Novel Bersiri – Istikharah Sang Perindu (Siri 42): Nikmat Perjuangan Yang Indah
AKU jadi serba salah. Di sana Olin, di sini Kak Ika dan Ustaz Naufal. Di sana Tan Sri Khairuddin dan ASP Khairy, di sini Ustaz Naufal dan Pak Long Imam Mustakim. Semuanya menuntut aku untuk buat sesuatu. Sesuatu yang menggembirakan dan menguntungkan semua pihak. Sesuatu yang dapat meleraikan kusut yang sudah lama berselirat dan bersimpul ini.
Maknanya aku kena benar-benar bijak membuat keputusan. Bijak yang mampu membijaksanakan orang lain. Masalahnya kes aku ini bukan ibarat mahu menarik rambut dalam tepung. Senang. Tak payah tarik rambut dengan begitu berhati-hati pun dah sah rambut tak putus dan tepung tak tumpah tetapi masalah aku sekarang aku kena tarik rambut yang tersekat dalam segumpal tepung yang sudah dijadikan doh, bergumpal-gumpal satu macam.
Nak tarik macam mana? Tepung dah sah tak tumpah tapi masalahnya, rambut dah tentulah putus. Hem pening aku!
Ini yang buatkan aku seram. Tersilap buat keputusan nanti, semuanya berhimpun di atas langit dan runtuh atas kepala aku. Semuanya akan datang macam askar Jepun di zaman sebelum merdeka dulu, datang bawa benet dan senapang nak tembak aku. Itulah yang susahnya, aku kena buat keputusan yang boleh memberi faedah kepada diri sendiri dan juga pada orang lain. Bukan keputusan yang memberi padah kepada semua.
Hish, aku nak buat apa ni? Nak pergi atau tidak? Kalau aku pergi, apa akan terjadi pada orang yang tinggal? Kalau aku tinggal, apa pula terjadi pada Olin yang sudah lama pergi? Bingung aku! Risau dan bimbang. Semuanya menerpa datang. Datang berkampung dalam hati, datang berkampung dalam diri.
Tetapi kenapa aku harus bimbang? Bukankah sudah pun aku tunaikan solat Istikharah tiap-tiap hari? Tetapi kenapa aku harus risau? Bukankah sepatutnya, sudah pun aku gantungkan hati dan seluruh fikiran aku hanya pada pilihan Allah. Kerana pilihan Allah adalah pilihan dan keputusan yang terbaik untuk aku?
Tetapi kenapa aku masih belum mendapat apa-apa petunjuk? Bingung aku. Apakah menerima kedua-dua perkara yang terpaksa aku buat pilihan itu sendiri sudah menjadi petunjuk? Aku bertambah bingung. Perlukah aku minta bantuan Kak Ika atau Ustaz Naufal untuk menyelesaikan masalah ini?
Hish mana boleh. Kenapa tak boleh? Sebab kedua-dua mereka menjadi subjek utama dan misi pendamai aku. Misi pendamai untuk projek semarak kasih mereka. Misi yang hampir sempurna dan sudah mula membuahkan hasil. Aku bimbang kepergian aku nanti usaha yang sudah aku buat bermati-matian akan jadi sia-sia. Sinaran harapan yang mula terbit akan terus padam dan dunia keluarga Hj Mustakim akan jadi gelap semula.
Tidak sanggup aku nak bayangkan andainya keadaan ini terjadi. Sudahlah aku gagal bawa Kak Zura dan Abang Farhan pulang ke pangkuan ibu, untuk menyatukan Kak Ika dan Ustaz Naufal pun aku gagal, aku rasa macam tak boleh terima. Aku rasa macam aku tak buat kerja.
Bukannya aku tak percaya pada takdir, tapi aku begitu yakin, menunaikan amanah untuk mentadbirkan takdir sangat indah nikmatnya. Nikmat menjadi bijak dan nikmat membuat kebaikan. Walaupun payah, tapi hati akan rasa seronok dan rasa terbaik.
Hem, bukan juga aku tak percaya pada usaha yang sudah aku lakukan ini diterima atau tidak, tetapi aku bimbang apabila aku serahkan bulat-bulat pada takdir aku akan jadi manusia penyerah, manusia pasrah, manusia pemalas dan manusia yang tidak berani berjuang. Sedangkan nikmat perjuangan itu amat manis. Menghidupkan semangat juang, aku dapat tenaga luar biasa dan dapat momentum yang hebat untuk berfikir, bergerak dan bertindak.
Aku sangat sukakan nikmat-nikmat itu. Aku percaya, itulah konsep syukur yang sepatutnya sudah lama aku tanamkan dan hidupkan dan suburkan di dalam hati sanubari.
