Naikkan Seri Wajah Pengantin

Langkah disusun penuh teratur dan kemas menuju singgahsana yang indah. Daripada pakaian, solekan sehingga dandanan rambut, semuanya serba sempurna. Tiada cacat celanya, apatah lagi tumpuan mata pasti bukan saja pada busana tetapi kesempurnaan solekan dan gaya rambut sehingga mampu membuatkan hadirin tidak berkelip mata memandang.

Ramai menganggap pemilihan pakaian serta solekan adalah dua kriteria utama yang menyerlahkan keanggunan pengantin. Namun sebenarnya, teknik dandanan rambut atau sanggul unsur terpenting yang menjadikan mempelai tampil anggun dan elegan dalam setiap konsep pilihan mereka.

Menurut jurusolek profesional, Zulfazli, penggayaan sanggul masa kini tidaklah 100 peratus bergantung kepada bentuk wajah pengantin. Ini kerana menerusi teknik solekan tertentu, bentuk wajah dapat diubah mengikut kesesuaian sanggul dan aksesori digayakan. Apa yang penting, melihat kesesuaian dengan padanan pilihan sama ada berkonsepkan gaya tradisi atau moden.

“Ini dapat dilihat menerusi potongan busana seperti kebaya songket bunga tabur atau gaun labuh dilapisi renda bertemakan gaya moden atau kontemporari.

Kedua-dua konsep ini mempunyai perbezaan dari segi penataan gaya rambut sama ada pada potongan atau aksesori digunakan,” jelasnya.

Selain busana, pemilihan gaya sanggul juga bergantung kepada konsep perkahwinan sama ada tradisional atau moden. Untuk majlis tradisional, gaya sanggul pengantin akan lebih tinggi kerana bertepatan dengan etika majlis yang mementingkan kekemasan. Malah cucuk sanggul diletakkan bagi memberikan kesan klasik pada mempelai.

Ini berbeza bagi pengantin yang memilih tema moden dengan gaun labuh untuk majlis pada waktu petang atau malam. Gaya sanggul lebih ringkas dan santai menjadi pilihan. Aksesori yang dikenakan juga tidak terlalu sarat, cukup sekadar klip, tiara kecil atau kerongsang supaya kelihatan lebih anggun.

“Untuk tema majlis berkonsepkan gaya moden, dandanan sanggul sederhana dengan sedikit berserabut pada bahagian hujung memberikan kesan berbeza, apatah lagi sekiranya mempelai hanya mengenakan kerongsang pada bahagian tepi rambut. Gaya sebegini menjadikan pengantin nampak lebih muda daripada usia sebenar.

“Untuk majlis di taman dengan padanan gaun moden, mempelai sesuai mengenakan gaya rambut retro lepas yang diberikan sedikit alunan pada bahagian hujung. Selepas itu, rambut disisir pada bahagian tepi bagi menonjolkan wajah jelita mempelai. Bagi menyerlahkan penggayaan, cuma letakkan kerongsang pada tepi rambut untuk kesan berbeza,” jelasnya.

Gaya rambut moden ini sesuai untuk semua wanita terutama mereka yang memiliki wajah bujur sirih malah melepaskan rambut pada bahagian tepi akan menampakkan leher mempelai lebih jinjang.

Bagi mereka yang berambut pendek tetapi ingin membuat dandanan sanggul, tidak perlu bimbang kerana di pasaran terdapat pelbagai jenis sanggul dan rambut buatan yang mampu menyembunyikan kekurangan diri.

Penggunaan tambahan perhiasan ini langsung tidak ketara dan nampak seakan-akan asli kerana pembuatannya menggunakan rambut asli wanita.

Menurut Zulfazli, pemilihan sanggul yang tepat oleh pengantin dan jurusolek dapat membantu menaikkan seri wajah pada hari persandingan.

Setiap gaya sanggul sama ada tradisional atau moden akan kelihatan cantik sekiranya sesuai dengan personaliti mempelai.

Apa yang penting, setiap dandanan mempunyai seni tersendiri. Kekemasan dan kerapian dalam membentuk helaian rambut menjadi sanggul memerlukan kesabaran dan kemahiran yang tinggi oleh pendandan.

“Bagi mempelai pula, pendandan lebih tahu gaya atau potongan sesuai dengan wajah atau penampilan mereka. Jangan semata-mata inginkan dandanan seperti selebriti luar negara, penampilan anda sedikit cacat atau kurang serinya.

Sebaiknya berbincang dengan pendandan mengenai gaya sesuai berdasarkan busana serta konsep majlis pada hari itu,” katanya.

Panduan gaya rambut ikut bentuk muka

Bentuk segi empat atau kotak

Ini dapat dilihat menerusi dahi yang lebar, tulang pipi dan rahang seimbang sehing-ga terbentuk seperti kotak atau persegi. Pilih potongan rambut yang lembut dan agak bergelombang untuk menutupi bahagian dagu.

Elak potongan gaya geometri kecuali jika memang sengaja ingin menonjolkan kekuatan rahang. Hindari belahan rambut di tengah serta potongan rambut kaku.
Elak menyelit-kan rambut di belakang telinga.

Bentuk wajah panjang

Elak pemotongan rambut terlalu nipis terutama pada bahagian sisi kepala kerana ia memanjangkan lagi wajah anda. Seimbangkan wajah dengan potongan rambut yang menyatu di kedua-dua bahagian.

Bentuk wajah hati

Ciri-ciri bentuk wajah ini adalah dahi lebar, tulang pipi tinggi serta bentuk dagu meruncing. Elakkan panjang rambut paras dagu kerana akan membuat wajah kelihatan semakin runcing ke bawah. Pilih pelbagai poto-ngan yang membuat bahagian rahang penuh. Beri kesan kerinting pada bahagian hujung rambut.

Bentuk wajah bulat

Pilih potongan rambut yang lembut, berpering-kat atau gaya bob bertingkat untuk memberi kesan panjang dan ramping. Pada potongan rambut pendek, usahakan untuk menutupi bahagian pipi yang bulat. Boleh juga membuat potongan bertingkat bagi menutupi sisi wajah. Elakkan potongan terlalu pendek yang akan membuatkan wajah semakin bulat dan lebar.

Bentuk wajah segi tiga

Pilih potongan rambut ring-kas dengan bahagian rahang yang penuh. Potongan rambut kerinting atau bergelombang dapat menjadi alternatif bagi wajah segi tiga.

Bentuk wajah bujur

Bentuk wajah ini adalah paling ideal dan sesuai untuk semua potongan sama ada panjang atau pendek. Namun elakkan belahan rambut di tengah apabila anda memiliki bentuk hidung besar. Untuk menyeimbangkan bentuk wajah, cuba potongan bertingkat yang dimulai daripada tulang pipi.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

962 views