Novel Bersiri – Istikharah Sang Perindu (Siri 39): Bukan Hanya Warisan Nama

“DIA sudah kembali syahadah. Allah sudah tambahkan hidayah pada dia. Hidayah Islam dan hidayah iman. Dia sentiasa mencari makna kemanisan iman. Orang macam dia, kuat istiqamahnya. Mungkin iman dan keyakinan dia lebih baik dari kita, Jehan.”

Begitu kata Ustaz Naufal apabila aku beritahu dia tentang pemikiran Hendry tentang Islam. Pada mulanya aku amat terkejut apabila dia punyai keyakinan yang begitu mantap tentang solat, tentang ibadat dan tentang iman. Tetapi apabila mendengar kata-kata Ustaz Naufal, tentang Hendry aku bertambah-tambah terkejut.

“Kenapa kembali pada syahadah? Maksudnya selama ini dia sudah mengucap syahadah? Kemudian….”

Aku jadi bingung dan hairan. Aku pandang muka Ustaz Naufal, takut nak teruskan kata.

“Sebelum ditiupkan roh pada jasad dalam kandungan, bertanya Allah kepada roh, apakah kamu mengaku beriman kepada Allah, semua roh menjawab iya. Maknanya semasa dalam kandungan, semua roh mengaku beriman kepada Allah. Apabila lahir ke dunia, mula ingkar dan berubah.”

“Oh, itulah maknanya kembali syahadah?”

Ustaz Naufal tersenyum senang hati.

“Kita tidak boleh hanya berserah dan hanya harapkan Islam dari titisan darah keturunan untuk berikan kita tiket untuk masuk ke syurga, Jehan. Kalau itulah yang kita pegang, banyak salah kita pada Islam. Banyak sangat. Kita yang rosakkan Islam. Kita yang rosakkan pandangan orang-orang bukan Islam pada Islam.”

Aku terkial-kial menyusun ayat untuk bertanya dengan lebih lanjut penjelasan ustaz itu.

“Kadang-kadang Islam mereka dari kuat dari kita.” Belum sempat aku bertanya, Ustaz Naufal memberikan penjelasan terus.

“Solat mereka lebih khusyuk dari solat kita. Bacaan al-Quran mereka lebih baik dari bacaan kita. Sebab apa?”

“Mereka berusaha keras untuk belajar dan mencari. Akhirnya Allah tambahkan ilmu dan hidayah. Mereka ikut suruhan Allah, ikut betul-betul ajaran Islam. Ikut hukum halal haram. Ikut hukum wajib, sunat, makruh, haram dan harus.” Dalam terkial-kial menyusun ayat, akhirnya terkeluar sahaja kata-kata itu.

Ustaz Nuafal mengangguk.

“Iya, benar-benar mencari makna dan pengisian Islam dan iman. Sebab itukah keyakinan mereka kadang-kadang lebih baik, lebih bermakna, lebih suci dan lebih mulia dari kita. Iman mereka lebih kukuh. Sebab mereka sentiasa beristiqamah mencari Allah, mencintai Allah dan mentaati perintah Allah.”

Aku tak tahu nak cakap apa. Ustaz Naufal terus menyambung.

“Orang-orang yang hanya mengharapkan titisan darah keturunan, tak dapat apa. Hanya dapat darah keturunan. Ada yang nama saja Islam, tapi tak solat. Ada yang solat, tapi ke laut. Buat maksiat sesuka hati. Tidak tutup aurat dan tak ikut suruhan Allah. Hanya mengaku iman atas nama, tak ada maknanya Islam mereka, Jehan.”

“Iman tak boleh diwarisikah ustaz?”

“Ibu bapa yang kena mewariskan iman dengan istiqamah. Ajar anak solat, baca al-Quran, dan syariat Islam sejak kecil. Jaga dan kawal tingkah laku anak-anak. Bukan hanya waris atas nama. Malang nasib Islam kita, kalau macam tu. Rosak Islam bangsa kita.

“Berdampinglah selalu dengan mereka. Nanti Jehan akan tahu, cara mereka berfikir dengan cara kita berfikir, berbeza. Banyakkanlah berfikir Jehan, sebagaimana banyaknya kita berzikir. Apabila kita banyak berfikir dan banyak berzikir, kita terhindar daripada sifat kikir. Kikir membuat ibadat. Minta dijauhkan Allah.”

