Mula Suka-suka, Kini Aktif Berkayuh

Kira-kira dua tahun lalu, lapan wanita ini hanya menjadi pemerhati dan penyokong kepada suami masing-masing setiap kali pasangan mereka menyertai aktiviti berbasikal di sekitar taman perumahan.

Sesekali mereka cuba mengayuh, itu pun selepas termakan ajakan suami yang mahu mereka turut serta atas alasan sekadar suka-suka.

Namun, bermula daripada suka-suka itu, ia menjadi titik tolak pembabitan mereka dalam aktiviti berbasikal ini yang dilakukan pada setiap malam Khamis dan hujung minggu di kawasan berhampiran kediaman mereka di Prima Saujana, Kajang.

Apabila minat sudah bercambah di hati, mulalah pasangan masing-masing sanggup membelikan basikal supaya boleh bersama-sama menyertai aktiviti yang dianjurkan.

Menggelar diri mereka sebagai kumpulan diva kelab berbasikal Doc-Roc Cycling Team (DRCT), peluang berkumpul beramai-ramai melakukan aktiviti riadah yang menyihatkan membuatkan mereka berasa seronok.

Sejak itu, kumpulan diva ini tidak menoleh ke belakang lagi. Aktiviti berbasikal meredah bukit, hutan belukar, hujan atau sekadar menyusuri tepian jalan raya dijadikan aktiviti mingguan bagi mengisi masa lapang.

Lina Mohd Noor, 39, berkata, penyertaan aktiviti sedemikian membentuk disiplin dan keyakinan diri yang kuat selain mengeratkan silaturahim bersama rakan.
Malah, ia juga mampu meningkatkan ikatan kasih sayang dan persefahaman kerana dilakukan bersama pasangan masing-masing.

“Jujurnya, saya tidak sangka berupaya melakukan aktiviti ini kerana ia seakan-akan nampak mudah, namun hakikatnya memerlukan kudrat tulang empat kerat yang cukup kuat.

“Aktiviti ini mencabar, tetapi pada masa sama menyeronokkan. Kami juga dapat membentuk sikap bekerjasama serta semangat berpasukan yang tinggi.

“Sepanjang lebih dua tahun menyertai aktiviti berbasikal ini, ia memberi pengetahuan dan kemahiran untuk mendaki bukit, menuruni curam dan pelbagai lagi teknik yang mencabar kepada saya,” katanya.

Walaupun mereka bergelar isteri, ibu dan pekerja yang sibuk menguruskan pelbagai urusan rumah tangga serta pejabat, ia tidak menjadi alasan mereka tidak boleh melakukan aktiviti berkenaan yang banyak dimonopoli kaum Adam.

Biarpun ada golongan yang masih beranggapan aktiviti itu tidak sesuai untuk wanita, kebanyakan orang menganggapnya sebagai aktiviti berfaedah apatah lagi apabila ia dilakukan bersama suami.

Malah, ia boleh memberi rangsangan kepada ahli keluarga lain dan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup aktif.

Seorang lagi ahli kelab, Normarina Abdul Jabbar berkata, walaupun mereka sibuk dengan urusan rumah tangga, sempat juga meluangkan masa kira-kira tiga jam untuk berbasikal bersama suami dan rakan setiap Rabu dan hujung minggu.

“Semua ini dilakukan selepas menguruskan hal di rumah dan pada waktu petang atau malam kami berkumpul sebelum berkonvoi ke tempat yang ingin dituju.

“Kami juga berasa lebih yakin selepas menyertai aktiviti yang boleh dikategorikan sebagai lasak ini,” katanya yang pernah cedera di muka, tangan dan kaki ketika menyertai kayuhan amal mahupun jambori.

Bagaimanapun, ia bukan faktor penghalang untuknya terus melakukan aktiviti berbasikal.

