Novel Bersiri – Istikharah Sang Perindu (Siri 38): Hak Hati Kepada Diri, Hak Diri Kepada Hati

Tidak percaya apa yang didengar, Kak Ika bertanya lagi. Ditadahnya telinga, aku rasa mahu sahaja dia pinjam telinga gajah untuk memastikan apa sahaja yang aku katakan masuk semuanya ke dalam telinganya.

Rasa semacam mahu ditarik cuping telinganya luas-luas. Dahinya berkerut. Matanya berbilau-bilau pandang aku. Sungguh-sungguh dia tidak percaya.

“Iya cucu. Pak Long dah cakap pasal cucu. Kak Ika nak percaya atau tak itu bukan urusan Jehan. Kak Ika ada hati, Kak Ika ada diri. Hati dan diri itu hak Kak Ika. Hak Jehan hanya boleh katakan bahawa, janganlah Kak Ika abaikan hak hati kepada diri dan tunaikanlah hak diri kepada hati. Kalau tidak, sampai bila-bila pun Kak Ika masih terawang-awang mencari makna bahagia.”

Tadinya Kak Ika terkejut macam terserempak hantu, kali ini tercengang macam hantu yang dia nampak itu berkata-kata dengan dia. Dia terpinga-pinga. Multi perasaan bergumpal-gumpal dalam hati dan perasaan dia. Bingung, seram sejuk, tidak percaya, bimbang, ragu dan rasa bersalah pun ada.

Inilah peluang yang sangat baik untuk aku mengasak dia terus. Kalau peluang keemasan yang Allah peruntukkan pada aku ini, tidak aku gunakan sebaik mungkin, bukan sahaja aku dan Kak Ika yang rugi, malah seluruh keluarga Haji Mustakim juga akan menanggung kerugian ini.

“Dia ada hajat besar pada Kak Ika. Hukum menunaikan hajat ini ada lima juga Kak Ika. Dalam kes Pak Long ini Jehan rasa, Kak Ika wajib tunaikan. Banyak faktor yang menyebabkan hukum yang mulanya sunat dan harus itu jatuh menjadi wajib.”

Aku buat muka suci. Wajah yang tidak pernah menipu dan semua kata-kataku benar-benar belaka.

“Hajat?” Kak Ika dua kali terkejut.

Aku mengangguk. “Kalau Kak Ika abaikan hajat Pak Long, Kak Ika kena bertanggungjawab di atas tindakan Kak Ika.” Aku pandang muka Kak Ika yang haru-biru.

Dia terkial-kial mencari kata-kata. Nampak dia gugup.

“Kak Ika kena tanggung apa yang Kak Ika buat pada Pak Long dan Kak Ika kena jawab di akhirat nanti, kenapa Kak Ika pilih untuk lakukannnya di dunia. Itulah yang dikatakan tanggungjawab. Kak Ika faham apa yang Jehan katakan bukan?” Aku pandang muka dia lagi.
Dia nampak begitu terseksa dengan kata-kataku.

“Jangan pilih untuk merana Kak Ika, kalau Allah sudah hadiahkan kita bahagia. Mengapa pilih untuk susah kalau Allah sudah berikan kita kemudahan. Kak Ika tak rasa bersalahkah pada Pak Long kalau hajat dia yang besar ini Kak Ika sia-siakan?”

Terasa menjadi hakim aku jatuhkan hukuman itu. Suara aku padu dan mantap. Bukannya senang nak buatkan Kak Ika jadi patuh dan percayakan cakap aku seratus peratus. Kalau boleh aku nak dia rasa bersalah, nak dia rasa bahawasanya dalam kedaan dan situasi begini, mengikut kata-kata dan arahan aku adalah satu kemestian. Kemestian yang tidak boleh dibantah dengan apa cara sekalipun.

“Hajat?” Kak Ika bertanya dengan muka semakin huru-hara.