Aku mengangguk. Aku berjanji akan terus berjumpa dia, apabila keadaan mengizinkan nanti. Sebelum pulang aku bertanyakan Ustaz Naufal, bila nak ke rumah berjumpa Kak Ika. Ustaz Naufal hanya menjawab, tunggu petunjuk dan gerakan dari Allah datang. Aku terus memandu pulang. Ustaz Naufal teruskan kerja-kerjanya di firma arkiteknya. Esok petang dia bercadang mahu ke ladang.

Sepanjang jalan pulang ke rumah, wajah dan suara Hendry temani perjalananku.

“We have to read al-Quran with our own language, Jehan.” Kata-katanya terngiang-ngiang dalam fikiran.

“Iya, kita kena baca al-Quran dengan bahasa kita.” Dia menarik nafas lega. Duduk di hadapan masjid Tuanku Mizan, menghadap ke tasik buatan terbesar, selepas solat Dhuha, sementara menantikan Zohor, yang begitu mendamaikan, aku semakin teruja untuk mendengar keindahan Islam dari fikiran dan perasaan dia.

Aku ingin bertanya maksud membaca al-Quran dengan bahasa sendiri lebih lanjut, tapi takut tersalah tanya. Aku mula berfikir ayat paling sesuai untuk kemukakan musykil hati.

“Maksudnya, melafazkan dalam bahasa al-Quran. Bahasa Arab. Tajwidnya, sebutannya mesti betul. Kalau tidak, berdosa. Tetapi perkara yang amat penting juga, kita kenalah mendalaminya, menghayatinya dalam bahasa yang kita faham. Bacalah terjemahan dalam bahasa kita. Kalau tidak, sampai bila-bila pun kita tidak dapat menjiwainya. Kalau tidak dapat rohnya, macam mana kita nak jadikan al-Quran sebagai roh kehidupan kita?”

Aku terangguk-angguk. Memang benar kata Hendry. Aku rasa malu sendiri. Terjemahan ayat-ayat al-Quran yang aku hafal hanya, al Fatihah, ayatul Qursi dan beberapa surah pilihan. Itupun setelah berguru daripada Ustaz Naufal yang menyarankan aku menghafal makna bacaan dalam solat agar senang untuk menghayati dan meningkatkan darjah kekhusyukan solat.

Alhamdulillah. Apabila aku amalkan, ia amat berkesan.

Ketika fikir berfikir tentang Hendry dan Ustaz Naufal, hati jadi berbelah bahagi. Kedua-duanya sudah nampak bagus. Aku jadi bingung. Yang mana satu paling baik untuk dijadikan calon suami Kak Ika? Bingung aku!

Hish kalaulah Pak Long tahu aku pergi jumpa Hendry, tak tahu berapa hari berapa malam dia tak berhenti-henti marahkan aku. Dan sah, darjah kemarahannya akan sampai ke tahap mendidih apabila dia tahu hati aku sekarang sudah mula berbelah bahagi.

Kalau Ustaz Naufal calon suami terbaik untuk Kak Ika, Hendry pun dah masuk dalam carta tertinggi itu. Maut aku! Tak tahu nak pilih yang mana satu.

Kak Ika terlalu istimewa. Aku tidak boleh menipu dia sekian lama. Sampai sahaja di rumah aku terus beritahu dia yang aku tidak ke Kluang tetapi pergi Serdang berjumpa Hendry. Aku sedia terima apa sahaja tindakan Kak Ika pada aku. Akulah orang yang bersalah yang akan reda terima apa sahaja hukuman dari orang yang aku hormati, kasihi dan sayangi dan yang sudah pun aku sakiti.

Segunung rasa berdosa dan rasa bersalah terpasak atas kepala. Aku pandang muka Kak Ika minta keampunan. Kalau benar, Hendry pilihan hati Kak Ika dan Hendry pun sudah nyatakan status hati dan perasaannya, aku terpaksa mengaku kalah. Serahkan semuanya pada Kak Ika. Pilihan mutlak pada Kak Ika, hak aku hanya mendoakan kebahagiaan dia. Siapapun Kak Ika pilih, itulah yang terbaik untuk dia.