Syukur menerima apa sahaja ujian Allah, seperti aku bersyukur menerima apa sahaja anugerah dari-Nya.
Memang jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Allah, tetapi Rasulullah sendiri berpesan yang kita tidak boleh menyerahkan bulat-bulat kepada takdir. Kita perlu berusaha dahulu baru boleh bertawakal. Bukan boleh bertawakal bulat-bulat pada setiap masa dan setiap ketika. Sebab Rasulullah tidak pernah mengajar kita untuk jadi manusia pasrah yang tidak mahu berusaha.
Iya, aku kena buat keputusan sekarang. Tidak perlu aku layan libang-libau perasaan. Tetapi akan betulkah keputusan yang aku buat nanti? Entahlah!
Hish, kenapalah aku rasa was-was? Apakah itu hasutan daripada makhluk halus yang sentiasa mahu mengwas-waskan dan menggoyang hati dan perasaan aku? Atau memang bisikan yang digerakkan Allah? Entahlah! Entahlah! Entahlah!
Hati bertambah kacau, bertambah serabut. Aku cuba tenangkan fikiran. Sudah lima kali aku bawa diri ke baruh, mencari tenang, tetapi yang aku dapat, masih gelisah ini juga. Seandainya mereka tidak bertamu jodoh, salah akukah? Atau andai ditemukan jodoh mereka, kerana usaha akukah?
Hish, macamlah aku ada kuasa. Akukan hanya diberi hak untuk berusaha sahaja. Ketentuannya dah sah; di tangan Allah. Suka hati Allahlah nak temukan atau tidak jodoh mereka. Aku siapa? Hemm, entahlah.
Barangkali solat Istikharahku masih belum sampai piawaian. Masih ada yang kurang dan lemah sana sini. Masih belum mantap. Hati, jiwa, perasaan dan fikiran masih belum cukup reda, belum cukup syukur menerima apa sahaja ketentuan Allah.
Ya, barangkali, sebab aku baru masuk ke umur 24 tahun pada bulan Oktober ini, jiwa masih porak-peranda. Masih belum mantap lagi menangani marah dan sakit hati. Darah masih muda, walaupun sudah melangkah ke remaja tua.
Ya Allah ampunkanlah dosaku yang sangat mengharapkan agar Kak Ika dan Ustaz Naufal dipertemukan jodoh. Aku tak tahu kenapa, aku sangat mengharapkan pertemuan itu kerana mungkin aku mahu membahagiakan Pak Long, aku mahu membahagiakan Mak Long, aku mahu membahagiakan nenek bersungguh-sungguh hati. Aku tak mahu mereka pergi meninggalkan dunia ini dengan harapan yang tidak terlaksana.
Aku tak mahu mereka terkilan. Aku tak mahu mereka kecewa. Dan aku mahu buat apa sahaja, asalkan mereka bahagia. Kerana mereka terlalu mulia di mata dan begitu mulia di hati aku. Ketiga-tiga insan yang sangat aku sayangi itu, sangat mengharapkan usaha aku. Lagipun kalau aku tidak bermati-matian mahu berikan mereka kebahagiaan, siapa lagi?
Kak Ika? Dia terlalu sibuk untuk memikirkan semua perkara. Lagipun dia sudah banyak berkorban. Kak Zura dan Abang Farhan? Mereka dah jadi lalat yang berterbangan. Lalat yang berikan toksik dalam hidup ibu, hidup nenek dan hidup Mak Long dan Pak Long. Apa lagi yang dapat kami harapkan daripada mereka? Selain daripada rasa sakit hati yang amat sangat?
Aku tak kisah sangat, mereka tidak perlulah hadir dalam hidup aku menjadi lebah yang banyak memberi kebaikan, tapi tak jadi lalat yang mendera hati dan perasaan ibu itu sudah dikira amat baik. Aku tak minta banyak dari mereka. Cukup hanya mereka balik dan jumpa ibu. Cukup.
Aku masih di baruh. Syafik sudah tidak berani tegur aku lagi. Kak Ika pujuk aku jangan serabutkan fikiran fikir perkara yang bukan-bukan? Fon berbunyi.
Olin terus mendesak. Ibu dan ayahnya sudah berpisah. Ibunya entah ke mana, ayah dan abangnya pula masih marahkan aku. Semakin berikan aku tekanan.
Aku pulang ke rumah. Kak Ika nampak bahagia bersama Mak Long bermain dengan Isyah, Sebaik melangkah masuk, Isyah terkedek-kedek dapatkan aku. Aku rasa nak menangis melihat cahaya gembira di wajah Mak Long dan Kak Ika.
