Minum Iodin Radioaktif
“Minum iodin radioaktif? Biar betul ni… nak suruh saya minum radioaktif pula! Memang sangat terkejut mendengarnya tetapi itulah yang saya lakukan,” kata pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Azizah Othman.
Ketika orang lain berusaha sedaya upaya mengelak daripada terkena radioaktif, dia pula disuruh minum! Namun debaran di hati berkurang selepas mendengar penerangan pakar perubatan nuklear dan membaca maklumat daripada pelbagai sumber yang menguatkan keyakinannya bahawa rawatan untuk mengatasi masalah hipertiroid yang dialami–nya itu adalah selamat.
Apatah lagi selepas empat kali berturut-turut dia keguguran. Masalahnya mula dikesan pada 2001 ketika dia masih belajar di Universiti Putra Malaysia. Lehernya bengkak, cepat lapar, berat badan turun mendadak kepada 45 kilogram, tangan menggeletar dan sebelah matanya terjojol sedikit.
Selepas menjalani ujian darah didapati paras hormon tiroid Azizah tidak normal. Dia kemudian–nya diberikan ubat makan (carbimazole) selama dua tahun. Memang paras hormonnya kembali normal tetapi keadaan itu hanya bertahan sementara.
“Doktor beritahu paras hormon tiroid yang tidak normal adalah berbahaya dan kerana itulah saya kerap mengalami keguguran. Akhirnya doktor mencadangkan saya minum iodin radioaktif. Kali pertama mendengarnya memang takut,” katanya sambil tersenyum mengenangkan bagaimana dia minum iodin radioaktif dalam makmal khas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2006.
Sebulan selepas itu berat badan–nya naik empat kilogram kerana metabolisme yang terlalu rendah akibat kekurangan hormon tiroid. Memang pening, daripada hipertiroid (berlebihan hormon tiroid), kini dia mengalami masalah hipotiroid pula. Namun Azizah bersyukur kerana masalah itu lebih mudah dikawal dan kini dia sudah ada dua cahaya mata yang comel.
Mendengar cerita Azizah, penulis terfikir, teruk sangatkah penyakit ini sehingga sesetengah pesakit disarankan minum iodin radioaktif? Bagaimanapun, selepas tiga jam duduk dalam bengkel yang membincangkan masalah ini dan mendengar pelbagai persoalan ditimbulkan pesakit, akhirnya penulis faham gangguan dan kerumitan yang dialami mereka.
Menurut Perunding Endokrinologi Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein, tiroid ialah kelenjar kecil berbentuk rama-rama yang terletak di bahagian bawah leher depan. Kelenjar kecil berwarna coklat kemerahan ini menghasilkan beberapa hormon yang secara umumnya dipanggil hormon tiroid.
Jenis hormon yang utama ialah tiroksin (juga dipanggil T4). Hormon tiroid ini bertindak ke seluruh badan dan ia mempunyai pengaruh besar terhadap metabolisme, pertumbuhan dan perkembangan serta kawalan suhu badan. Pada bayi dan kanak-kanak, hormon tiroid yang mencukupi amat penting untuk perkembangan otak.
Masalah tiroid berlaku dalam pelbagai keadaan. Antara yang biasa dialami ialah:
> Goiter – Istilah umum untuk tiroid bengkak. Goiter tidak berbahaya, namun ia boleh menjadi petunjuk kepada kekurangan iodin atau keadaan yang dikaitkan dengan keradangan kelenjar tiroid dipanggil tiroiditis Hashimoto.
>Tiroiditis – Kerada–ngan pada kelenjar tiroid, biasanya disebabkan jang–kitan virus atau penyakit autoimun. Keradangan ini boleh menyebabkan rasa sakit atau ia mungkin tidak mempunyai simptom langsung.
>Hipertiroid – Kelenjar tiroid menghasilkan terlalu banyak hormon tiroid. Biasanya masalah ini disebab-
kan penyakit Graves atau nodul tiroid yang terlalu aktif.
