Nak Jadi Arkitek Bukan Pelakon

Betul! betul! betul! Perkataan ini bukan saja sering menjadi sebutan dan ajukan kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa sama ada yang masih bujang atau sudah ‘lama’ menjadi ibu bapa.

Menerusi ‘tagline’ itu juga, ia mencetus fenomena tersendiri, bukan saja di negara ini bahkan di negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

Dengan nada suara halus bertubuh kecil, gelagat watak comel kartun Upin dan Ipin yang mengungkapkan perkataan ini cukup popular dalam kalangan kanak-kanak.

Mungkin tidak ramai yang tahu, di sebalik suara unik animasi popular berkenaan, tersembunyi wajah si cilik yang kini sudah meningkat remaja, Asyiela Putri Azhar, 13, yang cukup sinonim dengan karakter itu.

Tidak seperti pelakon cilik lain yang semakin popular, bintang alih suara ini berbeza dengan mereka.

Wajahnya tidak menghiasi kaca televisyen mahupun panggung wayang tetapi hanya gadis kecil yang meminjamkan suara untuk dua watak yang begitu diminati.

Mendengar saja suara comelnya ketika menjayakan watak terbabit, tidak terlintas dalam fikiran dia sebenarnya remaja yang pemalu. Di luar studio, dia tidak banyak bercakap, tidak seperti celotehnya ketika menjayakan watak itu.

Bagaimanapun, apabila menjawab setiap pertanyaan yang diajukan, pemilik nama indah ini akan bercerita penuh semangat sambil menguntum senyuman manis walaupun pada pertemuan yang diatur minggu lalu dia kurang sihat.

“Walaupun saya dikenali melalui siri kartun ini, saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi pelakon popular suatu hari nanti.

“Setakat ini, cita-cita saya nak jadi arkitek. Saya belum bersedia menjadi pelakon sebab kalau jadi pelakon, kena berani tetapi saya pula pemalu.

“Kini, saya lebih selesa bersama Upin dan Ipin serta bekerja di belakang tabir. Untuk menjadi pelakon, saya rasa buat masa ini, saya belum ke arah itu. Lagipun, saya masih muda dan banyak perkara perlu dilakukan terutamanya kejayaan dalam bidang akademik,” katanya.

Anak bongsu kepada pasangan Azhar Ahmad@Salleh, 47, dan Eda Huraini Hussain, 45, ini bagaimanapun menyatakan dia bukan seorang yang pemalu hingga sukar didampingi sebaliknya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan teman baru atau suasana persekitaran.

Ketika ditemuramah, kelihatan keakraban dia dan ibunya. Sesekali Eda Huraini akan memperbetulkan juntaian rambut sambil mengusap lembut rambut Asyiela Putri.

Menurut ibunya, selepas menyertai pelbagai aktiviti promosi Upin dan Ipin di dalam dan luar negara, ternyata keyakinan diri yang ditunjukkan oleh Asyiela Putri tatkala berhadapan orang ramai begitu berbeza dibandingkan rakan
seusia.

“Asyiela mula menjadi suara latar bagi watak Upin dan Ipin seawal umurnya 10 tahun dan apabila dia perlu mengikut siri jelajah atau promosi rancangan berkenaan pada mulanya dia gugup tetapi kini rasa gementarnya sudah hilang.

“Kami sekeluarga boleh lihat tiada riak takut, malu atau gementar lagi pada wajahnya ketika sedang bekerja sebaliknya bertukar watak menjadi kanak-kanak pemalu dan pandai menyesuaikan diri.

“Seperti kakaknya, Adreena Putri, Asyiela anak yang baik, rajin dan tidak banyak kerenah. Dia juga seperti kanak-kanak lain yang suka bermain, mengusik, menonton televisyen dan makan makanan kegemarannya iaitu sushi.

“Apa yang saya perhatikan sejak kecil, Asyiela seorang yang memilih dalam bab makanan, dia tidak suka makanan pedas tetapi gemar sayur-sayuran. Asyiela tidak mengambil sebarang makanan tambahan tetapi saya akan pastikan dia minum susu setiap hari untuk kecerdasan minda dan kecergasan badan,” katanya.

Bersekolah dalam tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Precint 11 (1), menurut Azhar, Asyiela dan kakaknya meminati seni dan mereka berdua pandai bermain alat muzik seperti gitar dan piano, menyanyi serta gemar mengambil gambar.

Baginya, ibu bapa harus memberi sokongan terhadap minat anak dan perlu memantaunya supaya bidang pelajaran dan minatnya berjalan seiring.

Peluang menjadi suara latar bagi watak Upin dan Ipin dilihat sebagai pendedahan kepada Asyiela Putri terhadap perkara baru tetapi ia mestilah bersandarkan minat dan dalam situasi ini, anaknya memang menggemari kartun kesukaan ramai itu sejak kecil.

Bukan dibuat-buat, suara Asyiela Putri memang persis Upin dan Ipin ketika kecil cuma selepas meningkat remaja suaranya sedikit berubah tetapi masih boleh membuat suara comel itu.

“Saya dan isteri amat mementingkan pelajaran mereka dan daripada awal saya sudah nyatakan, jika mereka sukakan sesuatu perkara kedua-dua perkara ini perlu diseimbangkan.

“Mereka memahaminya dan saya bersyukur sebab isteri sentiasa ada di samping mereka serta secara tidak langsung menjadi pengurus peribadi terutamanya untuk Asyiela.

“Guru sekolah Asyiela sangat baik dan memberi sokongan justeru kami tidak ada masalah. Tahun lalu, walaupun Asyiela sibuk dengan pelbagai urusan dan kadang-kadang penat memenuhi jadualnya, dia berjaya mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Alhamdulillah, berkat usahanya mengulangkaji pelajaran selepas melakukan sesi rakaman suara dan aktiviti kokurikulum di sekolah, dia mendapat kejayaan ini,” katanya yang bekerja sebagai pensyarah animasi di Universiti Multimedia (MMU).

Di sekolahnya dulu, siri animasi berkenaan adalah kartun popular yang begitu diminati. Ramai yang mengetahui suaranya digunakan untuk siri itu, dan ramai juga yang menyuruh Asyiela Putri membuat suara Upin dan Ipin di sekolah.

Amat meminati subjek Matematik, Asyiela akui dia perlu membahagikan masa dengan bijak antara pelajaran dan minatnya agar tidak tercicir.

Seperti biasa, dia juga seperti pelajar lain yang akan ke sekolah pada waktu pagi cuma bezanya, sebelah petang pula ke studio untuk proses rakaman suara.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

504 views