Novel Bersiri (Siri 10) – Cikgu Rania 2: Aku Di Teratak Hatimu!

UMMAR Qayyum benar-benar tergamam dengan tindakan Murni. Direntap tangan Murni. Sakit hatinya. Segera dia beredar dan duduk di ruang tamu. Wajahnya masam mencuka.

“Kurang ajar!” rungutnya. Dada anak muda itu naik turun.

“Lepas makan kita balik ya Ren,” ujarnya semasa mereka makan tengah hari di meja makan.

Nenek Ninda bersama Rania berpandangan. Pelik dengan permintaan Ummar Qayyum. Murni masih di dalam bilik.

“Tadi kata nak balik petang-petang sikit,” ungkit Nenek Ninda.

“Itulah. Murni pun tak berapa sihat. Tunggu petang sikit boleh?” Memikirkan situasi Murni, Rania mengemukakan usul itu.

“Kita balik berdua. Biar saja dia di sini. Emak lama kat sini kan?” tanya Ummar Qayyum pada ibunya pula.

“Mak ingat nak duduk dalam seminggu lagi. Dah pesan pada Bakhtiar.”

“Boleh mak tengokkan Murni?” tanya Ummar Qayyum selamba.

Rania kebingungan. Apa halnya dengan Ummar Qayyum? Mendadak sahaja dia buat keputusan. Atau dia sudah pun berbincang dengan Murni? Rania bersoal jawab sendirian.

“Boleh. Mak tak kisah. Murni nak duduk di sini ke? Kamu dah bincang dengan dia?” tanya Nenek Ninda balik.

“Biar saja dia duduk di sini. Di kampung udara segar, cepat sihat nanti. Kebetulan saya ada hal. Kena balik cepat.”

Alasan yang diberikan Ummar Qayyum mengejutkan Rania. Tadi dia elok saja tapi sekarang nampak macam ada sesuatu yang mengganggu Ummar Qayyum.

“Murni nak ikut balik.” Tiba-tiba Murni muncul. Dia berdiri tercegat tidak jauh dari meja makan. Wajahnya agak pucat. Dia sudah siap bertudung. Suapan Ummar Qayyum terhenti. Melihat Murni menghampiri meja makan, Ummar Qayyum bangun padahal nasi di pinggan masih berbaki. Dia terus ke sinki dan membasuh tangan.

Nenek Ninda yang prihatin dengan kesihatan Murni sibuk bercakap-cakap dengannya. Rania capai pinggan nasi Ummar Qayyum dan membawanya ke sinki. Dia
perasan perubahan sikap Ummar Qayyum. Keputusan Ummar Qayyum untuk tinggalkan Murni di kampung tinggal keputusan sahaja. Murni terlebih dahulu masuk ke perut kereta apabila melihat Ummar Qayyum bersalam-salaman dengan Nenek Ninda. Dia tetap berkeras mahu ikut pulang. Rania kebingungan. Apa sudah jadi? Detiknya
sendiri.

Sepanjang separuh perjalanan pulang, Ummar Qayyum diam sahaja. Soalan yang ditanyakan Murni langsung tidak dijawab oleh Ummar Qayyum. Dia menyampah dengan perempuan itu. Tetapi dengan Rania lain pula layanan Ummar Qayyum. Mesra sekali malah sempat pula bermain mata dengannya. Qayyum marahkan Murni ke? Barangkali ada sesuatu yang aku terlepas pandang? Terfikir Rania.

Sewaktu dia menoleh ke belakang, wajah Murni masam. Perjalanan seterusnya, hanya suara di radio yang menemani mereka. Sampai di rumah lain pula yang menanti Rania. Sebaik sahaja ternampak kelibat Rania, terus diterkam Puan Sri Zalia. Sempat pula dia berbasi-basi dengan Ummar Qayyum dan menyuruhnya duduk di ruang tamu. Menyedari dirinya umpama melukut di tepi gantang, Murni terus membawa diri naik ke tingkat atas. Tangan Rania dipimpin oleh ibu masuk ke bilik.

“Kenapa mama?” tanya Rania sebaik sahaja tubuhnya disorong ibu lalu didudukkan di birai katil.