>Hipotiroid – Penghasilan hormon tiroid terlalu sedikit. Penyakit autoimun dikenal pasti menjadi pe–nyebab utama kerosakan kelenjar tiroid.
>Penyakit Graves – Masalah autoimun yang membuatkan tiroid mengalami rangsangan berlebihan (untuk menghasil–kan hormon).
>Kanser tiroid – Sejenis kanser yang jarang berlaku tetapi biasanya ia boleh disembuhkan.
>Nodul tiroid – Benjolan tidak normal pada kelenjar tiroid. Ini adalah masalah biasa tetapi dalam sesetengah keadaan, ia boleh menyebabkan kanser. Nodul ini boleh merembeskan banyak hormon menyebabkan masalah hipertiroid atau ia mungkin tidak menyebabkan masalah langsung.
>Krisis ‘ribut’ tiroid – Keadaan di mana paras hormon tiroid menjadi terlalu tinggi dan menyebab–kan seseorang sakit teruk. Bagaimanapun, masalah hipertiroid seperti ini jarang berlaku.
Meskipun ada banyak masalah membabitkan kelenjar tiroid tetapi secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu hipotiroid dan hipertiroid.
Hipotiroid
Keadaan di mana kelenjar tiroid tidak dapat mengeluarkan hormon tiroksin secukupnya. Ini menyebabkan fungsi sistem atau organ dalam badan menjadi perlahan. Ia berlaku apabila kurangnya tisu dalam kelenjar tiroid seperti selepas pembedahan atau rawatan iodin radioaktif.
Antara simptom hipotiroid ialah:
> Letih
> Naik berat badan
> Sembelit
> Sakit-sakit badan
> Kesejukan
> Kulit kering
> Rambut kering
> Badan bengkak atau sembab
> Kemurungan
> Pemikiran tidak cergas
> Suara serak
> Haid jadi tidak teratur atau pendarahan berlebihan
> Kurang subur
> Kurang keinginan seksual
> Kebas di tangan
> Kerap lupa
> Bingung
Bagaimanapun kata Dr Zanariah, simptom hipotiroid ini tidak spesifik. Kadangkala diagnosa (ujian pengesanan) juga tidak jelas. Simptom muncul secara beransur-ansur dalam beberapa bulan. Malah ada kalanya ia mengambil masa sehingga bertahun lamanya sebelum simptom muncul iaitu apabila tahap hormon tiroksin semakin rendah.
Apakah komplikasi hipotiroid? Jika tidak dirawat, pesakit berhadapan dengan risiko sakit jantung kerana mengalami masalah kolesterol tinggi. Jika hamil, pesakit wanita berisiko alami preeklampsia (tekanan darah tinggi dan tanda kerosakan sistem organ lain, biasanya buah pinggang), anemia, kelahiran pramatang (bersalin tidak cukup bulan), bayi yang dilahirkan kurang berat badan, bayi meninggal dunia ketika dilahirkan dan pendarahan serius selepas bersalin.
Siapa yang berisiko mengalami hipotiroid? Kebanyakan kes tidak dikesan kerana ramai tidak sedar mengalami masalah ini. Namun ia lebih kerap berlaku pada wanita (tujuh kali lebih tinggi berbanding lelaki). Masalah hipotiroid berlaku pada kadar satu kes bagi setiap 50 wanita dan satu kes bagi setiap 1,000 lelaki. Walaupun masalah tiroid boleh berlaku pada bila-bila masa, kajian mendapati ia lebih kerap terjadi apabila umur meningkat.
Punca hipotiroid
Penyakit autoimun seperti tiroiditis Hashimoto, pembedahan tiroid dan rawatan iodin radioaktif (juga dipanggil radio iodin), penyakit kelenjar pituitari, kekurangan iodin, hipotiroid kongenital (dilahirkan dengan masalah berkenaan) dan pengambilan ubat-ubatan seperti amiodarone, lithium dan interferon.
