Menilai Risiko CVD

Penyakit kardiovaskular (CVD) adalah penyebab nombor satu kematian di seluruh dunia yang disebabkan oleh gangguan pada jantung dan saluran darah. Ini termasuk penyakit jantung koronari (serangan jantung), penyakit cerebrovaskular (strok), tekanan darah tinggi, penyakit arteri periferal, penyakit jantung reumatik, penyakit jantung kongenital dan kegagalan jantung.

Bagaimanapun, serangan jantung dan strok adalah kes CVD yang paling kerap berlaku disebabkan penyumbatan yang menyekat darah daripada bergerak ke jantung dan otak. Punca biasa kepada masalah ini adalah akibat pembentukan lemak pada dinding dalam saluran darah yang membawa bekalan kepada dua organ penting berkenaan.

Punca serangan jantung dan strok juga biasanya akibat kombinasi beberapa faktor risiko seperti penggunaan tembakau, tidak melakukan aktiviti fizikal, pengambilan makanan tidak sihat dan pengambilan alkohol berlebihan.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2014, dianggarkan lebih dua juta penduduk Malaysia mempunyai risiko tinggi mendapat CVD, seramai 244,000 orang dimasukkan ke hospital akibat CVD, manakala 53,700 orang meninggal dunia kerana penyakit itu dengan 60 peratus daripadanya akibat penyakit jantung koronari (CHD).

Penyumbang risiko utama kematian akibat gaya hidup tidak sihat seperti pemakanan tidak seimbang dan amalan hidup sedentari (tidak bersenam atau bersukan). Malangnya, rawatan CVD adalah sangat mahal terutama bagi mereka yang berada di peringkat akhir penyakit.

Lebih 50,000 gegelung (stent) diperlukan rakyat Malaysia untuk masalah saluran darah ke jantung tersumbat, 300 pesakit kegagalan jantung tahap akhir memerlukan pembedahan mengimplan alat bantu ventrikal kiri (LVAD) iaitu pam mekanikal yang dioperasikan oleh bateri untuk membantu jantung mengepam darah ke seluruh tubuh.

Namun, Malaysia hanya mampu mengimplan satu atau dua LVAD dan melakukan 10,000 stent setiap tahun dengan geran daripada kerajaan kepada Institut Jantung Negara (IJN). Ini disebabkan kos peranti perubatan yang tinggi dan akses terhad kepada kemudahan perubatan dan pengurusan CVD.

Dalam usaha mengatasi masalah ini, tumpuan diberikan kepada pembangunan sistem dan peranti perubatan yang dapat meningkatkan akses perubatan dan mengurangkan kos pengurusan CVD.

Ini termasuk sistem telekardiologi bagi pencegahan, diagnosis dan pemantauan pasca rawatan, stent berkos rendah untuk penyakit koronari dan LVAD berkos rendah untuk rawatan kegagalan jantung.

Selain itu, sistem pengimejan perubatan untuk diagnosis, intervensi dan sokongan implantasi turut dibangunkan. Ditambah dengan pembangunan tisu jantung dan sistem penyampaian ubatan, perentak jantung dan ECG mudah pakai.

Sebagai usaha untuk meningkatkan lagi gaya hidup sihat, satu sistem penilaian risiko penyakit jantung secara dalam talian dibangunkan secara usaha sama antara pakar IJN dan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan boleh digunakan orang ramai untuk mengira tahap risiko mendapat penyakit terbabit menggunakan maklumat diri.

Pengarah Pusat Kejuruteraan Kardiovaskular IJN-UTM, Profesor Ir Dr-Ing Eko Supriyanto berkata, sistem penilaian risiko itu dibangunkan sebagai usaha untuk mengurangkan risiko CVD dan ia bertindak sebagai alat sokongan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup yang menyihatkan.

“Segelintir model penilaian risiko CHD diperkenalkan sebagai usaha untuk menambah baik kesedaran mengenai pentingnya amalan gaya hidup sihat.

“Bagaimanapun, model sedia ada tidak distruktur dengan baik, tidak lengkap, tidak mengadaptasi, berada dalam statik dan hanya boleh diperoleh di pusat tertentu yang menyediakan perkhidmatan penilaian risiko penyakit terbabit.

“Oleh itu, bagi menaik taraf struktur, keadaptasian, kebolehan mengakses dan ketepatan model penilaian risiko CHD, satu kaedah baru untuk pengiraan risiko dibangunkan,” katanya.

Beliau berkata, model berkenaan dibangunkan berasaskan 31,220 data pesakit dari seluruh dunia dan 18,318 data pesakit dari Malaysia. Sistem ini berupaya merekod data perubatan daripada pengguna tanpa identiti, mengira risiko berasaskan maklumat diberikan pengguna dan menjana laporan untuk pemeriksaan lanjut jika diperlukan.

“Rekod perubatan dikategorikan kepada maklumat peribadi seperti usia, jantina dan kaum, sejarah perubatan dan maklumat genetik, keputusan pemeriksaan fizikal seperti Indeks Jisim Tubuh (BMI), tekanan darah dan jantung, keputusan ujian makmal seperti kolesterol dan paras gula darah.

“Malah, ia turut merekod gaya hidup seperti pengambilan makanan dan minuman, udara, persekitaran hidup, aktiviti fizikal dan mental. Sistem dalam talian ini boleh diakses menerusi laman sesawang, www.myhealth-screening.com ,” katanya.

Katanya, semua data pengguna yang dimasukkan ke dalam sistem penilaian risiko penyakit jantung ini dilindungi, malah identiti pengguna tidak diperlukan bagi menjaga privasi mereka.

“Bagaimanapun, identiti khas akan dijana oleh sistem untuk diberikan kepada pengguna supaya mereka boleh mengesan semula data yang dinilai untuk pemeriksaan akan datang.

“Kaedah pengiraan risiko sistem ini dibandingkan dengan lima pengira risiko antarabangsa yang sudah lama diguna pakai dari segi struktur, keadaptasian, kebolehan mengakses dan ketepatan.

“Model ini juga disahkan dengan 120 subjek sihat menggunakan ECG dan ujian tekanan ECHO. Keputusan ujian menunjukkan model ini menghasilkan keputusan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Klinikal IJN, Profesor Datuk Dr Suhaimi Kadiman berkata, sistem penilaian risiko ini boleh digunakan semua rakyat Malaysia tanpa sebarang kos dan boleh dijadikan alat pemeriksaan awal untuk mengira risiko mendapat penyakit jantung.

“Doktor perubatan akan dimaklumkan oleh sistem ini mengenai pesakit dengan risiko CVD dan mereka boleh menggunakan sistem ini sebagai sistem yang disesuaikan untuk rekod data perubatan dan pengurusan pesakit.

“Malah, pusat kesihatan, institut penyelidikan dan kerajaan boleh mendapat data statistik daripada sistem penilaian risiko ini untuk perancangan dan analisis kesihatan kebangsaan.

“Sistem ini mampu mengira risiko berasaskan data daripada genetik dan keturunan, sukatan fisiologikal dan gaya hidup atau kombinasi semuanya. Selepas pengiraan risiko, laporan disediakan oleh sistem ini untuk tindakan lanjut.

“Ini termasuk, data perubatan, risiko yang dinilai dan cadangan untuk mengurangkan risiko terbabit. Sistem ini juga boleh digunakan oleh profesional perubatan untuk rekod data pesakit dan pengurusan janji temu dengan pesakit,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

277 views