Murid Jadi Patrol Denggi

TIADA yang lebih meresahkan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang di Sekinchan, Selangor, Mohd Yusof Basir, apabila berhadapan dengan situasi ahli keluarga menjadi mangsa denggi.

Bahayanya demam bawaan nyamuk aedes itu kerana ia boleh membawa maut dan sehingga hari ini, belum ada vaksin atau ubat khusus yang mampu menyembuhkan wabak itu.

Justeru, apabila Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Sanofi Pasteur menganjurkan program kesedaran tangani denggi, Patrol Denggi 2019, dia menyarankan pembabitan semua warga sekolah berkenaan menjayakan aktiviti khusus menangani wabak itu.

Berkat penyertaan dalam kempen berkenaan, sekolah itu menerima Pengiktirafan Emas Keseluruhan Kategori Sekolah Rendah dan Persembahan Video Terbaik dan membawa pulang imbalan wang RM5,000 serta RM1,000.

Kata Mohd Yusof, program Patrol Denggi perlu diteruskan dalam memastikan mesej mengenai bahaya demam itu sampai dalam kalangan komuniti apatah lagi murid sekolah rendah.

“Paling penting di sini ialah bahaya demam denggi itu sampai ke pengetahuan murid yang seterusnya menceritakannya kepada keluarga dan komuniti sekitar mereka. Cuma kita perlu tahu kaedah pendekatan terbaik untuk memberikan kefahaman kepada murid sekolah.

“Saya lihat usaha kreatif termasuk kaedah interaktif seperti kuiz dan rakaman video dijayakan guru serta murid menjadikan kempen kesedaran ini sesuatu yang menyeronokkan.

“Selain pengetahuan bertambah, murid juga sedar mereka boleh memainkan peranan penting apabila pulang berkongsi ilmu dengan ahli keluarga di rumah dan diharap ia menerap tabiat baik dalam menangani pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Dalam ucapan Timbalan Menteri Pelajaran, Teoh Nie Chin yang disampaikan wakilnya, Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Murid), Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Faridah Yang Razali, menekankan penyertaan yang menggalakkan dalam kalangan warga sekolah membantu memberi kesedaran umum bahaya denggi.

“Sejak Patrol Denggi 2019 diperkenalkan pada 2011, beribu-ribu murid sudah menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Patrol Denggi dan giat menyebarkan mesej kepada rakan sebaya dan komuniti setempat.

“Apatah lagi denggi adalah wabak endemik di Malaysia dan usaha memeranginya memerlukan pengawasan yang berterusan pada setiap peringkat masyarakat tanpa mengira usia dan lokasi.

“Peranan itu dimainkan oleh Ahli Patrol yang mempamerkan kreativiti, kepintaran dan dedikasi dalam memberi kesedaran mengenai bahaya penyakit itu dan selayaknya menerima pujian serta pengiktirafan atas usaha luar biasa mereka,” katanya.

Tahun ini, program itu yang berlangsung dari Mac hingga September lalu, menarik penyertaan 131 sekolah rendah dan menengah seluruh negara menerusi 15,215 inisiatif dasar dan 564,786 aktiviti dalam talian. Usaha ini disertai lebih 795,673 anggota masyarakat, sekali gus mendorong pemahaman lebih baik mengenai bahaya denggi.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Bintulu, Sarawak memenangi kategori utama anugerah Pengiktirafan Emas Keseluruhan Kategori Sekolah Menengah, membawa pulang wang tunai RM5,000 dan kategori sampingan, Penghantaran Video Terbaik memenangi hadiah RM1,000.

Sementara itu Pengurus Besar Sanofi Pasteur Malaysia dan Brunei, Camille de Lataillade berkata, sebagai rakan strategik dalam kempen berkenaan, pihaknya percaya langkah terbaik dalam menangani ancaman kesihatan awam ialah menerusi pencegahan.

“Pencegahan adalah langkah paling penting dalam sebarang ancaman kesihatan awam. Kami berterima kasih atas sokongan berterusan dari Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan. Kami harap Patrol Denggi akan terus berjaya menyampaikan mesej pencegahan denggi kepada rakyat Malaysia,” katanya menjangkakan program itu akan dilaksanakan tahun depan. Maklumat lanjut akan disediakan di www.denguepatrol.com.my .

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

206 views