Michele Kongsi Rutin Kecantikan

SEJURUS langkahnya menginjak pentas pada majlis petang di sebuah hotel terkemuka di tengah kota Tokyo itu, saya jadi kagum sendirian.

Anggun dengan gaun biru labuh tanpa lengan, wanita cantik yang dilihat dari kejauhan itu memang kelihatan begitu mempesona. Apatah lagi apabila berkesempatan berada berhampiran dengannya, pandangan saya memang tidak lepas menatap wajahnya yang bagaikan tidak tercalar dek usia itu.

Michele Reis, bekas ratu cantik Hong Kong pada 1988 yang kini jurucakap Shiseido Revital untuk Asia, sudah menjangkau usia 40-an namun tiada yang kelihatan tua pada dirinya.

Dalam kelompok media yang rata-rata teruja ingin tahu rahsia kecantikannya, pelakon Hong Kong ini juga tampak begitu senang berkongsi rutin kecantikannya dari pagi hingga ke malam.

“Membersihkan muka sememangnya penting bagi saya apatah lagi saya banyak menggunakan solekan sedangkan solekan memang tidak boleh menutup cela pada muka.

“Jadi, rutin pembersihan ini harus saya lakukan sebaiknya. Selain itu, saya tidak lupa menggunakan penyegar dan pelembap, begitu juga dengan penggunaan pelindung matahari meskipun berada di tempat tertutup.

“Pada waktu malam pula, saya gemar menggunakan topeng pembersih kerana saya tak mahu liang roma tersumbat. Waktu malam juga lazimnya saya gemar membuat urutan muka.

“Urutan ini mudah saja dan jika tak dapat melakukannya setiap hari, sekurang-kurangnya saya lakukan dua kali seminggu,” katanya.

Lantas tidak hairan antara barangan kecantikan kegemarannya ialah topeng muka Shiseido terutama apabila dia mengembara. Selain itu, krim tangan dan pelembap juga antara kesukaannya.

Pelembap ada kisah menarik buat dirinya kerana ia barangan pertama Shiseido yang dibelinya semasa dia masih lagi bersekolah menengah.

“Apa tidaknya, saya gunakan duit poket sendiri untuk membeli pelembap, memang mahal untuk saya yang masih bersekolah ketika itu,” katanya yang tidak lokek menghulur senyum sepanjang pertemuan dengan wakil media itu.

Mengutarakan pandangan mengenai kedutan dan pembedahan kosmetik, Michele akui bukanlah sesuatu yang buruk apabila seseorang itu mendapati diri mereka sudah mula mempamer garis kedutan.

Kedutan baginya menggambarkan kisah pengalaman hidup seseorang dan pada masa sama, dia sendiri tidak menentang mereka yang memilih untuk melakukan pembedahan kosmetik.

“Persoalan mengenai pembedahan kosmetik memang agak popular. Cuma mereka yang mahu melakukan pembedahan kosmetik harus sangat berhati-hati terutama memikirkan kesannya kepada diri mereka kelak.

“Bagi saya, menjalani pembedahan sebegini sememangnya perlukan kekuatan semangat dan saya tak fikir saya punya kekuatan untuk melakukan perkara sebegitu,” katanya.

Berasa bertuah kerana dipertemukan kembali dengan jenama kecantikan terkemuka itu, Michele yang gemarkan tekstur krim Revital yang juga produk kegemarannya, mula berkenalan dengan dunia peragaan pada usia tiga tahun.

Dia muncul dalam lebih daripada 40 komersil dan kempen iklan sebelum meraih mahkota ratu cantik Hong Kong pada usia 18 tahun. Filem pertamanya ialah pada 1990 malah dia turut membintangi beberapa filem antarabangsa termasuk “The City of Strangers” arahan pengarah Jepun, Takashi Miike.

Menikmati populariti yang terus berkembang ketika itu, dia terpilih sebagai wajah Shiseido untuk deretan solekan Pieds Nus pada 1997.

Tahun lalu, wanita kelahiran Macau dengan ibu bapanya dari Portugal dan Shanghai ini sekali lagi dipilih menjadi jurucakap Shiseido Revital mulai 2011 sekali gus meraikan ulang tahun ke-30 produk terbabit di pasaran tahun lalu.

Michele yang tidak merokok ini sangat gemarkan makanan snek yang kurang berkhasiat tetapi dia akui masih mampu mengawal diri kerana memastikan dia tidak kerap menjamah snek sedemikian.

Pada masa sama, dia juga tidak melupakan rutin penjagaan diri yang menyihatkan terutama dalam mengimbangi rutin sehariannya dengan kehadiran bayinya tahun lalu.

“Untuk menjalani kehidupan yang menyihatkan, saya juga bersenam dengan berjalan pantas empat kali seminggu.

“Punya anak kecil membuatkan saya sentiasa sibuk malah kalau ingin tahu apa yang ingin sangat saya lakukan pada masa terluang, jawapannya tidur,” katanya tergelak.

Apa sekalipun, dia mengingatkan supaya tidak lupa meluangkan masa untuk diri sendiri kerana ia mampu membuatkan diri seseorang itu lebih sempurna.

Ibunya yang kini berusia lingkungan 70-an, menurutnya, menempuh pelbagai rintangan dalam hidup tetapi pesan ibu yang menjadi mentornya itu, hidup harus ditempuh dengan rasa gembira dan bangga lantaran perasaan itu kelak akan terpancar dari dalam diri.

“Kita juga harus sentiasa mempelajari sesuatu yang baru kerana ia membuatkan kita berasa muda selamanya. Saya benar-benar tahu apa yang saya mahukan dan semakin kita berumur, kita seharusnya semakin yakin. Paling penting, kita harus punya pendirian hidup sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/09

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,060 views