Kenapa jadi begini? Bingung aku!

“Alhamdulillah.” Kak Ika tersenyum dan tepuk-tepuk bahu aku.

“Doa Kak Ika akhirnya dimakbulkan Allah juga. Alhamdulillah.” Muka Kak Ika berseri-seri. “Kak Ika tahu, akhirnya Jehan akan jumpa dia juga untuk dapatkan pengesahan. Macam mana? Puas hati?”

Eh, biar betul dia ni! Aku pergi jumpa Hendry tanpa minta izin pada dia, dia tak marah? Sudahlah tu, puji aku pula? Aku cubit tangan sendiri. Memang sakit. Sah aku tak bermimpi.

Kak Ika tergelak.

“Jehan tak bermimpi.” Dia suruh aku duduk. Dia letakkan sepinggan spageti depan aku.

“Lama tak makan masakan Kak Ika kan? Kak Ika rasa dah lama sangat tak masakkan Jehan. Rasa tak lengkap hidup Kak Ika.”

Aku cuma tersenyum. Fikiran masih kacau bilau dan tidak percaya.

“Jangan rasa bersalah, Jehan. Memang betul, dah lama Kak Ika nak temukan Jehan dengan Hendry. Syukurlah, baru pasang niat, Allah terus hantar niat Kak Ika, Allah terus hantar Jehan berjumpa Hendry. Yang Jehan cubit tangan sendiri kenapa? Sakitkan? Hah sejak bila dah tak percaya dengan Kak Ika?”

Dia letakkan pula segelas perahan epal hijau campur madu. Aku ucapkan terima kasih. Dia duduk sebelah aku dan sudukan spageti. Aku ngangakan mulut dan ucapkan terima kasih lagi. Mak Long yang duduk depan aku hanya perhatikan. Pak Long bawa Isyah di ladang.

“Masih tak percaya?”

Muka aku jadi kelabu asap. Tidak percaya apa yang aku lihat, aku pandang dia betul-betul lagi. Aku lebarkan telinga, pastikan apa yang aku dengar adalah benar dan benar-benar, benar.

Ya, benar aku tidak bermimpi. Kak Ika masih tersenyum manis dan ikhlas. Dan sudukan lagi spageti yang sedap tidak terkira itu.

“Jehan dah lebih dari adik Kak Ika. Dah jadi anak.” Suara Kak Ika buatkan aku tercengang. “Allah gantikan Asraf dengan Jehan.”

Aku tercengang pandang Kak Ika. Inilah kali pertama dia bercakap penuh emosi.

“Masih tak percaya? Beritahu Kak Ika siapa yang tak bangga dapat anak, dapat adik yang hebat macam Jehan?”

Mak hai, dia puji aku setinggi langit pula dah! Aku mulalah rasa malu kena puji-puji melambung-lambung. Badan rasa kembang satu macam, jadi ringan dan rasa melayang-layang pula macam belon.

Dalam termalu-malu itu selamat sepinggan spageti Kak Ika sudukan masuk ke perut aku. Selesai kemaskan meja makan, kami ke ladang. Ibu dan nenek sudah lama menanti di sana.

Aku terpandang Pak Long ketawa seronok menimang Isyah. Aku dapat rasakan, batu karang di hati Pak Long mula berubah menjadi mutiara, yang mula bercahaya. Dia mula berbual dengan Kak Ika. Dia tidak banyak kerenah dan cekadak apabila aku pujuk dia duduk di wakaf bersama kami.

Kami sama-sama berbincang pasal lembu dan kambing. Tak kisahlah, yang penting dia dah berbual dengan Kak Ika. Itu sudah dikira tersangat baik.

Mak Long pula semakin berani untuk membela Kak Ika. Malam tadi ketika Kak Ika terlena ketika tidurkan Isyah dalam bilik, aku ke ruang tamu, mencari baka lembu dan kambing terbaik dalam Internet. Mak Long yang temankan aku, turun sekejap ke dapur kemudian datang semula membawa kopi panas untuk Pak Long yang sama-sama nak temankan aku dan membuat pilihan baka terbaik untuk ladang kami.

