Noor Syafika Minat Sejak Kecil

Minatnya terhadap aktiviti membabitkan papan selaju bermula sejak Noor Syafika Mohd Noor berusia 11 tahun. Ketika itu dia masih bersekolah rendah. Minatnya pada aktiviti berkenaan tercetus selepas meminjam dan menggunakan papan selaju milik rakannya.

“Ketika itu, saya masih belum ada duit untuk membelinya sendiri. Jadi terpaksa meminjam dan cuba menggunakan papan selaju rakan bagi merasai keseronokannya.

“Memang pada mulanya saya berasa takut untuk melakukan aktiviti berkenaan disebabkan ketika itu tidak ramai perempuan yang menyertainya,” katanya.

Tambahnya, pada masa sama dia perlu melupakan seketika aktiviti berkenaan kerana tidak mempunyai wang untuk membeli papan selaju.

Apabila dia berpindah ke sekolah sukan ketika berusia 13 tahun, hatinya tegas menyatakan bahawa dirinya perlu mengambil langkah permulaan untuk bergiat aktif dalam aktiviti berkenaan.

Tambahnya, tempoh dua tahun meninggalkan aktiviti itu cukup membuatkan hatinya begitu rindu untuk melakukannya semula.

Akhirnya, pada 2013 dia nekad untuk belajar teknik asas hingga mencabar selepas memperoleh papan selaju sendiri.

Selepas itu, dia mengikuti pelbagai kelas berkaitan seperti Hellbent Skate Shop selama sehari bagi memastikan dirinya memiliki pengetahuan lengkap mengenai sukan papan selaju.

Ia juga menjadikannya lebih memahami antara aksi wajib yang perlu dilakukan ketika mengendalikan papan selaju seperti ollie (‘trick’ asas untuk mengangkat papan selaju) dan ‘pop shovid’ setiap kali bermain.

Kini, hampir lima bulan remaja berusia 14 tahun itu menyertai Flat’mouse Chras Crew bagi membolehkan dia berkongsi pelbagai teknik dan kisah menarik bersama ahli yang lain.

Malah, anak ketiga daripada lima beradik ini juga berasa gembira apabila minatnya itu turut disokong ibu bapanya yang membuatkan dia terus berusaha menguasai pelbagai teknik lebih mencabar.

Baginya, peluang yang terbuka luas di samping sokongan padu daripada keluarga tidak akan disia-siakan begitu saja.

Sementara itu, Amirul Haziq Hamizon, 14, yang menyertai kelab Langat Scene Spot turut berasa teruja apabila dapat melakukan aktiviti papan selaju bersama rakan-rakannya.

“Saya melakukan aktiviti ini sekadar untuk berseronok. Minat dalam aktiviti ini bermula sejak saya berusia 12 tahun.

“Apabila menyertai aktiviti membabitkan papan selaju bersama rakan, saya dapat berkomunikasi dengan rakan baru atau lama mengenai cara untuk memperbaiki kelemahan diri dalam sukan ini.

“Di samping itu, saya juga dapat belajar mengenai 10 gaya asas sebelum boleh mengendalikan papan selaju dengan baik,” katanya.

Tambahnya, dia juga begitu mengagumi kehebatan nama besar dalam sukan papan selaju, Tony Hawk iaitu raja papan selaju yang diminati sejak dulu lagi.

Kepelbagaian teknik yang dipraktikkan membuatkan nama peluncur legenda itu terus dijadikan panduan dan menguatkan semangatnya untuk terus kekal meminati aktiviti berkenaan sehingga ke hari ini.

Amirul Haziq dan Noor Syafika antara pemain papan selaju yang bertuah dan berpeluang menemui nama besar dalam sukan lasak itu di Mont Kiara Skate Park, baru-baru ini.

Ia bertujuan untuk mempertemukan bintang sukan itu dengan generasi muda yang meminati aktiviti bermain papan selaju dan menggalakkan mereka untuk terus aktif dalam bidang sukan berkenaan.

Pada masa sama, Tony turut meluangkan masa menunjukkan pelbagai aksi menarik dan berkongsi tip berguna hingga membuatkan penonton terpegun.

Walaupun kini usia semakin meningkat, namun dia masih kelihatan bertenaga untuk melakukan teknik yang pernah dilakukannya satu ketika dulu.

Tony berkunjung ke Malaysia sempena Majlis Anugerah Sukan Dunia Laureus yang diadakan pada 26 Mac lalu. Acara berkenaan yang mengiktiraf pencapaian dalam bidang sukan adalah majlis penghormatan perdana dalam kalendar sukan antarabangsa.

Bermula sebagai sukan jalanan, kini aktiviti papan selaju yang bermula di Amerika Syarikat semakin berkembang di peringkat antarabangsa.

Bagi penggemar aktiviti berkenaan, nama Tony Hawk berada di tangga teratas dalam senarai idola mereka.

Juara dunia itu bukan saja hebat dengan aksi papan selaju, malah berjaya sebagai ahli perniagaan di samping memiliki pakaian, peralatan papan selaju, permainan video dan DVD dengan jenamanya sendiri iaitu Tony Hawk.

Kemunculan Tony menjadikan aktiviti yang pada mulanya hanya popular di lorong sekitar California menjadi fenomena global.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

475 views