Menonjol Namun Santai

Lupakan seketika idea riasan wajah skeptikal dengan serakan rona pastel setiap kali menjelangnya musim bunga dan panas.

Solekan rona tanah dan polos dianggap klise bagi musim ini dengan keseluruhan penataan wajah menyerlahkan sisi lembut si wanita.

Namun, hangatnya mentari dan meriahnya warna bunga sepanjang musim ini dipersembahkan penuh bertenaga dalam himpunan terkini solekan di MAC.

A Fantasy Of Flowers seakan-akan dramatik dengan pilihan warna sinonim dengan bunga iaitu merah jambu, hijau dan ungu, namun digabungkan dengan pengaruh seni yang bermain cantik di kelopak mata.

Diinspirasikan daripada The New Eye-Deal, salah satu trend solekan MAC bagi 2014, A Fantasy Of Flowers menggabungkan riasan mata ala 1960-an dan mekap smokey era grunge 1990-an untuk impak riasan memukau.

Jelas Jurusolek Kanan MAC Cosmetics Malaysia, Haritha Shan, teknik adunan yang berbeza menjadi tunjang dalam himpunan ini meskipun warna yang digunakannya boleh disifatkan warna biasa pada kuntuman bunga.

“Tekniknya lebih kepada mengoles pembayang mata mengikut bentuk mata seseorang. Sekali pandang ronanya agak menonjol, tapi ia masih bersesuaian untuk gaya lebih santai.

Memukau tapi tidak keterlaluan. Skema warnanya terarah kepada kebun atau taman bunga dengan paduan rona alam seperti hijau, perang dan jingga,” katanya.

Untuk mendapatkan hasil solekan menarik, Haritha mengesyorkan kaedah monokromatik iaitu cuma gunakan satu atau dua warna lalu diadun bersama untuk kesan gradien serta lebih cerah atau terang.

Jika gemarkan rona berkilau pada kelopak mata, pilih pembayang jenis lembut bagi mengurangkan kesan solekan ‘garang’.

“Kombinasi satu atau dua warna berbeza mampu membuatkan riasan kelihatan tidak keterlaluan.

“Tapi pada masa sama, warnanya mampu bertindak sebagai penyerlah bagi mereka yang gemarkan solekan lebih tebal dan masih sesuai digayakan siang atau malam.

“Merah jambu dan ungu menarik dioles pada kulit cerah sementara warna zaitun, emas juga perang lebih menarik pada kulit gelap. Tidak salah sesekali lari daripada kebiasaan, tapi perlu diadun sebaiknya dengan warna sesuai dengan kulit,” tambahnya.

Menariknya, Fluidline dalam koleksi ini bukan saja bertindak sebagai penggaris mata, malah dwifungsi sebagai pembayang mata.

“Teknologi solekan kini memperlihatkan banyak produk dwifungsi dan kebanyakan penggaris mata kini boleh juga digunakan sebagai pembayang mata.

“Sebaiknya gunakan berus sudut sisi MAC jenis 236 untuk mengadun penggaris mata di atas pembayang mata sedia ada. Seterusnya, gunakan berus pembayang mata yang lebih runcing bagi menyudahkan gaya monokromatik itu.

Bagi memastikan solekan keseluruhan seimbang, kurangkan warna pada bibir dan pipi dengan menggunakan ton yang lebih neutral.

Tekstur kilau (lustre) jadi mainan, tapi diperkemaskan lagi dengan kilatan maksimum menggunakan pengilat bibir untuk impak bibir penuh dan eksentrik.

“Jika pembayang mata terlalu terang misalnya merah jambu, elak gunakan gincu rona jingga. Padankan pembayang mata merah jambu dengan gincu senada.

“Pembayang mata biru juga tampak seimbang apabila dipadankan bersama gincu merah jambu.

“Untuk gincu jingga, hadkan pembayang mata kepada rona perang, jingga dan hijau saja,” ujarnya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,415 views