Nilai Tidak Akan Jatuh

INGIN memartabatkan budaya busana tradisional masyarakat Melayu, penggunaan songket dan batik sebagai fabrik utama dalam setiap rekaan nyata satu usaha yang patut dibanggakan.

Walaupun masih menggunakan rekaan busana tradisional seperti kebaya, ia diubah suai dengan memberikan sentuhan moden agar lebih menepati perkembangan fesyen terkini.

Itulah antara kelebihan yang diketengahkan butik pengantin Seri Jemari Songket (SJS) kepada bakal raja sehari yang ingin tampil anggun menggayakan busana tradisional Melayu pada hari bersejarah mereka.

Pemilik butik berkenaan, Joosaidy Johari, berkata sungguhpun memberikan pilihan tradisional untuk digayakan pasangan bakal raja sehari, bentuk dan rekaan gayanya perlu mengikut perkembangan fesyen terkini.

“Saya ingin kembali menjadikan songket sebagai pilihan busana terbaik kepada pasangan raja sehari serta semua penggemar fesyen tempatan kerana kualiti yang tinggi dalam setiap penghasilan songket.

“Ia satu bahan yang boleh disimpan untuk satu jangka masa lama walaupun tidak digunakan lagi. Malah nilainya juga tidak akan jatuh seperti barangan sedia ada di pasaran,” katanya yang sentiasa mencari idea baru yang lebih praktikal bagi menghasilkan rekaan busana berasaskan songket bermutu agar ia kembali diminati penggemar fesyen tempatan.

Masih lagi menggunakan rekaan bunga tabur dan bunga penuh untuk corak pada songket, bentuk terbabit mula dipelbagaikan bagi membolehkannya bersaing dengan rekaan terkini.

Tidak dinafikan harga bagi sepersalinan songket agak mahal tetapi keanggunan yang dibawa apabila mengenakan busana berkenaan memberikan kepuasan tidak terhingga kepada penggemarnya.

“Adakalanya penggunaan motif tradisi terbabit tidak disesuaikan dengan individu yang menggunakannya hingga menenggelamkan gaya dan menampakkan pemakaian songket seperti tidak bersesuaian.

“Ini disebabkan saiz badan setiap individu tidak sama oleh itu, bentuk bunga penuh sesuai digayakan mereka yang memiliki tubuh langsing dan kurus. Pilihan motif bunga tabur pula sesuai untuk mereka yang berbadan agak berisi kerana ia boleh menghasilkan ‘bayangan’ bentuk badan yang lebih kecil,” katanya ketika ditemui di butiknya di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Butik berkenaan turut menyediakan pilihan menarik batik untuk disesuaikan dengan bentuk rekaan busana bagi memberikan kelebihan kepada penggemarnya.
Antara kelainan yang ingin diketengahkan adalah penggunaan batik kapas dan batik opel yang boleh dipelbagaikan bentuknya.

“Saya memilih gabungan kain sebegini kerana ia lebih memberikan keselesaan kepada pengguna terutama bagi memberikan rasa lebih sejuk dalam keadaan persekitaran yang panas.

“Ada individu tidak menggemari penggunaan batik kerana kainnya yang mudah renyuk tetapi ia berbeza jika koleksi batik kapas dan batik opel menggunakan kain berkualiti tinggi,” katanya.

Dia yang turut terbabit dalam persiapan pakaian kakitangan dan pegawai istana dalam istiadat pertabalan Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, baru-baru ini, berkata banyak menggunakan songket tenunan tangan dari Terengganu untuk tengkolok, bengkung dan sampin yang dipakai ketika pertabalan itu berlangsung.

“Songket yang dihasilkan dengan tenunan tangan adalah koleksi terbaik yang boleh dimiliki kerana setiap bentuk dan corak terhasil lebih bermutu dan kualitinya terjaga.

“Bukan bermakna pembuatan menggunakan mesin tidak bermutu tetapi kehalusan dan ketelitian tenunan tangan lebih memberikan kepuasan terutama kepada penggemar busana berasaskan songket,” katanya.

Terima kasih:

Butik Seri Jemari Songket

15-1, Jalan Wangsa Setia 1, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur
(03-41437511/ serijemari@blogspot.com atau emel – serijemari@yahoo.com)

Model: Emy Asmida dan Elmy Moin

Tatarias: Key Rahman – 017-3103021

Dandanan Rambut: Wan Afiq – 013-2563125 (wanafiqwanafiq69@yahoo.com)

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,840 views