Dia yang pernah menyertai beberapa acara berbasikal seperti jambori berkata, aktiviti sedemikian bukan saja memerlukan kekuatan fizikal dan mental, tetapi juga kemahiran dan kesabaran terutama ketika melalui kawasan mencabar.

“Sukan berbasikal sememangnya memenatkan dan memerlukan stamina yang tinggi, tetapi di sebaliknya ia mengajar kita supaya tabah dalam menghadapi cabaran.

“Walaupun kami semua wanita, kami tiada masalah menyertai aktiviti ini kerana ia turut membabitkan suami masing-masing yang banyak mengajar serta membantu,” katanya.

Rakannya, Sheriza Mohd Nazir, 41, pula berkata, penyertaan wanita dalam aktiviti lasak sudah menjadi kebiasaan dan ia diterima oleh masyarakat.

Selain mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah, menyertai aktiviti itu memberi peluang kepada kami menimba pengalaman baru selain menghabiskan masa dengan suami serta rakan.

“Kami menyertai pelbagai acara berbasikal atau jambori di merata tempat antaranya di Beserah, Kluang, Alor Gajah dan Kuala Kangsar.

“Panas terik, hujan, ribut petir semuanya kami tempuh sedaya mungkin. Pernah di pertengahan jalan ada antara kami yang sudah tidak terdaya lagi dan rasa mahu mengalah, tetapi semangat berpasukan serta menyokong antara satu sama lain membuatkan kami meneruskan perjalanan,” katanya yang memberitahu pada permulaan, kelab DRCT ini hanya dianggotai kaum Adam sebelum segelintir isteri ahli kelab menyertainya.

Ahli kelab paling muda, Norfadzilah Uzir Abd Wahab, 34, berkata dengan mengayuh basikal, mereka juga dapat menurunkan berat badan secara perlahan-lahan untuk menjaga kecantikan tubuh.

Pemakanan yang diambil sebelum dan selepas berbasikal amat penting bagi memastikan kecergasan mereka berada di tahap memuaskan supaya tidak mengah mahupun ‘pancit’ ketika menunggang basikal lebih-lebih lagi apabila perlu mendaki bukit.

Selalunya, sebelum menyertai sesuatu acara atau jambori, mereka mempergiatkan latihan dengan mengayuh lebih kerap seperti tiga kali seminggu.

Makanan diambil pula lebih kepada makanan kurang berminyak seperti sup atau makanan berasaskan rebusan. Majalah kecergasan turut dijadikan panduan dalam pemilihan diet seharian mereka.

Contohnya, untuk bekalan tenaga sewaktu acara, mereka akan bawa buah kurma dan coklat yang boleh dimakan di setiap perhentian.

Bagi mereka yang mempunyai masalah kewangan untuk menjadi ahli di kelab kecergasan atau gimnasium, aktiviti berbasikal seperti ini boleh dijadikan pilihan kerana selain murah, ia juga berkesan, menyeronokkan dan mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan sekiranya dilakukan secara beramai-ramai bersama keluarga dan sahabat-handai.

Antara kelebihan berbasikal adalah mampu menstabilkan keseluruhan otot tubuh terutama di bahagian pinggul dan bahu, mengurangkan risiko penyakit, menurunkan kadar kolesterol dalam badan, menguatkan tulang dan merehatkan minda.

Berbasikal senaman yang sesuai bagi semua peringkat umur dan latar belakang. Tidak seperti tanggapan umum, berbasikal bukan hanya tertumpu pada bahagian kaki kerana ia turut membabitkan aktiviti kardio dan pernafasan yang menguatkan badan.

Tidak cukup dengan itu, aktiviti ini juga membantu daya ketahanan jantung dan saluran darah dengan mengalirkan darah yang tinggi kandungan oksigen ke seluruh badan sambil membakar lemak badan serta mengurangkan selulit.

Secara tidak langsung, ia menggalakkan jantung menjadi lebih cekap, memperbaiki sistem pernafasan dan aliran darah dengan menguatkan otot jantung.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

524 views