Merawat Paru-paru Berparut

PARU-paru berparut atau ‘Pulmonary Fibrosis’ (PF) antara ribuan penyakit jarang jumpa di dunia.

Ia penyakit paru-paru kronik apabila tisu organ ini menjadi berparut secara perlahan-lahan dan akan menjejaskan keupayaannya membekalkan oksigen kepada tubuh.

Kesannya menyebabkan pesakit menggunakan banyak tenaga untuk bernafas kerana masalah sesak nafas dialaminya.

Gejala lain dialami pesakit PF ialah batuk berpanjangan, letih dan lemah badan.

Pakar Perubatan Respiratori Institut Perubatan Respiratori, Dr Syazatul Syakirin Sirol Aflah berkata, ada lebih 200 jenis penyakit PF dan kebanyakannya tidak diketahui puncanya.

Beliau berkata, antara penyakit PF yang biasa ditemui ialah paru-paru berparut idiopatik (IPF).

Kajian menunjukkan kira-kira 50,000 kes baharu IPF didiagnos setiap tahun di Amerika Syarikat.

“Sebilangan besar pesakit IPF berumur lingkungan 50 tahun ke atas yang gejala dialami adalah batuk berpanjangan dan kesukaran bernafas.

“Ia lebih kerap berlaku pada lelaki, tetapi IPF juga dikesan dalam kalangan wanita. Antara faktornya adalah merokok dan lanjut usia, tetapi banyak puncanya belum diketahui,” katanya.

Menurutnya, individu merokok dan bekas perokok lebih berisiko mendapat PF berbanding mereka yang tidak pernah menghisap rokok.

“Mereka yang bekerja di tempat berisiko tinggi yang kerap terdedah habuk (asbestos,silika), bahan kimia, debu, bulu, kotoran burung dan terapi radiasi berisiko menghidap penyakit PF.

“Beberapa jenis ubat dipercayai boleh meningkatkan risiko mendapat PF seperti ubat kemoterapi, ubat jantung dan antibiotik,” katanya.

Menurut Dr Syazatul Syakirin, ada penyakit PF berpotensi pulih sepenuhnya jika berpunca daripada pendedahan persekitaran yang menyebabkan pesakit mengalami alahan dalam paru-paru seperti penyakit radang paru-paru hipersensitiviti akut.

“Jika punca alahan ini dapat dikenal pasti, rawatannya ialah pesakit dikehendaki mengelak daripada persekitaran itu bagi memulihkan paru-parunya.

“Begitu juga PF disebabkan terapi ubat-ubatan yang berpotensi mengakibatkan parut di dalam paru-paru, juga boleh pulih sekiranya penggunaan ubat dikenal pasti menjadi punca parut dihentikan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ada penyakit PF yang tidak boleh pulih iaitu IPF kerana ia menyebabkan parut dalam paru-paru meningkat dan fungsi organ ini semakin merosot.

“Rawatan sedia ada iaitu ubat antifibrotik membantu memperlahankan proses parut di dalam paru-paru.

“Terdapat juga penyakit PF tergolong dalam jenis fenotaip iaitu fibrosing progresif (progressive fibrosing lung fibrosis) yang berpotensi menjadikan kesihatan pesakit lebih merosot,” katanya.

Menyentuh mengenai rawatan, Dr Syazatul Syakirin berkata, rawatan ubat-ubatan diberikan terdiri daripada ubat mencegah atau merawat keradangan dan merawat parut.

“Rawatan ubat-ubatan semasa, bertujuan mencegah lebih banyak parut paru-paru, melegakan gejala, membantu kekal aktif dan sihat, memperbaiki kualiti hidup serta memperlahankan proses parut di dalam paru-paru.

“Rawatan sokongan pula adalah terapi oksigen, suntikan vaksin, rawatan berhenti merokok dan pemulihan paru-paru.

LAKUKAN pemeriksaan doktor jika sukar bernafas.

“Selain itu, rawatan pemindahan paru-paru akan dikenal pasti dalam kalangan pesakit muda dan yang usianya kurang 60 tahun,” katanya.

Beliau berkata, antara mitos dikaitkan dengan PF ialah penyakit ini tiada rawatan sedangkan rawatan yang diberikan berdasarkan jenis PF.

“Mitos seterusnya adalah PF tidak akan sembuh. Namun, penyakit ini boleh pulih dan ada rawatan mampu memperlahankan proses penyakit berkenaan seperti IPF.

“Turut dikatakan kualiti hidup penghidap PF akan terjejas, tidak boleh bekerja dan melakukan aktiviti harian.

“Sebenarnya, ia bergantung kepada penyakit PF dan fungsi paru-paru pesakit terbabit. Bukan semua pesakit PF tidak boleh melakukan tugas harian dengan sendiri atau tanpa bantuan orang lain,” katanya.

Menurut Dr Syazatul Syakirin, mitos terakhir ialah PF adalah penyakit keturunan.

“Tidak dinafikan ada penyakit genetik yang membabitkan PF, tetapi bilangannya sedikit dan jarang dijumpai.

“Secara amnya, PF tidak berjangkit dan kebiasannya dijumpai bukan penyakit keturunan,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

90 views