Darjah ketidakpercayaannya, mendengar kata-kataku, semakin meningkat. Semakin membakar sanubari dia. Dia mungkin tidak percaya apa yang aku cakap dan semakin tidak percaya yang aku boleh bercakap sebaik dan sebijak itu.

Perlukah aku beritahu dia, kebijaksanaan aku berkata-kata sekarang adalah asuhan dan tunjuk ajar daripada mentor aku yang kedua iaitu Ustaz Naufal?

“Hajat?” Dia bertanya kali seterusnya, seolah-olah pada dirinya sendiri.

“Iya hajat.” Cepat-cepat aku mengangguk dan meyakinkan dia bahawasanya, apa yang dia dengar adalah benar.

“Hajat. Iya, hajat. Pak Long berhajat besar untuk menimang cucu. Cucu daripada anak tunggalnya yang bernama Syafikah.”

Mulanya terasa juga keyakianan untuk menawan hati Kak Ika agar turut perintah aku mula bergoyang, tetapi apabila aku rasakan getaran suara Kak Ika mengulangi perkataan hajat, aku mula rasa semakin yakin pula. Semakin yakin, yang usaha aku untuk menjentik pintu hati Kak Ika agar mengeluarkan bunyi ketukan yang kuat agar pintu yang begitu lama terkunci itu akan terbuka dengan jayanya.

Berjaya dengan cemerlang untuk membuka pintu hati Kak Ika agar dapat menerima permintaan Pak Long. Pintu untuk menerima kembali Ustaz Naufal dalam hidupnya.

“Jangan main-main Jehan.” Darjah ketidakpercayaan yang semakin meningkat, terus meningkat, Kak Ika terpaksa mengeluarkan kata-kata mengugut.

Ugutlah, dia ingat aku takut?

“Jangan main-main Jehan.” Dia ulangi lagi kata-kata itu apabila aku tidak berikan apa-apa komen. Syukurlah senyuman aku buatkan hatinya mula berbelah bahagi. Separuh percaya dan yakin dengan apa yang aku katakan, separuh lagi tak percaya.

Wow, ini sudah sangat baik, hati Kak Ika sudah mula bergoyang.

“Jangan main-main dalam soal yang besar ini, Jehan.” Kak Ika mengugut lagi.

Peduli apa aku dia mengugut atau tidak kerana dalam soal ini, aku yang diberi kuasa veto untuk mengugut dia. Kuasa yang diberikan pada Kak Ika, hanya sebaris perkataan ini; Kak Ika aku ikut apa sahaja yang baik untuk mendamaikan sengketa dan gelora keluarga kita. Tanpa prejudis, tanpa kompromi.

“Kak Ika kena percaya. Kisah benar ini bukan rekaan Jehan. Ini kenyataan yang Kak Ika wajib terima.”

Kak Ika kehilangan kata. Dia hanya mengeluh panjang. Mati akal, dia. Pertama kali aku nampak muka dia sehuru-hara dan sekeruh itu. Ah, siapa pun dia, dia tetap seorang manusia. Setinggi mana pun ilmu psikologi yang dia miliki, dia tetap seorang manusia yang akan tergoyang juga hatinya apabila kena panahan psiko yang tepat pada waktu dan ketikanya.

“Kak Ika dengar betul-betul permintaan Pak Long ini. Bolehlah dikatakan ini wasiat dia.”

Semakin terbeliak mata Kak Ika pandang aku.

“Kak Ika kena terima, kena hormat dan kena hargai, niat, hasrat dan hak Pak Long. Dia berhak untuk berhasrat, berniat dan bercita-cita untuk berikan Kak Ika suami dan Kak Ika kena berikan dia cucu. Cucu-cucu yang soleh dan solehah daripada pasangan yang soleh dan solehah iaitu daripada pasangan Dr Syafikah dan Ustaz Naufal. ” Aku mengangguk dan menjawab selamba.

Aku nampak darah seriau tersimbah di muka Kak Ika. Dia pandang aku, macam akulah hantu yang dia terserempak tadi. Dan akulah hantu yang bijak dan pandai berkata-kata.