“Tahu tak? Abang Rais nak kahwin dengan Murni,” ujar Puan Sri Zalia.

“Jadi juga?” Rania melepaskan lelah. Terkejut sebenarnya tetapi dikawal perasaan hati. Berkarung-karung Puan Sri Zalia membebel tapi satu pun tidak masuk di kepala Rania. Buntu untuk memikirkan semua perkara yang datang serentak.

“Ma, Qayyum kat luar seorang. Kasihan dia,” Rania menghentikan penceritaan ibu tentang Rais.

“Hmm pergilah Ren layan Qayyum sekejap. Mama sesak nafas sejak tadi. Eloklah mama berehat sekejap. Panggilkan Makcik Rohaya!” arah Puan Sri Zalia.

“Mama tak nak jumpa Qayyum?” tanya Rania.

“Kirim salam pada Qayyum. Mama pening!” sahutnya yang sudah pun berbaring. Lengan kanannya tersadai di atas dahi dengan kedua-dua mata tertutup.

Selepas memanggil Makcik Rohaya, Rania menghala ke ruang tamu utama. Ummar Qayyum sedang menghirup kopi panas. Rania duduk di sisinya. Diceritakan pada lelaki itu sepintas lalu tentang berita Rais yang baru didengar daripada ibunya. Keluhan Ummar Qayyum kedengaran.

“Kalau Rais perlu kahwin dulu, biarlah. Mungkin itu yang paling balik. Tapi, bila I balik sekali lagi, I harap rancangan kita tak tertangguh lagi ya!” pujuk Ummar Qayyum.

Rania tersenyum. Lapang dadanya kerana Ummar Qayyum banyak tolak ansur. Apabila ditanyakan Rania tentang ‘mood’nya yang tiba-tiba berubah semasa di kampung sebentar tadi, Ummar Qayyum diam sejenak. Dia menghela nafas seraya berfikir. Perlukah dia maklumkan kepada Rania tentang perlakuan tidak senonoh Murni tadi? Ah! Banyak sangat buruk dibandingkan baiknya kalau berita itu sampai kepada Rania. Apa fikiran Rania terhadap Murni? Kalau berita buruk itu disampaikan pula pada Puan Sri Zalia, pasti melenting wanita itu. Mesti akan ditentang habis-habisan hasrat Rais untuk menikahi Murni. Silap haribulan, Murni akan dihalau keluar dari rumah. Ke mana Murni hendak pergi? Dia sudah jatuh, ditimpa tangga pula! Aduhh! Kenangkan hal itu Ummar Qayyum noktahkan keputusan. Biarlah apa yang berlaku jadi rahsia. Biarlah! Detik hatinya meskipun dia sangat membenci akan tindakan dan perlakuan tidak bermoral Murni itu.

“You ni kenapa? Sejak tadi pelik perangai you. Orang tanya tak jawab pula tu,” rungut Rania.

“Tak adalah,” sahut Ummar Qayyum.

Sebelum pulang, banyak yang dipesan pada Rania. Ketara, berat hatinya hendak meninggalkan Rania. Berat lagi rasa hatinya tatkala mahu bertolak pulang ke Sweden. Beberapa kali dia berpesan dan merenung wajah Rania sewaktu mahu menuruni tangga bergerak di pintu imigresen. Rania berdoa dalam hati semoga Ummar Qayyum sentiasa dilindungi Allah walau di mana sahaja dia berada. Namun, dia bersyukur kerana kali ini perginya Ummar Qayyum dihantar mereka sekeluarga di KLIA tidak seperti sebelum ini. Ummar Qayyum pergi berteman rajuk.

Kerana sedih, sepanjang perjalanan pulang, Rania mendiamkan diri. Sungguhpun dia tidak berminat berbual tapi setiap perbualan antara ayah dengan ibu masuk pula ke telinganya. Perbualan mereka kali ini banyak berkisar tentang pernikahan Rais-Murni. Tan Sri Razlan mahu majlis pernikahan itu diadakan secara ringkas atas alasan perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan kedua Rais.