Ujian pengesanan dan rawatan
Pengesanan masalah hipotiroid boleh dilakukan melalui ujian darah antibodi tiroid dan TFT. Ia boleh dirawat melalui pengambilan ubat (makan) seperti levothyroxine (sekali sehari). Ubat ini berperanan menggantikan hormon tiroksin yang tidak cukup dalam badan dan simptom yang dialami pesakit akan berkurangan selepas beberapa hari mengambil ubat.
“Dos yang sesuai bagi orang dewasa antara 50 hingga 150 mikrogram sehari. Biasanya pesakit akan diberikan dos yang rendah terlebih dulu terutama bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas atau me–ngalami masalah jantung. Dos akan dinaikkan secara beransur-ansur berdasarkan ujian darah setiap dua hingga tiga bulan. Meskipun paras hormon tiroksin mencapai tahap normal, pesakit masih perlu menjalani pemeriksaan susulan setiap enam bulan.
“Pesakit wanita disarankan berbincang dengan doktor jika merancang untuk hamil kerana dos ubat perlu diubah secepat mungkin pada awal kehamilan,” katanya.
Cara pengambilan ubat
Sebaiknya ubat diambil sebelum sarapan. Pesakit perlu tahu jenis makanan yang perlu dielakkan kerana makanan tinggi kalsium dan zat besi serta pil makanan tambahan boleh merencatkan penyerapan dan keberkesanan ubat.
Antara persoalan sering ditanya pesakit
a. Apa yang patut dilakukan jika tertinggal ubat?
“Jangan bimbang kerana ia tidak berbahaya jika jarang terjadi. Jika terlupa, ambil ubat sebaik anda teringat walaupun selepas dua atau tiga jam daripada waktu yang sepatutnya. Jika tempoh terlupa itu agak lama, tinggalkan saja dos hari itu dan ambil ubat keesokan harinya seperti biasa. Jangan ambil dua dos sekali gus. Cuba sedaya upaya untuk ambil ubat secara tetap setiap pagi untuk elak masalah yang tidak diingini,” kata Dr Zanariah.
b. Berapa lama pesakit perlu mengambil ubat?
Biasanya sepanjang hayat. Kadangkala penyakit hipotiroid ini berlaku sementara dan boleh sembuh contohnya pesakit kanak-kanak (kecuali yang alami masalah sejak lahir atau hipotiroid kongenital) dan selepas tiga hingga enam bulan melahirkan anak (dipanggil postpartum hipotiroiditis).
c. Apakah kesan sampingan rawatan hipotiroid?
Selalunya tiada kesan sampingan kerana ubat levothyroxine mengganti hormon asal dalam badan. Jika ada penyakit jantung, ada kemungkinan sakit dada atau angina makin kerap selepas mengambil ubat. Jadi pesakit perlu memberitahu doktor keadaan ini.
Kalau dos terlebih, simptom berlebihan hormon akan timbul seperti jantung berdebar-debar, gelisah dan risiko osteoporosis meningkat.
Ubat lain yang meng–ganggu keberkesanan thyroxine: carbamazepine, pil zat besi, phenytoin dan rifampicin.
Hipertiroid
Keadaan ini berlaku apabila berlebihan hormon tiroid dikeluarkan kerana kelenjar tiroid menjadi terlalu aktif. Seperti hipotiroid, masalah ini lebih kerap berlaku pada wanita. Ada banyak faktor risiko yang membuatkan seseorang itu boleh mengalami masalah hipertiroid termasuklah keturunan, pengambilan iodin tinggi, merokok, bengkak tiroid jenis multinodular (banyak nodul atau benjolan tidak normal), pengambilan ubat mengandungi iodin dan melahirkan anak.
