Mudarat Urut Pesakit DVT

Kaki kiri seorang teman penulis yang pulang dari luar negara baru-baru ini, tiba-tiba membengkak. Katanya, rasa sakit yang tidak kerap itu mula dirasai sejurus tiba di rumah dan hanya disapu minyak panas.

Sehari selepas itu, bengkaknya tidak surut, malah mula kelihatan uratnya yang kebiru-biruan. Ada yang mencadangkan supaya dia menjalani rawatan urutan, namun si teman mengambil keputusan terus mendapatkan rawatan di hospital.

Mujur itu keputusan yang diambil kerana bengkak yang dialaminya itu disebabkan ketulan darah yang terbentuk pada pembuluh darah vena pada bahagian dalam betis atau paha atau lebih dikenali sebagai deep vein thrombosis (DVT).

Andai cadangan pertama yang jadi pilihannya, mungkin keadaan lebih serius hingga memerlukan teman terbabit dimasukkan ke wad, malah lebih buruk apabila terpaksa menjalani pembedahan.

Menurut Perunding Pembedahan Vaskular dan Hepatobiliari Hospital Assunta, Dr R Vijeyasingam, rawatan alternatif seperti urutan hanya lebih memudaratkan pesakit DVT kerana ia menyebabkan pembuluh darah yang tersumbat itu pecah hingga memungkinkan perlunya dilakukan pembedahan.

“Ramai yang mengandaikan setiap sakit sendi atau bengkak itu cukup dengan berurut, tapi sebaliknya boleh berlaku kerana tidak tahu masalah atau punca sebenar kesakitan itu.

“Tapi tidak semua bengkak atau sakit sendi itu dikaitkan dengan DVT, cuma sebaiknya terus dapatkan nasihat atau rawatan dengan pakar berkaitan,” katanya.

Menurutnya, DVT hanya berlaku kepada tiga golongan iaitu mereka yang mengharungi perjalanan jauh, pesakit kanser juga perokok dan individu yang pernah mengalami kecederaan atau pembedahan di kaki.

“DVT berlaku apabila darah tidak dapat mengalir dengan baik menyebabkan pembentukan ketulan pada pembuluh darah.

“Darah dalam badan mengandungi oksigen yang akan dipam oleh jantung ke semua anggota badan. Darah ini membekalkan makanan dan oksigen kepada semua tisu badan.

“Darah yang sudah dipam ke kaki, akan dipam semula ke jantung oleh otot pada betis dan paha. Semua darah akan dibawa melalui pembuluh darah vena dari kaki ke atas menerusi pembuluh darah vena pada rongga abdomen (perut), kemudian dihantar semula ke paru-paru untuk menerima bekalan oksigen dan akhirnya ke jantung semula,” katanya.

Justeru, apabila berlakunya gangguan pada perjalanan darah itu, ia akan mengakibatkan DVT. Jika dibiarkan saja tanpa mendapat rawatan, pesakit DVT berisiko mengalami penyumbatan pada salur darah kecil di paru-paru, otak dan jantung yang akhirnya membawa maut.

“DVT akan berlaku kepada mereka yang menaiki kenderaan dalam tempoh lama melebihi empat jam tanpa melakukan pergerakan atau senaman ringan.

“Situasi sama bagi mereka yang cedera atau pernah menjalani pembedahan kerana lebih banyak duduk daripada bergerak. Ia juga boleh berlaku kepada mereka yang terlantar di katil dalam tempoh lama.

“Bagi pesakit kanser serta perokok pula, risiko darah menjadi likat amat tinggi, justeru boleh menyumbang kepada berlaku DVT. Kejadian ini menyebabkan arus pergerakan darah dari kaki ke jantung menjadi perlahan,” katanya.

Ada sesetengah kes DVT bukan saja membengkak dan kemerahan tapi mengeluarkan cecair dari pembuluh darah ke ruang antara tisu pada kawasan betis dan paha.

Ia disalah anggap sebagai jangkitan kuman pada kulit. Oleh itu, untuk mengesahkan pembentukan darah beku ini, ujian ultrasonografi khusus perlu dijalankan dan seterusnya mengenal pasti lokasi dan saiz darah beku itu.

“Ia dikenali sebagai ulser vena dan beberapa ujian darah perlu dijalankan untuk mengesahkan dan mencari punca ia terjadi. Jika perlu, pembedahan akan dilakukan tapi jika tidak, ubat mencairkan darah beku akan diberikan kepada pesakit,” katanya.

Antara cara mudah untuk mengatasi DVT, jelas Dr Vijeyasingam, adalah melakukan senaman ringkas seperti menjengketkan kaki sebanyak 10 kali selepas duduk atau tidak bergerak dalam tempoh dua ke tiga jam.

“Minum air dalam kuantiti banyak dan berterusan juga perlu kerana ia membantu menghidratkan tubuh, sekali gus mengurangkan simptom DVT,” katanya.

Simptom DVT

DVT sering diabaikan kerana dianggap bengkak biasa terutama selepas duduk terlalu lama. Namun beri perhatian apabila:

- Hanya sebelah kaki membengkak
- Kawasan bengkak mula kemerahan dan seakan-akan lebam

Kumpulan berisiko:

- Individu yang menaiki kenderaan dalam tempoh lama (kurang bergerak)
- Perokok
- Pesakit kanser
- Individu yang pernah cedera atau menjalani pembedahan kaki
- Wanita hamil
- Individu obes
- Mengalami penyakit berjangkit seperti hepatitis
- Mengalami keadaan radang seperti artritis reumatoid
- Trombofilia (keadaan genetik yang membuatkan kecenderungan darah beku)
- Sindrom Hughes (keadaan darah luar biasa ‘melekit’)

Rawatannya:

- Penggunaan ubat mencairkan darah seperti anticoagulant
- Bersenam
– Minum banyak air
- Pakai stoking khas untuk melancarkan pengaliran darah.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,482 views