“Itulah permintaan yang paling bermakna, yang mungkin juga permintaan terakhir Pak Long pada Kak Ika.”

Dahinya berkerut memikir. Mukanya nampak berserabut.

“Tak payah nak fikir, tak payah nak timbang-timbang perasaan dan tanya sesiapa pun lagi. Dah tak ada masa. Kalau nak fikir, Kak Ika hanya dibolehkan untuk fikirkan masa Pak Long yang tinggal di waktu kecederaan sahaja. Bila-bila wisel penamat akan bertiup, memberi tanda, perjalanan hidup Pak Long di muka bumi ini sudah di garisan penamat.”

“Dia berhajat sangat-sangat nak jodohkan Kak Ika dengan Ustaz Naufal dan bertambah-tambah berhajat agat Kak Ika dapat hadiahkan dia cucu.”

Belum sempat dia berkata-kata, aku pangkah dia terus. Ini ikhtiar aku untuk buatkan dia benar-benar rasa bersalah.

“Seorang cucu yang soleh atau solehah yang dapat mendoakan dia di sana nanti.”

“Ayah cakap macam tu? Atau Jehan yang mereka-reka cakap ayah?”

Suaranya tertekan. Antara marahkan aku, antara marahkan keadaan, dia tersepit antara kedua-dua situasi itu.

“Kalau nak mereka cipta, Jehan nak tulis novel macam Cahaya Ilhan. Atau Jehan nak reka dan cipta robot yang boleh kawal fikiran dan perasaan Pak Long, ikut semua cakap Jehan tanpa rasa prejudis. Senang Jehan nak buat kerja dan senang juga Kak Ika teruskan perjalanan ikhtiar dan cita-cita Kak Ika. Tak ada maknanya Jehan nak reka cipta kata-kata Pak Long, sebab Pak Long bukanlah mentor Jehan, sehingga Jehan kena fikirkan sampai ke tahap itu. Ke tahap mereka cipta kata-kata Pak Long. Macamlah Pak Long tu bagus sangat. Minta maaflah, Jehan kena cakap juga perkara yang benar ini.”

Aku pandang Kak Ika. Aku ternampak-nampak Isyah tersenyum dan tergelak diagah-agah Pak Long. Pak Long hanya pura-pura macam benci dan tak sukakan Isyah, padahal, dalam hatinya Allah sahaja yang tahu.

Aku rasa sungguh bersyukur, sejak Isyah hadir, Pak Long mula kerap tinggal di rumah, dan sejak akhir-akhir ini, bila akau suruh dia jaga bayi comel tu, dia dah tak berapa nak berkelahi lagi dengan aku lagi. Semacam seronok dan bahagia pula menerima tugas yang mulia itu.

Tidak dapat nak aku bayangkan, macam manalah tenang dan bahagianya hati Pak Long saat itu.

Agaknya mata jernih anak manis yang ditatang malaikat itulah yang menjentik pintu hati Pak Long untuk rasakan dia sepatutnya dah dapat dan menimang cucu. Isyah berjaya buatkan dia mampu merebahkan egonya. Ego yang merugikan kami semua. Ego yang membuatkan keluarga Haji Mustakim macam air laut yang tidak pernah tenang.

Akhirnya dia mengalah, dan dia memilih untuk bahagia, bahagia untuk menerima kehadiran cucu yang hanya ada pada Kak Ika. Kalaulah egonya itu sudah direbahkan berpuluh tahun yang lalu, mungkin saat itu dia sudah mengimamkan enam orang cucu daripada darah dagingnya sendiri. Memang tak ada untungnya kalau kita pelihara ego dalam diri, apa yang kita dapat?

“Kenapa?” Kak Ika pandang aku satu macam.

Aku nampak muka Pak Long yang penuh harapan, mengharapkan Kak Ika tunaikan hasrat hatinya.