Semalam aku tak dapat tidur. Gelisah. Akhirnya aku sempurnakan solat hajat dua belas rakaat, aku mantapkan hati untuk pergi ikut kata hati. Inilah yang aku dapat, kuat gerakan hati aku memilih untuk membantu Olin. Itu lebih afdal, sebab dia sangat-sangat perlukan bantuan aku. Dia perlu diselamatkan.
Aku beritahu Pak Long, aku mahu bercuti dua minggu untuk ke tempat Olin. Mendengar sahaja nama Olin keluar dari mulut aku, Pak Long terus melenting. Dia terus berleter dan marah-marahkan aku. Mak Long, ibu dan nenek, pujuk aku, ikut kata hati. Sebab selama ini, apa yang aku buat dengan mengikut kata hati aku, telah menguntungkan banyak pihak.
Kak Ika hanya tersenyum. “Orang yang hebat itu sentiasa mahu menghebatkan orang lain. Kalau permata yang Jehan cari, insya-Allah, permata juga yang Jehan dapat. Kak Ika bangga dengan Jehan. Sangat bangga.”
Dan dengan hati yang berat aku pun berangkat pergi. Bukan kerana desakan Olin, tetapi demi tanggungjawab ini, aku terpaksa berangkat pergi. Kak Ika, Ustaz Naufal, Ibu, Mak Long dan nenek, hantar aku ke KLIA. Aku peluk dan cium Isyah, aku suruh Kak Ika ambil gambar kami berdua. Kemudian aku bawa Isyah berdiri di sebelah Ustaz Naufal dan suruh Kak Ika ambil gambar kami. Dan yang terakhir aku minta Ustaz Naufal dukung Isyah, aku tarik tangan Kak Ika, aku ambil kamera di tangan Kak Ika dan suruh mereka bergaya.
Kak Ika terpinga-pinga. Dia nampak bingung tetapi tak boleh nak buat apa. Dia macam nak marah aku, tapi marah dia tak menjadi. Aku fokuskan lensa kamera dan suruh mereka tersenyum. Muka Kak Ika merah, biru, kelabu dan bermacam-macam warna ada. Lebih daripada tujuh warna pelangi.
Warna spektrum itu menampakkan wajah Kak Ika bertambah-tambah cantik dan berseri. Dari dalam lensa kamera itu aku terpandang seluruh hati Ustaz Naufal dilimpahi rasa bahagia yang melimpah ruah. Ya Allah hadiahkan kebahagiaan itu untuk mereka. Mereka sudah pun berusaha sekian lama membahagiakan orang-orang di sekeliling mereka. Kasihanilah mereka Ya Allah.
Terima kasih kerana Kau hadiahkan Isyah untuk keluarga ini. Terima kasih Ya Allah. Siapa pun dia, dia tetap kami kasih, kami sayang. Kau datangkan dia untuk meruntuhkan ego Pak Long, kau datangkan dia, untuk membuka pintu hati Kak Ika datang dan pulang dalam membahagiakan keluarga ini semula, kau datangkan dia, memberi kekuatan Mak Long untuk menegakkan kebenaran yang dia rasa. Ya Allah banyaknya kau datangkan kebahagiaan bersama kehadiran anak manis yang mulia, suci dan tidak berdosa itu. Anak yang bernama Siti Aisyah Lyana; Isyah.
“Cepat sikit Jehan, berapa lama nak posing ni?” Kak Ika rasa macam tak puas hati, kerana lama sangat aku ambil masa untuk tangkap gambar mereka.
Tahukah dia, aku sedang bertafakur dan berdoa dengan sesungguh hati, berdoa semoga mereka akan berdua-duaan begini di atas pelamin nanti? Amin.
“Eh, semula-semula, salah petik.”
“Eh, apa Jehan ni. Sengajalah tu.” Kak Ika menggeleng.
“Ini yang terakhir. Jehan nak bawa gambar ni ke California, Kak Ika. Sebulan Jehan tak nampak Kak Ika, Isyah dan Ustaz Naufal, Jehan nak ambil gambar banyak-banyak.”
Kak Ika terdiam. Mukanya berubah. Aku tahu, dia rasa sedih yang amat sangat. Iyalah, manalah dia pernah berpisah dengan aku untuk sekian lama. Inilah kali pertama dia mahu lepaskan aku pergi, Itupun setelah aku gunakan khidmat nenek untuk pujuk dia. Dan aku rasa, Olin juga pujuk dia bermati-mati.
