Mesti Ada Lima Keupayaan Asas
Memang seronok membaca kisah orang yang mempunyai ramai anak, apatah lagi jika semua anak-anaknya dididik dengan baik dan menjadi insan yang berjaya tanpa mengenepikan tuntutan agama. Namun berita yang lebih kerap dibaca ialah pergolakan rumah tangga sehingga menyebabkan zuriat kurniaan Allah itu terabai atau lari dari rumah kerana kurang perhatian dan kasih sayang ibu bapa.
Itu belum lagi dengan kes ibu sanggup meninggalkan zuriat sendiri yang dikandung selama sembilan bulan. Ada juga ibu bapa yang tergamak mendera si kecil sehingga luka malah meninggal dunia. Tidak kurang juga yang tega melihat kekasih hati atau suami menganiaya anak sendiri dalam pelbagai cara.
Apabila berlaku kes begini, timbul persoalan apakah masyarakat hari ini tidak mempunyai pengetahuan mengenai perancangan keluarga? Sebenarnya isu ini sudah banyak kali diutarakan dan pernah satu ketika dulu sebilangan masyarakat menolak konsep perancangan keluarga kerana dianggap menolak rezeki yang diberikan Allah.
Sebenarnya konsep perancangan keluarga bukanlah untuk menolak anugerah Allah yang tidak ternilai itu. Ia lebih menjurus kepada perancangan untuk membina keluarga bahagia dengan mengambil kira pelbagai sudut antaranya aspek kesihatan si ibu, penjagaan dan pendidikan anak, kemampuan ekonomi si ayah sehinggalah kepada soal pembahagian masa dan luahan kasih sayang untuk seisi keluarga.
Cuba kenangkan semula ketika anda mengambil keputusan mendirikan rumah tangga dulu, adakah soal perancangan keluarga termasuk dalam agenda masa depan anda berdua? Hakikatnya banyak pasangan tidak terfikir pun mengenai perkara ini dan tidak hairanlah jika ramai yang menjadi ibu bapa tanpa sebarang persediaan, bekalan ilmu pengetahuan, apatah lagi perancangan strategik arah tuju keluarga mereka.
Sebenarnya sebaik mendirikan rumah tangga, pasangan perlu mempunyai perancangan mengenai saiz keluarga yang ingin dibina (jumlah anak yang diimpikan) dan jarak antara satu kehamilan dengan kehamilan seterusnya (jarak umur anak).
Setiap kehadiran anak mestilah dirancang, ditunggu dan dikehendaki, sejajar saranan Prof Dr A Rahim Omran dalam bukunya Family Planning in the Legacy of Islam.
Anak-anak tidak sepatutnya hadir dalam keadaan tanpa diundang, tidak diduga dan direncana dan ada kala dianggap sesuatu yang tidak disengajakan. Kehamilan sebegitu sering kali dianggap tidak dikehendaki.
Banyak kajian menunjukkan kehamilan yang tidak dikehendaki mempunyai kaitan dengan pengguguran, penjagaan antenatal (semasa hamil) tidak sempurna, pembuangan bayi, pertelingkahan rumah tangga, keganasan, pengabaian dan penderaan kanak-kanak serta peningkatan kes kemurungan dalam kalangan ibu.
Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj berkata, sikap sambil lewa ibu bapa tidak merancang kehamilan dan tiada kemahiran pengurusan keluarga yang baik, mempunyai bilangan anak yang ramai boleh menyumbang kepada kepincangan keluarga yang ketara.
Akibatnya anak-anak akan tercicir dari segi pendidikan, tekanan hidup yang membawa kepada keruntuhan rumah tangga dan terjerumus ke dalam gejala sosial.
Pendekatan, konsep keibubapaan bertanggungjawab itu sebenarnya bermula dengan kedua-dua ibu bapa secara sedar menyediakan diri dengan segala keperluan untuk melalui proses kehamilan, kelahiran, penyusuan ibu dan penjagaan bayi.
