MIAR Bela Nasib Haiwan

Mungkin ramai terlepas pandang kebajikan haiwan khususnya haiwan jalanan. Agaknya berapa ramai yang berasa belas melihat anak kucing jalanan yang comot dan kelaparan. Berapa ramai pula yang sudi membawa haiwan terbiar ini balik ke rumah dan menjadikan ia sebagai sebahagian daripada keluarga?

Memang tidak dinafikan, ada orang berasa jijik melihat haiwan jalanan. Mereka langsung tiada sifat ihsan terhadap haiwan ini kerana lupa hakikat bahawa ia juga adalah makhluk Allah, maka ada segelintir orang tergamak melakukan pelbagai bentuk penganiayaan tanpa rasa bersalah.

Mengapa perkara ini boleh berlaku? Adakah hati kita kekeringan kasih sayang dan perasaan belas terhadap haiwan? Atau mungkin ramai beranggapan tiada tindakan akan diambil untuk mengadili perlakuan sedemikian.

Hanya disebabkan keadaan fizikal haiwan terbiar yang tidak terurus ini menyebabkan ia terus dipinggirkan. Namun, tahukah anda masih ada pihak yang sudi memperjuangkan nasib haiwan teraniaya dan memastikan kekejaman dilakukan ke atas mereka diadili sebaik mungkin.

Itulah yang menjadi tanggungjawab Persatuan Sukarelawan Penyelamat Haiwan (MIAR) iaitu sebuah organisasi kumpulan sukarelawan yang berkongsi minat dan saling membantu dalam menyelamatkan haiwan teraniaya.

Walaupun fokus utama MIAR adalah menyelamatkan anjing yang teraniaya, tetapi pihaknya tetap memberi pertolongan kepada haiwan lain contohnya kucing.

MIAR menjadi antara lima episod rancangan dokumentari Bella Hopes yang akan memaparkan kisah hidup dan usaha murni ikon wanita terpilih dalam menjayakan misi serta harapan untuk perubahan positif terhadap persekitaran mereka. Ia akan disiarkan sempena Hari Wanita Sedunia pada Mac ini di ntv7.

Pengasasnya, T Puspa Rani, 38, berkata, pelbagai bentuk kekejaman dilakukan terhadap haiwan, malah ada kalanya ia di luar jangkauan fikiran.

“Saya pernah menerima kes penganiayaan terhadap haiwan yang digantung dan anak kucing dipijak hingga mati. Individu yang suka melakukan kekejaman terhadap haiwan ini sebenarnya ada masalah psikologi kerana orang yang waras akalnya tidak akan melakukan penganiayaan sedemikian terhadap haiwan,” katanya.

Secara tidak rasminya organisasi berkenaan sudah empat tahun beroperasi dan sehingga kini, 700 haiwan teraniaya berjaya diselamatkan.

Orang ramai yang mengetahui terdapat kes penganiayaan haiwan boleh melaporkannya menerusi laman Facebook (FB), namun ia akan ditapis terlebih dulu bagi memastikan kesahihannya.

“Jika terbukti benar, MIAR akan ke tempat kejadian bagi menyelamatkan haiwan berkenaan dengan segera. Malah, ia turut dilakukan dengan bantuan pihak berkuasa dan satu laporan akan dibuat terhadap individu yang melakukannya supaya tindakan mahkamah yang sewajarnya dapat diambil,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui bukan mudah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat umum berkaitan kebajikan haiwan. Ramai yang mempunyai salah tanggapan terhadap haiwan terutama haiwan jalanan.

Menerusi ‘tagline’ MIAR ‘Give Them Just One Chance’ katanya, peluang perlu diberikan kepada haiwan terbabit untuk hidup dan mereka tidak perlu dipandang seperti binatang tidak berharga, sebaliknya satu nyawa yang perlu dijaga dan pelihara.

Selain itu, kebanyakan haiwan yang diselamatkan akan dimandulkan bagi mengelakkan populasi di tempat jagaan berkembang tanpa kawalan.

“Kini antara usaha yang kami lakukan selain menyelamatkan haiwan berkenaan ialah memberikan pendidikan dan kesedaran dengan berkunjung ke universiti dan juga kolej tempatan.

“Sekurang-kurangnya menerusi program sebegini akan ada sedikit perubahan terhadap tanggapan berkenaan terutama dalam membantu menyelamatkan haiwan teraniaya,” katanya.

Projek Liber8

Berbeza pula dengan ikon wanita New Su Shern, 22, yang menjadikan isu pemerdagangan manusia sebagai fokus utamanya dengan harapan akan ada perubahan boleh dilakukan untuk mengatasinya.