Menyembunyikan sedih dan pilu hati, aku buat-buat kecoh. Tetapi dalam hati aku Allah sahaja yang tahu. Brutal-brutal aku, masih juga tersimpan perasaan pengasih dan penyayang rupa-rupanya. Sayangnya aku pada Isyah dan Kak Ika, Allah sahaja yang tahu, rasanya memang tak sanggup aku nak berpisah dengan mereka untuk sebulan ini. Tapi nak buat macam mana, aku ada tugas besar yang perlu disempurnakan.
Aku kena bawa Olin balik ke Kuala Lumpur. Itu sahaja syarat yang Tan Sri Khairuddin dan ASP Khairy syaratkan pada aku, untuk menarik semula kes aku ke mahkamah atas tuduhan menyebabkan Olin hilang dan tak mahu balik ke pangkuan keluarga. Geram dan tak puas hati betul aku. Aku rasa nak saman mereka semula. Tapi nak buat macam mana? Mereka durian, aku mentimun. Digolek kena, menggolek pun kena. Tunggulah, bila mereka jadi tempoyak nanti. Aku lenyek mereka sepuas-puas hati. Tunggulah, saat mereka menjadi tempoyak akan datang juga. Tunggulah! Rasa nak pitam aku fikirkan semua masalah orang-orang di sekeliling aku ini.
“Jehan, nak ambil gambar atau tak nak ni?” Suara Kak Ika menyentakkan aku daripada lamunan.
Aku terpinga-pinga dan menyuruh Ustaz Naufal rapatkan sedikit badan pada Kak Ika dan suruh Isyah pandang Kak Ika. Isyah memanglah model terbaik, separuh badannya dalam dukungan Ustaz Naufal dan tangannya memeluk leher Kak Ika. Kak Ika tergelak, Isyah tergelak dan yang paling manis, Ustaz Naufal juga tergelak. Aku tangkap gambar itu berulang-ulang kali. Inilah gambar paling cantik yang pernah aku tangkap.
Cepat-cepat aku tunjukkan pada Mak Long, ibu dan nenek. Bukan sahaja di hati mereka tersimbah cahaya bulan, wajah dan mata mereka disimbahi cahaya matahari melihat gambar yang sangat istimewa itu.
Nenek dan Mak Long, tadah tangan aminkan doa yang aku bacakan, semoga Allah permudahkan pertemuan jodoh mereka. Iyalah, ajal, maut, jodoh pertemuan di tangan Allah. Kalau beria-ia aku nak satukan mereka, kalau Allah tak izinkan, tak jadi juga. Dan kalau Pak Long beria-ia nak pisahkan mereka, tetapi Allah izinkan mereka bertemu jodoh, bertemulah mereka.
Kami hanya menjalankan ikhtiar. Penentu ikhtiar itu, Allah yang berikan keputusan. Kerana terlalu teruja melihat gambar paling istimewa itu, akhir sekali aku tunjukkan pada Pak Long yang masih buat muka dengan aku. Dia masih tak mahu lepaskan aku pergi, tapi yang hairannya, dia hantar juga aku ke KLIA.
Aku tunjukkan gambar pasangan yang nampak serasi bersama itu berulang-ulang kali. Pak Long nampak terkedu, dia tak tahu nak cakap apa. Aku tahu, hatinya juga bercahaya dan mendoakan kebahagiaan yang terpancar dalam gambar itu, akan benar-benar menjadi kenyataan.
Tiba-tiba aku teringat Lyana. Perlukah aku hubungi dia? Pengumuman penerbangan bergema. Ketika aku nak melangkah pergi, Isyah menangis nak ikut. Dia meraung bila aku tak dukung dia. Aku pula rasa nak ikut meraung. Dalam deraian air mata, aku kuatkan hati dan cepat-cepat melangkah pergi.
Sepanjang dalam penerbangan ke California, fikiran aku berlegar-legar kisah minggu lalu yang membimbangkan semua orang. Sebaik kereta Kak Ika yang dipandu Ustaz Naufal meninggalkan perkarangan rumah Pak Long, aku ingat nak bawa Pak Long dan Mak Long ke hospital. Tapi aku fikir, biarlah Kak Ika dan Ustaz Naufal yang uruskan semuanya. Pandailah dia orang nak urus Isyah. Lagipun mereka tak ada pilihan, pura-pura baik, pura-pura macam suami isteri, pura-pura profesional atau tidak, mereka terpaksa uruskan Isyah. Yang aku mahu, mereka bawa Isyah pulang nanti dalam keadaan selamat dan Isyah tidak lagi menangis. Aku nak Isyah ketawa macam selalu.
