada yang enggan meyentuhnya kerana berang gapan ia makanan tidak sihat.
Apatah lagi dengan adanya dakwaan mengatakan ia disalut dengan lilin yang menyebabkan mi segera itu tidak melekat apabila dimasak.
Hakikatnya mi segera tidak mengandungi sebarang unsur lilin. Jadi bagaimana lembaran mi itu boleh tidak melekat sesama sendiri?
Sebenarnya proses pemotongan doh menjadi bentuk lembaran panjang, dimasak dan digoreng yang membuatkan ia boleh terlerai dengan cantik apabila dimasak.
Dalam pada itu, masyarakat juga masih menganggap bahawa bahan monosodium glutamate (MSG) akan bertukar menjadi toksin berbahaya apabila ia dididihkan dalam air panas.
Andaian itu sebenarnya tidak betul sama sekali kerana MSG adalah perasa yang diklasifikasikan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat Ubatan (Food Drug Administration, FDA) sebagai selamat.
Bahkan WHO juga mengklasifikasikan MSG sebagai ‘Tidak Spesifik’, iaitu antara kategori selamat untuk bahan perasa makanan. Jadi, secara umumnya, MSG yang ditambah kepada makanan sama ada sebelum, ketika atau selepas memasak adalah bahan makanan yang stabil.
Ini bermakna, kaedah masakan itu tidak akan mengubah struktur molekularnya atau menjadi toksin meskipun apabila dididihkan dalam air panas atau dicampur dengan bahan lain.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pemakanan dan Dietetik, Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw berkata, untuk menambah khasiat kepada hidangan mi segera ia perlu ditambah dengan sekurang-kurangnya satu cawan sayuran serta diseimbangi sumber protein seperti ayam, telur, udang serta daging juga boleh ditambah dalam masakan mengikut citarasa masing-masing.
“Dengan menambah pelbagai jenis bahan tersebut bukan saja memberi lebih nutrien tetapi juga menyedapkan lagi hidangan.
“Bagi serbuk perencah pula, anda boleh menggunakan ramuan sendiri seperti menumis bawang bersama cili dan rempah ratus untuk menyediakan sup yang enak.
“Sajian bersama sup itu juga boleh dinikmati oleh kanak-kanak,” katanya.