Marah-marah Pak Long pada aku, sayangnya lebih juga. Sebenarnya, dia memang tak boleh tak tengok muka aku. Sehari aku tak ada di rumah, dia buat panggilan setiap jam, tanya aku buat apa, pergi mana dan bila nak balik. Tapi dalam hubungi aku setiap jam itu, bolos juga aku, hidup-hidup dia kena tipu.

Ilmu mengintip dia belum cukup lagi. Dia kena belajar banyak belajar ilmu spiritual dari Kak Ika, tak cukup dalami ilmu tasauf sahaja. Hakikat, makrifat dia kena faham, fasih dan hayati sepenuh jiwa raga.

Hem, Pak Long. Pak Long! Seperkara lagi, aku perhatikan dia, setiap kali sampai rumah, aku dengar dia kata, selepas assalamualaikum, Jehan mana? Kadang-kadang terlintas juga hati jahat aku berkata; dia ingat aku ni, minah rempit, minah lepak atau minah rayau? Tak tahu nak lekat di rumah atau buang masa tak tentu pasal? Atau masih tidak jelas lagikah lagi segala bukti yang sudah aku buktikan bahawasanya aku ini, usahawan muda yang sudah berjaya membina empayar?

Tak cukupkah lagi bukti yang sudah aku tunjukkan yang aku ini remaja yang sangat bertanggungjawab pada keluarga? Hish! Pak Long! Pak Long! Kalau ikutkan bisikan hati jahat, memang aku tak puas hati.

Tapi berkat berguru daripada dua insan hebat, Kak Ika dan Ustaz Naufal, yang selalu ingatkan aku agar bersangka baik kepada sesiapapun terutama kepada Allah.
Akupun pujuklah hati untuk bersangka baik selalu.

Kata Ustaz Naufal, Allah adalah sebagaimana yang kita sangka. Kalau kita bersangka baik, dapatlah kita semua yang baik-baik daripada sangkaan kita itu. Kalau sebaliknya sangkaan kita, sebaliknyalah yang kita dapat.

Syukurlah akhirnya aku dengarkan nasihat itu. Aku pun bersangka baiklah akan pertanyaan Pak Long itu. Iya, mungkin akulah insan yang sangat dia sayang, mungkin juga dia sayangkan aku lebih dari Kak Ika, tapi sebab ego dia setinggi langit, dia pura-pura cari pasal saja dengan aku; dalam hati, aku rasa, akulah segala-galanya bagi dia, dia akan ikut apa saja kataku, walaupun dia tetap juga mahu berkelahi.

Buktinya, kalau tidak takkanlah dia boleh terima Isyah. Menerima Isyah, bukanlah perkara kecil dalam hidup manusia macam Pak Long. Petang-petang bila aku bawa Isyah ke ladang, dialah yang dukung bawa pergi kadang kambing. Isyah yang sudah pun mula pandai berjalan jatuh, terketap-ketap bibir dia kerana geramkan Didie, anak kambing putih yang comel yang aku syampukan badannya tiap-tiap hari. Aku mahu tamatkan gaya hidup spesies keturunan keluarga Didie yang takut mandi. Dialah kambing paling wangi dalam Malaysia.

Dari pagi sampai petang, hati aku kembang melihatkan perubahan Pak Long.
Malamnya ketika suara cengkerik dan unggas malam sahut bersahutan, di kampung, Mak Long tuangkan kopi ke dalam cawan dan dengan hormat takzimnya hulurkan pada Pak Long.

“Ini airnya Ayah Fikah.”

Pak Long yang mula belajar berhenti merokok hanya duduk di pintu menghadap laman.

“Boleh saya tanya sikit?”

Pak Long minum kopi panas lagi. Dia tak bersuara.

“Kenapa macam nak lari dari dia? Memang dia yang tak mahu bermuzakarah atau Ayah Fikah yang tak beri dia peluang?”

Aku pandang muka Mak Long, wow sejak Kak Ika ada di rumah dan sudah berani tinggal lebih daripada tiga hari, dan terima pujukan aku untuk habiskan masa lebih sebulan tinggal di kampung, Mak Long sudah berani panggil Pak Long dengan panggilan indah penuh nostalgia itu: Ayah Fikah.

