Muzik Mariachi
DIA baru saja belajar bermain gitar, tetapi Xcaret Gonzalez yang belum pun mencecah usia enam tahun sudah menyimpan impian besar. Dia mahu belajar dengan baik supaya satu hari nanti dia boleh menubuhkan kumpulannya sendiri kugiran yang memainkan muzik mariachi. Satu perkara penting bagi orang Mexico dan ia sudah diisytiharkan sebagai warisan kebudayaan dunia.
“Ini tahun pertama saya. Saya mahu belajar menyanyi dan bermain gitar,” kata Xcaret dari Bronx yang ditemui ketika waktu rehat di Akademi Mariachi New York.
Akademi ini mengadakan kelas muzik Mexico sebanyak tiga kali seminggu untuk kanak-kanak.
Kini ia mempunyai 120 pelajar muda, kebanyakannya berumur antara tujuh hingga 17 tahun yang diambil di sekolah muzik di Harlem, kawasan perumahan di utara Manhattan.
Muzik yang bising dan rancak, mariachi dikatakan bermula sebagai muzik yang dimainkan di ladang pada zaman kolonial, tetapi sesetengah pakar berpendapat ia bermula lebih awal iaitu pada 1850.
Ia antara muzik Amerika Latin yang paling menyerlah dan terkenal di seluruh dunia. Rentak muzik mariachi yang rancak biasanya menggabungkan beberapa pemuzik termasuk pemain biola, gitar dan trompet.
Ramon Ponce, pengarah akademi berkenaan merangkap guru gitar berkata, dia mempunyai misi untuk menyebarkan keriangan muzik mariachi ke Amerika yang menjadi ‘negara angkatnya’.
“Kami mahu bawakan muzik Mexico untuk masyarakat di New York,” katanya.
Dia bercadang membuka sekolah muzik selepas kumpulan muziknya menerima sambutan baik.
“Sudah 20 tahun kami bermain muzik dan setiap kali mengadakan persembahan, kanak-kanak akan datang dan bertanya soalan mengenai muzik ini,” kata Ponce.
Akademi berkenaan mengajar muzik mariachi dengan menggunakan pelbagai alat muzik.
Malah, sejak tahun lalu pelajar mula diajar menggunakan hap selain kelas teori muzik.
Muzik mariachi ‘dilahirkan’ di Jalisco, mula berkembang dan diturunkan daripada satu generasi ke generasi boleh didengar di seluruh Mexico.
Malah ia boleh dinikmati di seluruh dunia apabila ia turut dimainkan di bar, restoran, majlis perkahwinan dan bar mitzvah (upacara wajib yang mesti dilalui setiap kanak-kanak lelaki Yahudi yang sudah mencapai umur 13 tahun atau baligh dan membuktikan anak itu diterima masuk ke dalam masyarakat).
Keunikan muzik ini membuatkan bahagian Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) tahun lalu mengangkat
martabatnya dan mengisytiharkan sebagai sebahagian warisan kebudayaan dunia.
Mexico berkata, dalam permohonannya bagi mendapatkan pengiktirafan Unesco
itu, walaupun menjadi lambang kepada kebudayaan negara, namun gaya muzik
tunggal seperti mariachi biasanya berhadapan dengan risiko ditenggelamkan muzik pop dan yang tidak berunsurkan muzik rakyat.
Dalam kenyataannya tahun lalu yang meletakkan mariachi dalam senarai seni budaya terpelihara, Unesco berkata ia bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat di dalam dan luar Mexico supaya menghargai muzik berkenaan.
Kenyataan itu turut menyebut belajar melalui pendengaran adalah cara utama mewariskan muzik tradisional mariachi. Kemahiran memainkan muzik ini biasanya diturunkan daripada ayah kepada anak-anak.
Malah kumpulan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu turut mengesahkan bahawa mariachi sudah ‘melepasi sempadan dan menjadi simbol Mexico’.
Unesco yang beribu pejabat di Paris berkata, orang yang berhijrah, keturunan Mexico di luar negara termasuk Amerika Latin menjadikan mariachi moden sebagai simbol atau identiti komuniti kerana muzik inilah yang mengaitkan asal usul mereka.
Warisan ini dihidupkan di sekolah di seluruh Mexico dan semakin banyak institusi di luar negara seperti di Harlem (New York) di mana 50 pelajarnya dibahagikan kepada tiga bilik darjah berbeza ketika kelas gitar, biola dan latihan suara diadakan serentak.
“Bunyi muzik dimainkan pelajar ini mungkin kedengaran sumbang kerana talinya masih baru dan sukar hendak ditekan,” kata Ponce selepas melihat pelajarnya bersungguh-sungguh menguasai nota yang diberi.
Ketika dalam kelas, pelajar berusaha mengingat nota muzik yang ditulis di atas papan hitam dan cuba memainkannya menggunakan alat muzik yang diberikan.
Luz Lopez, berumur tujuh tahun berkata, dia sukakan bunyi gitar mariachi tetapi kini minatnya makin mendalam apabila mengetahui dia sebenarnya belajar muzik yang menjadi sebahagian daripada Mexico.
Bagi Marta Herrera, 34, dia bersyukur dapat mewariskan muzik asli kepada anak gadisnya. – AFP