‘Modal Sebenar Diri Kita’
BERMULA sebagai guru bahasa Melayu dan penterjemah kepada beberapa duta asing dan syarikat multinasional, Datuk Dr Maznah Hamid yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce, kini memiliki 10 syarikat dan empayar perniagaan yang luas dalam beberapa cabang termasuk penyelesaian sekuriti dan hartanah.
Pengalaman sebagai guru bahasa selama beberapa tahun benar-benar membuka mata, peluang dan memberi inspirasi kepadanya untuk melangkah lebih jauh dalam membina kerjaya dan perniagaan.
Hasil usaha gigih, kebijaksanaan perancangan dan strategi pelaksanaan, akhirnya syarikat kecil milik Maznah berkembang dan berjaya dibesarkan menjadi empayar dalam pelbagai cabang perniagaan.
Apa yang menarik, semua syarikat yang ditubuhkannya, berkembang maju tanpa sebarang bantuan kewangan daripada pihak bank.
Kejayaan yang dikecapinya hari ini bukan datang bergolek tetapi ia diusahakan dengan bersungguh-sungguh dengan penuh amanah tanpa mengambil mudah pandangan dan permintaan pelanggan, menjadikan dirinya dipercayai dan diyakini, selain menjadikan integriti sebagai suatu jenama.
Berpegang kepada prinsip modal perniagaan sebenar ialah diri sendiri, kejayaan Maznah mampu memberi inspirasi kepada orang lain terutama golongan wanita bahawa mereka juga boleh berjaya sekiranya mempunyai matlamat, cekal dan sanggup berusaha.
Seorang yang peramah, merendah diri dan bersahaja, Maznah pernah menjadikan kawasan setinggan tanpa bekalan elektrik atau air, sebagai kediamannya lebih 30 tahun lalu demi mencari sendiri wang yang cukup untuk memulakan perniagaan.
“Saya sedar berasal dari orang susah, justeru untuk menjadi orang senang, saya perlu bertekad untuk berjaya dalam bidang perniagaan biarpun terpaksa menghadapi apa juga rintangan dan kepayahan.
“Saya amat bersyukur kerana mendapat mentor yang sangat baik dan berpengalaman terdiri daripada pelbagai bangsa yang melatih dan menegur saya hinggalah saya boleh berdikari dan berlari,” tegas Maznah.
Beliau sanggup melakukan bermacam jenis kerja termasuk menyertai jualan langsung serta menjadi ejen insurans dan pada masa sama, mengikuti kelas malam dalam pelbagai bidang perniagaan sebagai modal untuk dirinya berjaya dalam bidang diceburi.
Maznah juga terpaksa bergolok-gadai untuk memulakan perniagaan dalam bidang kawalan keselamatan. Ketika itu, pihak bank memberi alasan tidak yakin dengannya kerana beliau seorang wanita tetapi ingin memulakan perniagaan dalam bidang keselamatan yang dianggap di luar kelaziman kaum Hawa.
“Ketika menjadi guru bahasa Melayu kepada duta asing dan juga ketua pegawai eksekutif syarikat multinasional, saya ke rumah mereka dan sungguh terpesona dengan kesenangan hidup mereka. Hampir setiap hari saya bertanya kepada mereka bagaimana untuk menjadi berjaya seperti mereka.
“Disebabkan minat saya yang mendalam dalam bidang perniagaan, mereka kemudian memberi galakan kerana berasa saya memang mempunyai ciri-ciri yang boleh membuatkan saya berjaya dalam bidang perniagaan seperti berdisiplin, rajin dan tidak kisah untuk bekerja kuat tanpa mengira masa.
“Apabila saya berfikir jenis perniagaan yang hendak saya lakukan, akhirnya saya mendapat idea untuk menyediakan pengawal kepada golongan VIP memandangkan setiap rumah duta yang saya kunjungi pasti mempunyai pengawal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Namun disebabkan tidak mempunyai modal yang banyak, Maznah memulakan perniagaan dengan hanya RM5,000 dan lima pengawal kepada lima pelanggan VIP dalam kalangan ‘anak muridnya’.
Hasil kerja kerasnya yang tidak pernah mengenal lelah antara 12 hingga 14 jam sehari selama 32 tahun dan sanggup melupakan masa rehat di waktu cuti seperti orang lain, Maznah berjaya membangunkan syarikat penyelesaian kawalan keselamatan yang kukuh di Malaysia serta mampu menyaingi 500 syarikat lain dalam bidang sama.
Beliau turut mengepalai lebih 65 cawangan dengan 6,000 pekerja. Kini, Securiforce mempunyai beberapa anak syarikat yang berkembang maju antaranya Danau Lumayan, pemaju hartanah di Bandar Tun Razak, memfokus kepada pembangunan pangsapuri, kondominium mewah, penthouse eksklusif dan kompleks perniagaan.
“Pengalaman yang memberi pengajaran, idea dan inovasi perniagaan apabila saya terpaksa menjadi pengawal di pasar raya dan kediaman VVIP sewaktu pengawal saya ponteng kerja ketika cuti Aidilfitri.