Aku rasa inilah titik tolak paling bermakna untuk mereka mulakan hidup baru. Alhamdulillah. Cantik sungguh urusan Allah. Antena otak aku mula mengesan keadaan Kak Ika sekarang. Mereka sudah masuk ke perkarangan hospital di unit kemalangan dan kecemasan – Trauma.
Aku nampak muka Kak Ika yang kelam kabut, cemas bawa Isyah ke bilik rawatan kecemasan. Tentu Kak Ika masih trauma. Darah di kepala Isyah, tentu mengingatkan dia semula darah di hidung Asraf. Darah yang memberi petanda Asraf akan pergi buat selama-lamanya, dua minggu selepas itu. Kak Ika tentu tidak dapat berfikir yang Asraf pergi sebab luekemia dan Isyah hanya terjatuh di tangga, darah di kepala Isyah, harap-harap tidak memberi apa-apa petanda. Aku harap dan berdoa semoga darah itulah yang akan mengesat darah di hati Kak Ika dan Ustaz Naufal dan mereka akan bersatu kembali.
Di simpang tiga, aku belokkan kereta.
“Kenapa kau ni Jehan? Nak ke hospital pun tak tahu?” Terkejut aku, Pak Long tiba-tiba menyergah.
Aku cuma tersenyum. “Eh, tersalah ke?” Aku buat-buat panik. “Lah dah terlajak pula. Nak buat macam mana ni Pak Long? Kita ikut jalan lain sajalah.”
“Jalan lain mana lagi nak ikut? Ini satu saja jalannya nak ke hospital.”
“Ok, jangan panik, kita boleh pusing balik.”
Aku lambat-lambat mencari parkir. Pandu kereta dua tiga pusingan, baru dapat parkirkan kereta. Aku berjalan laju-laju menuju ke bahagian kecemasan. Ah, itu pun dia, pasangan bahagia itu. Eh, Ustaz Naufal yang memangku Isyah, Kak Ika duduk di sebelah, bercakap sesuatu.
Aku berlari semula ke parkir mencari Pak Long dan Mak Long.
“Dah dapat cari mereka?” Pak Long tak sabar-sabar nak tahu.
“Jehan dah tanyakan kawan Jehan, jururawat di situ. Minta tolong, cepat-cepat tengokkan Isyah. Mereka dah masuk bilik rawatan. Doktor tengah periksa. Jomlah kita pergi kafeteria dulu. Minum-minum, lepas tu baru tengok Isyah.”
“Dalam keadaan macam ini kau boleh nak ajak pergi minum?”
Aku tahu, Pak Long sangat sayangkan Isyah. Darjah kebimbangan dia, sampai ke paras maksimum. Bukankah bimbang itu lambang kasih sayang?
“Bukannya kita boleh tengok pun dia, Pak Long.”
“Lama sangatkah doktor nak periksa Isyah?”
“Kepala dia berdarahkan? Doktor nak buat x-ray kepala, x-ray otak Isyah. Makan masa, Mak Long.”
“Sampai nak x-ray otak? Rosak budak tu kena panah x-ray nanti. Ini semua salah kau Jehan.”
“Kenapa pula Jehan?”
“Kau tak jaga dia betul-betul. Tak fokus. Itulah kau, bila buat kerja tak fokus. Suruh jaga budak sebaik Isyah pun tak boleh diharap. Macam mana nak cakap dengan emak budak tu nanti?”
“Jangan salahkah Jehan. Saya yang salah. Memang saya nak pegang dia kuat-kuat, tapi tak tahu macam mana boleh terlepas.” Suara Mak Long sebak. Mata Mak Long bergenang.
Mujur tak ramai orang yang dari parkir nak menuju ke kafeteria. Kalau tidak malu juga aku kena marah Pak Long. Pak Long bukannya peduli, kalau bab nak marahkan aku, bukannya reti nak ‘cover line’. Macamlah aku tak ada perasaan. Hem, nak buat macam mana? Sabar sajalah!
Aku bawa Pak Long dan Mak Long ke sebuah meja yang paling hujung. Aku tanyakan Mak Long nak makan apa, dia menggeleng. Sesekali disapunya air mata.
Dalam linangan air mata, akhirnya aku jejakkan juga kaki ke bumi California
Olin menanti aku dengan muka berseri-seri. Terus dibawanya aku ke kediamannya. Aku dipertemukan dengan ibunya yang pergi membawa hati. Lapang rasa hati selama ini Olin tidak keseorangan rupa-rupanya.
Belum pun lepaskan penat, Olin beritahu dia mahu jumpakan aku dengan seseorang.
“Siapa?”
“Farhan Zainal Abidin.”
“Abang Farhan.” Aku rasa ada tsunami dan gempa bumi bergegar di bumi. Abang Farhan!
Bersambung…