Nafas Baru, Gaya Berbeza

FALSAFAH reka bentuk bagi mewujudkan ilham baru dalam penggayaan, moden dan kontemporari, menjadi asas kepada penghasilan segar dan menawan himpunan gaun petang dan malam daripada Innai Red.

Selain mencerminkan keyakinan, si pemakai himpunan kasual daripada koleksi Notte menawarkan gaun labuh dan pendek dengan potongan berseni dan tersendiri.

Mendominasi warna segar yang kekal dan memikat, setiap helaian didatangkan dalam pelbagai potongan sama ada duyung, empayar, kembang, bahu jatuh dan ala Saloma.

Setiap satu diberi nafas baru menerusi penggunaan renda pada bahagian depan, hujung baju serta tangan bagi mencetuskan penggayaan berbeza.

Menariknya, gabungan rekaan pemiliknya Arene P Khairudin dan Juliani Jamal bukan saja menonjolkan kemahiran jahitan serta kreativiti, tetapi jelas memahami apa yang diminati wanita tanpa melupakan integriti reka bentuk dalam setiap potongan.

Pengalaman sembilan tahun dalam bidang rekaan memberi kelebihan kepada kedua-dua wanita ini dalam menghasilkan setiap helaian busana sehingga dilihat mampu menarik perhatian wanita.

“Selama sembilan tahun beroperasi menggunakan label Innai, kami semakin memahami kehendak wanita dalam penggayaan. Apa yang kami hasilkan untuk memenuhi keinginan golongan Hawa yang ingin tampil elegan, segar dan pada masa sama, tidak keterlaluan,” kata Arene.

Menampilkan manifestasi pereka kepada gaya romantik, setiap gaun menggunakan rona segar seperti hijau pudina, krim, kelabu, biru dan jingga pada fabrik lembut seperti sifon, tulle dan renda. Perincian manik serta sekuin yang kemas jelas memperlihatkan ketelitian pereka dalam menghasilkan setiap rekaan.

Namun, perincian manik tidak keterlaluan dan hanya diletakkan pada bahagian tertentu seperti pinggang dan sedikit pada hujung lengan.

Bagi menambah gaya anggun, helaian gaun diberi nafas baru menerusi teknik lipatan pada baju dan kain, juraian, kedutan serta ikatan reben pada pinggang dan bahu yang menjadi tanda pengenalan pada pakaian.

Gabungan fabrik sifon dan renda pada potongan ala Saloma ternyata mencuri tumpuan sebagai mengekalkan gaya tradisi serta mencerminkan imaginasi pereka dengan tidak melupakan unsur sezaman.

“Sengaja kami tampilkan potongan yang pelbagai bagi memberi pilihan wanita memilih gaun sesuai dengan bentuk tubuh mereka. Apa yang penting, bukan saja gadis tinggi lampai mampu menggayakannya malah gaun pendek paras lutut dan blaus bersama kain boleh dipakai wanita bertubuh kecil atau sederhana,” ujar Arene.

Menurut Juliana, setiap rekaan hadir selepas berimaginasi daripada kisah percintaan dongeng yang disempurnakan menerusi potongan ala puteri dan kehebatan wanita masa kini.

“Dalam setiap rekaan ada kisah tersendiri namun kehebatan wanita pasti ingin ditonjolkan bagi menyerlahkan gaya feminin mereka,” katanya yang merancang mengeluarkan pakaian sedia dipakai pada masa depan bagi menyediakan pelbagai pilihan kepada wanita.

Innai Red adalah label fesyen di bawah kumpulan syarikat Innai yang diasaskan pada 2012. Selain Notte, turut diperkenalkan ialah koleksi busana pengantin.

Koleksi gaun Innai Red Notte berharga daripada RM1,500 sehingga RM3,500 dan dijual secara eksklusif di butik Innai Red saja.

Bagi mereka yang berminat, boleh mengunjungi butik yang terletak di C-0-10, Plaza Damas, Sri Hartamas, Kuala Lumpur atau boleh melayari laman sesawang www.innaired.com.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

19,145 views