Ayah Fikah? Sengaja dia tidak mahu menyebut panggilan Abang Aji. Syukurlah Mak Long terima juga usulan aku.

“Awak jangan nak salahkan saya!” Muka Pak Long sebenarnya terkejut tadi.

Terkejut dengar panggilan Ayah Fikah itu. Tapi dia tak boleh nak buat apa-apa. Sebab memang dia ayah Kak Ika. Dan itulah panggilan dulu-dulu semasa mereka mula-mula mendapat Kak Ika. Panggilan penuh nostalgia itu benar-benar memerangkap dia.

Mak Long lembut memujuk. “Jangan macam tu Ayah Fikah. Dia seorang saja anak kita. Dia dah banyak berkorban. Kasihanlah dia. Awak ni macam tak hargai pula apa yang Jehan buat.”

“Ini sebab kerja Jehanlah. Bukannya saya tak tahu.” Dia menjeling aku marah. Aku buat muka suci dan tersenyum kemenangan.

“Sebab kita tak ada sepuluh anaklah saya rasa amat kecewa. Kecewa! Awak tahu tak, saya kata saya sangat kecewa!”

“Dia dah berjaya dalam hidup. Cita-citanya sejak kecil dah tercapai. Kita sepatutnya bangga dengan dia, Ayah Fikah. Dia tak pernah menyusahkan kita.” Suara Mak Long mula sebak. “Dia nak belajar pun kena cari duit sendiri.”

Pak Long macam nak marah. Pandang aku lagi. Sengaja buat-buat marah. Konon-kononnya tak hairan dapat anak macam Kak Ika. Sengaja nak tunjuk lagak depan aku. Aku pandang saja muka Pak Long. Aku tak cakap sepatah pun. Pandang dengan muka selamba.

“Bangga? Hah, ada anak macam tu saya nak bangga?”

“Tiap-tiap hari Ayah Fikah baca surat khabar takkanlah tak nampak nama dia. Atau, buat-buat tak nampak?”

Mak Long sudah pandai menyindir. Ini satu perkembangan yang sangat baik. Mahu sahaja aku tunjukkan tanda bagus pada Mak Long dan galakkan lagi Mak Long luahkan lagi isi hatinya yang selama ini terperam bertahun-tahun. Memandangkan angin Pak Long tidak berapa baik, aku kawal tangan agar tidak tertunjuk isyarat ‘baik punya’, kalau tidak, maut aku kena marah Pak Long.

Sebenarnya aku boleh saja buat isyarat itu, sejak Kak Ika ada di rumah, Pak Long tak berapa lekat di masjid. Kami solat berjemaah sama-sama, bawa Isyah sekali. Bagusnya budak comel itu, dia cuma duduk dalam ‘walker’ dan leka dengan mainan. Memang Isyah bayi luar biasa. Pak Long tak marah pun kami bawa Isyah.

Tapi yang satu lagi kejadian luar biasa, bila kami orang-orang perempuan pulang, Pak Long ikut pulang. Matanya selalu saja melirik pada Kak Ika. Aku suruh Kak Ika bancuhkan dia kopi, serbat halia, sirap selasih, dia minum dan tak jeritkan nama aku minta aku buatkan, macam selalu.

“Awak ingat saya hairan?” Mak hai sombongnya dia.

Nasib baik aku sudah berjanji pada diri sendiri untuk akur sahaja cakap Pak Long, aku kuncikan marah aku, aku kuncikan rasa tak puas hati dan kuncikan semua rasa negatif pada Pak Long. Benar kata Kak Ika, kalau kita nak mengubah orang, kita ubahlah diri kita sendiri dahulu. Ubahlah fikiran, ubahlah perasaan dan ubahlah barulah kita dapat mengubah diri sendiri, kemudian mengubah diri orang lain dan mampu untuk mengubah masyarakat, mengubah negara dan mengubah dunia. Begitulah kuasa mengubah dalam diri kalau kita lakukan dengan istiqamah.