“Pengalaman yang mahal itu rupa-rupanya berjaya melahirkan inovasi dan sistem sekuriti lebih canggih serta memenuhi kehendak pelanggan,” katanya.
Securiforce juga sudah melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa dengan menubuhkan Securiforce Logistik sebagai ejen penghantaran menggunakan medium darat, laut dan udara hingga ke rantau Asia, Eropah dan Timur Tengah. Ia kini mempunyai cawangan di Singapura, Bangkok, China, Korea, Turki dan Jerman.
Menurut Maznah yang juga mempunyai klinik keusahawanan bagi memberi maklumat kepada orang ramai yang hendak mula berniaga, beliau sering bertemu orang ramai yang ingin berniaga tetapi memberi alasan tiada modal dan mendapati masalah kewangan menjadi kekangan utama memulakan perniagaan.
Katanya, kerajaan sentiasa menggalakkan orang Melayu berniaga hingga pelbagai inisiatif dan usaha dijalankan.
“Namun berdasarkan pengalaman saya selama lebih 30 tahun dalam bidang perniagaan, saya dapati wang bukan modal perniagaan yang utama sebaliknya diri sendiri, minat, kecekalan, sifat berani mencuba dan sanggup berkorban keringat, air mata, masa, tenaga dan wang ringgit demi mencapai apa yang dicita-citakan.
“Saya masih ingat ketika menjadi Ahli Lembaga Pengarah PUNB, pernah meluluskan modal yang agak besar kepada golongan profesional termasuk ketua pegawai eksekutif, akauntan dan jurutera tetapi ternyata, kelulusan akademik bukanlah penentu kejayaan sebenar, sebaliknya banyak bergantung kepada faktor dalam diri usahawan itu sendiri.
“Apabila perniagaan gagal, mereka terpaksa juga melunaskan bayaran pinjaman setiap bulan kerana sudah ambil pinjaman. Sebab itu saya sarankan mereka yang mula berjinak-jinak berniaga, elakkan diri daripada membuat hutang pinjaman dengan bank kerana perniagaan ini umpama percubaan dan belum tentu lagi akan berjaya dan membawa keuntungan,” katanya.
Beliau menyarankan modal kewangan perlu dikumpul sama ada melalui pinjaman daripada rakan dan keluarga atau menjual barangan milik sendiri secara bijaksana.
Katanya, wang memang penting tetapi ia harus dimulakan dalam jumlah yang berskala kecil terlebih dulu bagi melihat sama ada seseorang boleh menguruskan perniagaan itu dengan baik dan mempunyai minat menjayakannya kerana selepas berjaya, barulah bank akan mula membantu.
“Saya nasihatkan mereka yang hendak berniaga pilih bidang yang kita tahu dan kita minat. Jangan ikut orang kerana tidak semestinya anda bagus dalam bidang berkenaan tetapi cari bidang yang kita tahu dan minat kerana dengan cara itu perniagaan boleh berjaya. Oleh itu, bekerja atau menjadi pelatih dulu dengan syarikat yang perniagaannya kita minati.
“Saya memegang prinsip kita mesti sanggup bekerja lebih daripada apa yang dibayar kerana akhirnya kita akan dapat bayaran lebih daripada apa yang kita kerjakan. Kita juga perlu bijak ‘menjual diri’, kemahiran diri dan keunikan kita.
“Apabila melihat kita berjaya memberikan hasil yang diingini, dengan sendirinya syarikat terbabit akan yakin dan ia akan mempromosi syarikat kita dari mulut ke mulut kepada orang lain dan dari situ perniagaan akan berkembang,” katanya yang juga juga dikenali sebagai ‘guru keusahawanan’.
Maznah juga pernah membantu pelanggannya menyelesaikan masalah seperti anak yang tidak tahu hendak memilih aliran pelajaran termasuk masalah rumah tangga dan dari situ perniagaan mempunyai jaringan yang semakin luas.
Sebagai seorang yang suka membantu menaikkan semangat orang lain untuk berjaya seperti dirinya, Maznah menubuhkan Maznah Motivational Centre (MMC) yang mengelolakan seminar keusahawanan dan pembangunan insan selain mengeluarkan buku bertajuk Motivasi Memburu Kejayaan dalam versi bahasa Melayu dan Mandarin selain memberi dorongan dan kata-kata semangat melalui ruangan Facebook, www.fb.com/maznahhamid.
Laman Facebook miliknya boleh dilawati bagi membentuk satu rangkaian rakan media sosial yang bermotivasi tinggi dan berfikiran positif untuk mencipta kejayaan, kebahagiaan dan kekayaan.
“Bagi saya kandungan kata-kata semangat serta kisah kejayaan yang saya paparkan dalam Facebook umpama multivitamin setiap hari untuk minda dan jiwa. Saya akan menjawab apa saja masalah berkaitan perniagaan atau kehidupan.
“Untuk mencapai kejayaan yang luar biasa, kita perlu sanggup berfikir, bertindak, bekerja dan bersusah-payah secara luar biasa juga, bukan sebagai insan biasa,” katanya.