Katanya, perkara itu disarankan Prof Dr Omran yang menggariskan lima keupayaan asas mesti ada pada sesebuah keluarga:
1. Kesejahteraan fizikal
2. Kemampuan ekonomi
3. Keupayaan emosi
4. Kelapangan masa
5. Sokongan sosial
Dr Harlina berkata, keluarga yang tidak mempunyai kelima-lima keupayaan ini akan berdepan dengan krisis yang tidak berkesudahan dan terjerumus dalam kemelut berpanjangan.
“Ibu berhadapan dengan proses kehamilan yang panjang, kesakitan semasa melahirkan dan kesulitan menjaga bayi baru lahir. Walaupun kehamilan dan kelahiran adalah satu proses fisiologi biasa yang dilalui wanita, tidak dapat dinafikan betapa beratnya tanggungan dan pengorbanan ibu pada setiap kehamilan.
“Wajar sekiranya ibu diberi peluang, ruang dan kesempatan untuk memulihkan semangat dan motivasinya dengan menjarakkan kehamilan pada selang masa atau jarak masa yang sesuai dengan keupayaannya,” katanya.
Menurutnya, ketika sesi klinik antenatal, beliau kerap berhadapan dengan ibu yang berada dalam kesedihan, kesugulan, kemurungan dan keluh kesah kerana belum bersedia untuk hamil lagi.
Alasan yang paling kerap dikemukakan adalah jarak kehamilan yang begitu dekat, kurang dari setahun membuatkan badan mereka tidak mendapat rehat secukupnya.
“Apatah lagi sekiranya kehamilan lalu dilalui dengan komplikasi seperti tekanan atau proses kelahiran yang sukar dan akhirnya perlu menjalani pembedahan.
“Ramai pasangan muda walaupun berpelajaran tinggi dan berjawatan baik tidak mendapat tunjuk ajar dan nasihat bimbingan yang menekankan konsep keibubapaan bertanggungjawab dalam menentukan saiz keluarga dan jarak kehamilan,” katanya.
Akibatnya ramai anak kecil yang lahir dalam keadaan kurang sempurna. Inilah sebabnya langkah wajar perlu diambil pasangan yang mahu mengamalkan konsep keibubapaan bertanggungjawab dengan memastikan jarak kehamilan sesuai. Walaupun tiada sekatan untuk kerap mengandung, tetapi ramai pakar berpendapat jarak kehamilan yang ideal ialah dua tahun, sesuai dengan saranan Islam untuk memberikan susu badan kepada anak sehingga si kecil berumur dua tahun.
Pil beri kebaikan jika diambil dengan teratur
Masih ramai tidak menyedari kebaikan dan manfaat pil perancang terhadap kesihatan wanita kerana mereka berpendapat ia boleh menyebabkan kegemukan dan pelbagai penyakit berbahaya.
Sebenarnya pil perancang tidak memberi kesan yang menakutkan itu kerana ia membawa kebaikan jika diambil dengan teratur mengikut jadual yang ditetapkan.
Penggunaan pil perancang bukan saja boleh menjarakkan kehamilan iaitu memberi ruang dan peluang kepada ibu untuk lebih bersedia menyambut kelahiran seterusnya, malah akan mengekalkan kesihatan wanita ke arah yang lebih baik.
Terdapat banyak kebaikan pil perancang yang tidak diketahui wanita. Ramai beranggapan pil yang diambil akan menyebabkan hormon berubah iaitu pengamalnya akan berasa loya, muntah, kurang nafsu kepada pasangan dan sebagainya.
Namun sebenarnya pil perancang ini membawa kepada kebaikan. Antaranya:
1. Membuat kitar haid teratur dan berlaku setiap bulan dalam masa yang sama.
2. Mengurangkan sakit senggugut.
3. Dapat mengelakkan penyakit barah rahim.
4. Mengurangkan gejala atau sindrom sebelum haid (PMS) iaitu keadaan tidak selesa sebelum kedatangan haid seperti sakit pada buah dada dan emosi yang tidak menentu.
5. Mengurangkan masalah jerawat dan kulit berminyak.
6. Mengurangkan rembesan hormon lelaki (androgen) yang mengawal pertumbuhan bulu roma pada muka, perut, paha dan betis.
7. Mengurangkan masalah bengkak dan ketulan bukan kanser pada buah dada.
8. Mengurangkan sista ovari.