“Hairan tak hairan pun baca juga kan? Lainlah saya ini duduk rumah tak tahu apa. Tapi sesekali itu bila ternampak nama dan gambar dia pada kertas pembungkus barang, tak tergamak saya nak buang. Saya ambil. Saya simpan. Dia anak saya, Ayah Fikah. Awak lainlah. Ada Syafiklah, ada Naufal ada ramai lagi. Anak saya berdua beradik itulah saja, Fikah dan Jehan. Syukurlah dapat cucu, Isyah. Sekarang saya rasa dah sempurna dah hidup saya. Allah berikan anak-anak yang mulia, terhormat dan hebat. Allah dah berikan saya Fikah dan Jehan, itu harta saya yang paling berharga dalam dunia ini, apa lagi yang saya mahu. Kalau saya tutup mata waktu terdekat ini, saya pergi dengan mata tertutup rapat. Syukur sangat pada Allah. Saya sudah sempurnakan apa yang patut semua tanggungjawab saya.”

Lama Pak Long terdiam. Aku suka pandang muka dia yang seperti kura-kura kena simbah air. Dia nampak terkulat-kulat. Tiba-tiba dia perasan yang aku perhatikan dia, cepat-cepat dia menoleh. Kantoi! Aku tak sempat larikan pandangan. Biasalah kalau dia nampak aku, wajah dia yang syahdu syahdan jadi terbakar marah. Sajalah nak tunjuk kuasa. Aku buat-buat tak tahu.

“Jangan nak menyindir saya. Jangan nak naikkan darah saya. Awak ingat saya ni apa? Ha, batang kayu? Tak ada hati? Tak ada perasaan? Awak ingat apa yang anak kesayangan awak buat tu betul semua? Hah, apa yang saya buat ni salah?”

Aku rasa nak tergelak pun ada. Tapi bila aku pandang muka Mak Long yang tenang dan dengan personaliti yang mantap dan mempersona, semulia bidadari aku tak jadi nak tergelak.

“Siapa yang nak menyindir awak? Saya cakap pasal diri, cakap pasal hati saya. Anak saya dah jadi doktor pakar jiwa, mengajar di universiti. Mengajar tentang perasaan orang. Sekarang dia tengah tulis di surat khabar pasal menjadi orang yang berjiwa sihat. Ayah Fikah, ibu mana dalam dunia ini yang tak bangga ada anak macam dia? Ibu mana?”

“Awak ingat saya tak ada hati perut?”

Mak Long menjawab selamba. “Perut tu ada. Sebab saya temankan Ayah Fikah makan tiap-tiap hari. Hati tu saya tak tahu sangat. Sebabnya saya tak nampak.”

Semakin ‘power’ ayat Mak Long. Aku rasa nak peluk dan cium Mak Long. Tak sangka dia boleh melahirkan kata-kata yang sehebat itu.

“Benda yang tersembunyi kan? Nak nampak macam mana? Saya bukannya ada teropong.”

Mendengarnya, perasaan Pak Long jadi kacau bilau. Dia pandang aku, aku tahankan perasaan nak ketawa. Dia semakin marah. Sebenarnya bukannya dia marah apa pun, dia marah sebab dia rasa terancam mendengar ayat Mak Long yang lembut tetapi menusuk. Yang indah tetapi membunuh. Wow, Cahaya Ilham pun tak mampu buat ayat se ‘power’ Mak Long. Aku kena belajar dari Mak Long nampaknya.

“Maheran!” Suara Pak Long begitu menikam kalbu. Muka dia macam dipanah petir. Aku rasa nak bersorak. Kalau kita gembira kata hore! hore! hore!

“Awak jangan nak naikkan darah saya. Jangan nak menyindir saya yang bukan-bukan. Jangan sampai saya hilang sabar.” Ewah memberi amaran nampak! Hemm, tak ada siapa pun takut, Pak Long dah jadi harimau yang tak ada gigi. Mengaum macam mana kuat pun, usahkan kancil, katak dan mentadak mentadu pun tak takut.

“Jangan padamkan cahaya di hati awak itu Ayah Fikah. Takut nanti tempat tu akan jadi gelap. Gelap sampai tak boleh nak disuluh. Susah nanti.” Mak Long tersenyum kemenangan.

Pak Long pandang aku terpinga-pinga. Aku tersenyum dengan muka sesuci Syawal.

Bersambung…

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

907 views