“Hidup ini, untuk orang-orang yang mencintai kehidupan, Kak Ika. Hormatilah hati dan perasaan orang, nanti sampai bila-bila hati dan perasaan Kak Ika akan sentiasa dihormati dan dihargai.”

Muka Kak Ika terpinga-pinga.

“Kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat, Kak Ika. Kak Ika kena fikir, berapa hari sahaja Pak Long akan bersama kita. Esok entah lusa dia akan pergi. Biarlah dia pergi dengan mata yang tertutup. Biarlah dia pergi membawa cita-citanya yang sudah tercapai, supaya kita yang tinggal ini, tidak rasa terkilan.”

Muka Kak Ika jadi haru-biru. Tak percaya aku, dia boleh kehilangan kata-kata. Seorang pakar motivasi yang termasyhur, boleh mati akal dan rasa bersalah yang amat sangat dengan psikologi seorang ustazah rock yang luar sahaja nampak kasar, tetapi dalam hati ada taman.

Melihat keadaan yang amat berharga begini, aku tidak perlu mensia-siakannya, terus mengasak. Aku pura-pura mengeluh panjang, sengaja kecewakan bunyi tutur kata.

“Kalau arwah Ashraf masih hidup, dia tentu tidak setuju apa yang Kak Ika buat sekarang. Kalau dia sudah pun menjadi anak yang begitu taat pada ibunya, selama hidupnya yang hanya sepuluh tahun itu, tetapi kenapa Kak Ika tak buat macam yang dia buat? Sedangkan Kak Ika diberikan hidup berpuluh-puluh tahun.”

Huru-hara di wajah Kak Ika menjadi awan mendung yang tebal. Aku dah boleh baca, sekejap lagi hujan pasti turun. Ke mana perginya kuah, kalau tak ke nasi? Kalau Kak Ika pakar membaca hati dan fikiran orang, aku pun diberikan anugerah itu. Cuma masih belum ke tahap pakar.

Fon bergegar. Pak Long marahkan aku kenapa lama sangat beli barang di Muar. Aku beritahu Kak Ika, aku tipu Pak Long. Kak Ika mengucap panjang, macamlah aku sudah lakukan dosa besar.

“Tak baik buat Pak Long macam tu Jehan.”

“Kalau Jehan tak tipu, Jehan tak boleh sampaikan wasiat ini. Penipuan ini sangat penting Kak Ika. Penting untuk hidup dan mati demi menjaga dan memberikan kebahagiaan kepada keluarga kita yang nampak sahaja tenang tapi bergelora, bertsunami.”

Aku ugut Kak Ika pulang.

“Kalau kak Ika tak mahu balik, Jehan pun tak mahu balik. Biarlah Pak Long tunggu Jehan sampai bila pun.”

Mulanya Kak Ika tak mahu pulang. Ada sahaja alasan dia, sibuklah, banyak undangan memberi ceramahlah, dan segala macam alasan diberikan, aku terus mendesak. Aku terpaksa ungkitkan yang selama ini aku ikut dan akur sahaja apa sahaja arahan dan permintan dia pada aku, kali ini aku minta sangat-sangat agar dia tunaikan permintaan aku yang sangat penting ini.

“Jehan.” Kak Ika jadi sungguh serba salah. Ini bukan lagi nak makan mati emak nak diuahkan mati bapa, tapi rasa macam sedang berdiri berhadapan dengan seorang pengebom berani mati yang seluruh badan dibalut dengan bom jangka, sedang menanti untuk meletup. Dia hanya perlukan kepakaran untuk mencari suiz, mematikannya.

Akhirnya dia buat keputusan untuk ikut kata aku. Aku tersenyum kemenangan. Aku dapat rasakan akulah yang matikan suis bom itu dan leraikan lingkarannya dari badan dan campakkan ke dalam laut.

Alhamdulillah, syukur pada Allah, semuanya selamat. Semuanya menang. Baik aku, Kak Ika, Pak Long dan Ustaz Naufal.