Simptom hipertiroid:
> Tidak tahan panas
> Rambut menjadi halus dan lurus
> Mata terbeliak dan terjojol
> Muka menjadi kemerah-merahan
> Kelenjar tiroid membengkak atau menjadi besar
> Degupan jantung ketika rehat menjadi cepat
> Tekanan darah meningkat
> Payudara menjadi besar
> Berat badan menurun
> Kemerosotan otot
> Bengkak pada badan
> Perubahan pada kitaran haid
> Kerap cirit-birit
> Menggeletar
> Jari belantan (hujung jari menjadi lebih bulat)
Seperti disebut di atas, kadangkala berlaku krisis ‘ribut’ tiroid. Ia boleh berlaku pada pesakit baru atau yang tidak mendapat rawatan atau ubat yang berkesan. Ia boleh disebabkan jangkitan kuman, tidak mengambil ubat dan selepas rawatan iodin radioaktif.
Apabila krisis ribut tiroid ini berlaku, pesakit mung–kin demam (suhu badan melebihi 38.5 darjah Celsius), tidak sedarkan diri (koma), mengalami sawan, muntah, cirit-birit dan demam kuning. Jika keadaan ini berlaku, pesakit perlukan rawatan intensif dan diberikan ubat untuk me–ngurangkan hormon tiroid, infusi cecair dan rawatan jangkitan kuman.
Pencarian punca (diagnosis) dan rawatan
Diagnosis hipertiroid dilakukan dengan menelusuri sejarah kesihatan pesakit, pemeriksaan fizikal, ujian darah terhadap fungsi tiroid (TFT) dan antibodi tiroid, pemeriksaan ultra bunyi serta imbasan radio isotop.
Apabila sudah dikenal pasti puncanya, maka pesakit akan diberikan ubat bagi mengurangkan paras hormon tiroid dalam badan antaranya carbimazole, methimazole, propylthiouracial (PTU), iodin Lugol. Doktor juga akan memberikan ubat propranolol untuk mengurangkan gejala yang dialami pesakit.
Kedengaran kompleks? Ya. Ia memang penyakit yang kompleks tetapi tidak perlu terlalu risau kerana dengan pengambilan ubat secara teratur, pesakit boleh menjalani kehidupan sebaik orang lain.
Pada masa sama, doktor akan sentiasa memantau keadaan pesakit. Pada peringkat awal dos ubat antitiroid yang diberikan mungkin tinggi dan ia akan dikurangkan secara beransur-ansur. Pesakit perlu menjalani ujian darah TFT setiap dua hingga tiga bulan atau lebih kerap untuk membantu perubahan dos ubat antitiroid dan rawatan akan diteruskan selama 12 hingga 24 bulan.
Antara kesan sampingan ubat ini ialah pesakit boleh mengalami alahan (ruam), kerencatan fungsi hati dan jumlah sel darah putih berkurangan (rendah). Sekali lagi, pesakit tidak perlu risau kerana semua gejala ini akan hilang apabila pengambilan ubat dihentikan. Jika berlaku kesan sampingan ini, doktor akan mempertimbangkan alternatif rawatan seperti iodin radioaktif atau pembedahan.
Rawatan iodin radioaktif hanya akan dicadangkan apabila ubat tidak dapat mengawal masalah hipertiroid, pesakit mengalami kesan sampingan ubat atau keadaan pesakit tidak stabil untuk menjalani pembedahan pembuangan tiroid (tiroidektomi).
Pembedahan pula sesuai untuk masalah hipertiroid multinodular di mana pesakit perlukan pengawalan hormon pada kadar segera. Ia juga sesuai untuk kelenjar tiroid yang besar dan me–nyebabkan kesan tekanan.
Apakah komplikasi hipertiroid? Ia boleh menyebabkan krisis ribut tiroid, degupan jantung yang tidak normal dan meningkatkan risiko mengalami strok, lemah jantung dan osteoporosis.
“Jika anda mengalami gejala kurang menyenang–kan seperti disenaraikan dalam artikel ini, disarankan segera berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan. Anda boleh menikmati kualiti hidup yang baik dan sempurna jika masalah tiroid ini dirawat secara optimum,” kata Dr Zanariah.