Walaupun masih menuntut di HELP University, tetapi ia tidak membataskan usahanya membantu untuk memberikan kesedaran kepada umum berkaitan isu berkenaan.

Terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan cara tersendiri, pelajar tahun kedua jurusan pemasaran itu bersama rakannya mengasaskan Projek Liber8.

Ia adalah sebuah pergerakan pelajar yang banyak menyentuh isu kesedaran masyarakat terhadap pemerdagangan manusia. Antara aktiviti dijalankan dengan mengadakan kempen, ceramah dan bengkel berkaitan isu ini secara aktif dan berterusan.

“Idea untuk menubuhkan organisasi sebegini wujud apabila melihat terdapat banyak aktivis kemanusiaan di luar negara yang sentiasa berusaha menangani masalah yang membelenggu kehidupan masyarakat di seluruh dunia.

“Walaupun masih di peringkat awal, tetapi sekurang-kurangnya saya cuba membuka mata pelbagai pihak untuk mula menangani isu ini dengan memberikan kesedaran melalui pendidikan,” katanya.

Cabaran paling besar ialah untuk membuka minda masyarakat dan ia bukanlah satu perkara yang mudah. Aktiviti pertama yang dilakukan selepas mengasaskan Liber8 ialah mengadakan tayangan filem pendek atau dokumentari berkaitan isu ini yang hanya mampu menarik 30 peserta saja walaupun menetapkan sasaran 50 orang.

“Melihat sambutan orang ramai terhadap aktiviti pertama kami pada Februari 2012 memang membuatkan hati kami goyah. Ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada moral dan keyakinan diri untuk terus melakukannya.

“Bagaimanapun, saya menganggapnya sebagai langkah permulaan dan cabaran yang perlu dilalui. Saya melihat dari sudut positif, walaupun tidak mencapai sasaran, tetapi mesej itu sudah sampai kepada 30 orang dan diharap apa yang mereka dapat itu disampaikan kepada keluarga dan kawan-kawan mereka. Dari saat itu, kami mula mengorak langkah untuk terus berusaha memastikan apa yang diimpikan menjadi kenyataan,” katanya.

Selain itu, sebagai pelajar bukan mudah untuk meyakinkan orang luar berkaitan usaha dijalankan ini kerana ia masih dikategorikan sesuatu yang baru bagi masyarakat setempat.

Malah, ada ketikanya mereka perlu merayu semata-mata untuk mengedarkan risalah berkaitan aktiviti dijalankan terutama jika ingin memasuki universiti ataupun kolej tempatan.

Namun kini, usaha murni ini akhirnya membuahkan sedikit harapan apabila program ‘Neon Night Run’ yang akan dijalankan 29 Mac ini berjaya mengumpulkan 1,200 peserta dalam masa 24 jam selepas ia disebarkan menerusi laman Facebook (FB).

“Ia akan diadakan di Publika, Kuala Lumpur dan diharapkan menerusi aktiviti sebegini mampu membuka minda masyarakat agar lebih prihatin de-ngan keadaan sekeliling.

“Setiap peserta akan memakai baju yang memiliki nombor bebas tol Tenaganita di belakangnya dan diharapkan ia membantu sekiranya ada pihak mengetahui berkaitan perkara berkenaan dan menghubunginya untuk tindakan susulan,” katanya.

Di samping dua wanita terbabit, antara ikon wanita lain yang terpilih ialah Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Hamid, Pengasas rumah budaya Lamin Dana, Diana Rose dan ahli biologi marin, Choo Poh Leem.

Pemilihan wanita terbabit bermula November lalu berdasarkan cadangan ikon wanita daripada orang ramai untuk dipaparkan dalam dokumentari itu.

Ia dilakukan menerusi sistem di atas talian (www.ntv7.com.my/bellahopes) yang kemudiannya lima calon dipilih secara teliti untuk dipaparkan dalam rancangan berkenaan.

Ini adalah salah satu usaha ntv7 memartabatkan golongan hawa, seiring dengan jenama rancangan temu bual wanita terkenal saluran itu, Bella, yang dihoskan Daphne Iking, Elaine Daly dan Vanessa Chong.

Selain itu, ntv7 juga sebelum ini pernah memperkenalkan anugerah khas berprestij buat wanita, Bella Awards dan acara himpunan terbesar ibu hamil di dalam Bella Bundle of Joy yang diiktiraf Malaysia Book of Records.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,621 views