Meraikan kemenangan ini, aku hantar pesanan ringkas pada Ustaz Naufal suruh dia melipatgandakan doa dan tambah rakaat solat hajat agar pintu hati Kak Ika yang mula terbuka kuncinya akan terbuka untuk terima dia.

Malam di ruang tamu rumah Pak Long. Aku dodoikan Isyah. Lyana ke kolej untuk berurusan pihak universiti untuk teruskan pengajian mengambil program master. Aku doakan dia akan terus mengambil PhD nanti dan di saat itu dia akan bawa pulang Siti Aisyah Lyana dan menceritakan keadaan sebenarnya pada ibu dan ayah yang sangat dikasihinya. Aku tunggu saat itu.

Isyah tidur dengan lena. Kak Ika nampak gelisah, tidak tahu kenapa. Dia tinjau-tinjau keliling. Pak Long, masih belum pulang. Aku terpandang Mak Long perhatikan Kak Ika dari tadi.

“Malam dah ni, emak, ayah masih tak balik lagi? Dia tahu Fikah balik, agaknya.”

Aku tidak tahu, ke mana perginya tenang yang selama ini menuani hati Kak Ika. Mukanya nampak bercelaru dan bergelora.

“Fikah takut emak, ayah tak mahu balik malam ni.”

“Jangan didoakan macam tu. Ayah banyak urusan di masjid. Ahli Parlimen nak melawat kampung kita. Nak dekat pilihan raya ni, Fikah. Macam-macam perkara yang nak dibuat untuk memajukan lagi kampung kita. Banyak urusan ayah tu. Sekejap lagi, bila semuanya dah selesai nanti, baliklah dia.”

Mak Long suruh aku kejapkan balutan di tubuh Isyah dan menyuruh aku angkatnya perlahan-lahan, bawa masuk ke bilik. Aku ikut perintah Mak Long. Aku masuk ke bilik dan beritahu Mak Long, konon-kononnya aku nak tidur sekejap, padahal aku nak jadi spy nak rakamkan perbualan mereka. Nanti akan aku hadiahkan pada Ustaz Naufal.

Aku tak rasa apa yang aku buat ini salah dan berdosa, niat aku seratus peratus untuk memperbaiki hubungan yang retak antara mereka.

“Emak, Fikah macam tak percaya cerita emak tadi.”

Dari balik dinding bilik aku, aku dapat bayangkan bukannya wajahnya begitu gelisah, tapi yang pasti yang aku dengar suara Kak Ika jadi terketar. Sah, aku rasa, hatinya teruja.

“Betul Fikah.! Surat akhbar yang ada tulisan Fikah ayah simpan dalam satu beg. Buku-buku Fikah pun ayah simpan.”

Mak Long bersungguh-sungguh meyakinkan Kak Ika.

“Emak tahu, kasih sayang ayah masih tidak berubah, lebih-lebih lagi sejak Isyah ada di rumah ini. Ayah Fikah nampak lain sungguh. Tapi yang jadi masalahnya, dia sengaja tunjuk ego dia. Dia tak nak orang tahu, yang dia sayangkan Isyah. Terutama yang sangat-sangat tak boleh tahu, Jehan. Tak tahu kenapa. Hairan sungguh. Tapi hairan tak hairan, itulah ayah Fikah.”

“Berpuluh tahun emak, ayah tak mahu cakap dengan Fikah. Dulu, ketika Fikah terima ijazah kedoktoran pun ayah tak mahu datang raikan Fikah. Bila Fikah balik, ayah sengaja lama-lama di masjid. Ayah sengaja tak mahu jumpa Fikah. Dari dulu sampai sekarang. Macam manalah Fikah nak percaya cakap Jehan, emak. Fikah tahu, ayah tak pernah berubah. Ayah tetap macam tu.”

“Ayah tu pura-pura saja Fikah.” Mak Long terus menyabarkan.

“Tiap-tiap hari raya, tiap-tiap hari Jumaat, baju Melayu teluk belanga yang Fikah jahit itulah yang dia pakai pergi masjid. Emak pandang saja.” Mak Long tersenyum dan tergelak kecil.

“Dia ingat emak tak tahu. Tapi iyalah, dah dia ingatkan emak macam tu, emak pun buatlah apa yang dia fikir emak macam mana.”

“Betul ke emak?” tanya Kak Ika semakin tidak percaya.

Agaknya bulan lima belas haribulan bercahaya di wajah Kak Ika.

“Ayah Fikah tu, selagi Fikah tak mahu terima lamaran Ustaz Naufal, selagi itulah dia tunjukkan belang dia.”

“Emak, Fikah rindu nak cium tangan ayah, emak. Fikah rindu nak dengar suara ayah panggil nama Fikah. Bila Fikah dapat semua yang dah berpuluh tahun Fikah kehilangannya emak.” Suara Kak Ika sebak.

“Fikah terus berdoa, sayang. Emak tahu hati ayah Fikah. Emak pun tak paksa Fikah terima Uztaz Naufal.” Suara Mak Long ikut sebak.

Hish dah jadi filem Hindustan pula dah, drama air mata yang penuh emosi. Aku dengarkan sahaja. Aku berdoa, agar Pak Long ada di tangga, sengaja tidak mahu masuk ke dalam. Sengaja mahu mendengar perbulan yang amat menusuk kalbu ini.
“Emak,” suara Kak Ika semakin sebak.

“Fikah tak layak untuk Uztaz Naufal, emak. Mak tahukan masa silam Fikah.”

Aku dengar Kak Ika menangis tersedu-sedu. Pilulah pula.

“Dahlah tu, jangan sebut lagi. Fikah tak bersalah sayang. Fikah dianiaya orang. Percayalah emak bangga dapat anak yang tabah macam Fikah.”

“Tapi sebab bencana itu ayah terus buang Fikah. Memang rasanya tak adil ayah buat Fikah macam ni, tapi inilah hakikat hidup yang Fikah kena terima. Fikah reda,emak.”

Aku bangun mengintai ikut tingkap pandang ke luar sampai nampak laman masjid. Hish, mana Pak Long ni, kenapalah tak balik lagi? “Tak sayang, ayah tak buang Fikah.”

“Emak, Fikah hanya mahu berlaku adil pada arwah Ashraf. Siapa pun dia, dia tetap anak Fikah. Tetapi kenapa ayah tak mahu faham semuanya itu emak. Fikah tidak berdosa, arwah Ashraf juga tidak berdosa.”

“Mak faham semuanya itu.”

“Orang yang buat aniaya pada Fikah dah pun terima hukuman. Tapi Ayah masih terus menghukum Fikah. Sampai bila emak? Fikah tak berdosa. Emak tahu siapa Fikah.

“Ayahpun tahu, tetapi kenapa ayah tak boleh buka sedikit pun ruang di hatinya untuk terima nasib malang yang Fikah terima. Berapa lama ayah nak teruskan hukuman ini, emak?”

Kak Ika punya ayat, aku rasa, usahkan angin berhenti bertiup, gempa bumi di Indonesia pun tak jadi bergegar. Semuanya bertafakur apabila mendengar rintihan yang sungguh tragis dan maha pilu itu.

Aku nak dengar suara Mak Long. Kenapa Mak Long senyap. Tiba-tiba aku terdengar suara tangisan yang sungguh pilu. Iya itulah tangisan hati ibu yang begitu menusuk.

“Tapi mengapa ayah menghukum Fikah sampai saat ini emak? Mengapa ayah tak mahu terima malang hidup Fikah itu sudah ketentuan takdir.

“Fikah reda mak. Tapi mengapa ayah masih tidak redakan Fikah?” Kak Ika ulangi kata-kata itu dan terdengar dia menangis teresak-esak.

Bersambung…

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,854 views