Sebulan selepas keberangkatan Ummar Qayyum, majlis pernikahan ringkas antara Rais dengan Murni dilangsungkan. Ridwan dan Kak Rindu sekeluarga turut pulang memeriahkan majlis tersebut. Riuh rendah rumah Tan Sri Razlan bila semuanya berkumpul. Halim bersama Ros Ilyani tidak ketinggalan meraikan pengantin yang sedondon berbaju songket warna merah darah. Walaupun agak terkejut, Ros Ilyani reda menerima berita pernikahan kali kedua Rais. Perkahwinan antara Rais dengan Haryati dulu masih segar dalam ingatan Ros Ilyani, kini sekali lagi Rais bernikah.

“Tahniah! Semoga bahagia dan hendaknya berkekalan,” Ros Ilyani tidak lupa mendoakan kedua-dua pengantin. Rais sekadar tersenyum hambar. Murni menyambut salam Ros Ilyani tetapi mukanya ditundukkan sedikit. Wajahnya tidak ceria.

“Jangan buat muka ketat macam tu kalau orang ucap tahniah,” Puan Sri Zalia beramaran pada Murni.

Murni yang takut-takut menganggukkan kepalanya.

“Kalau orang salam, senyum…,” ajar Puan Sri Zalia lagi. Dia terpaksa bermanis muka setiap kali tetamu menyalaminya. Dalam hati hanya Tuhan yang tahu betapa bosannya dia kerana perlu berlakon. Rais juga nampak tidak selesa.

Siapa suruh kau gatal-gatal nak bernikah dengan kelapa yang dah ditebuk tupai tu? Kata Puan Sri Zalia dalam hati. Dah macam tak ada orang lain padahal apa kurangnya Ros Ilyani tu? Bencinya pada Murni meluap-luap. Rasa belas pada Ros Ilyani makin ketara tatkala dilihat muka Ros Ilyani kelat-kelat bahasa semasa memandang pasangan pengantin. Ini semua laki aku punya pasallah! Kalau dia bertegas sikit, tak akan bernikahnya Rais dengan si Murni itu! Rungutnya lagi.
“Ingat you yang naik pelamin,” usik Halim pada Rania. Sejak datang, dia menemani kakaknya Ros Ilyani.

“Insya-Allah. You doakanlah ya,” sampuk Rania pula.

“I lah yang rugi.”

“You mana pernah rugi Lim. You untung memanjang,” usik Rania sengaja untuk tidak melayan perasaan Halim. Bukan dia tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh Halim.

“Senasib I dengan Kak Ros rupanya!”

Rintihan Halim membuatkan Rania serba salah. Teratak hatinya sekarang sudah bulat untuk Ummar Qayyum sahaja. Tiada orang lain lagi. Dia sangat berharap agar Halim reda menerimanya tapi dapatkah Halim berbuat demikian?

“I ingat peluang I masih terbuka Ren,” bisiknya di kala Ros Ilyani sedang berbual dengan Puan Sri Zalia dan Nenek Ninda. Sekejap sahaja Puan Sri Zalia bersama mereka kerana dia terpaksa melayan tetamu yang hadir.

Rania tidak mampu berkata-kata apatah lagi melihat wajah Halim. Dia masih ingat raut wajah Halim semasa dia bersama Ummar Qayyum bertandang ke rumahnya di Janda Baik dulu. Muka lelaki patah hati!

“Tak sangka Ummar Qayyum datang balik,” ucap Halim lama kemudian.

“I pula ingat you lepaskan I sebab nak satukan I dengan Ummar Qayyum balik.” Sengaja Rania cakap lepas.

“Memanglah itu niat I mulanya Ren tapi ternyata I tak mampu membohongi hati sendiri.” Pengakuan Halim menyenakkan dada Rania.

“Halim, kita masih berkawan sampai bila-bila kan?” pujuk Rania lembut.

“I harap begitulah! Sepatutnya I sedar dari dulu bahawa I dengan you memang tak boleh terbang bersama-sama Ren tapi entahlah, hati ni yang tak hendak faham,” rintih Halim lagi.

Rania malas hendak memanjang-manjangkan kisah. Bila sahaja Kak Rindu memanggilnya, segera sahaja dia meminta diri daripada Halim. Halim putih mata melihat kelibat Rania masuk ke dalam rumah. Kerana tiada sesiapa yang hendak dilayan bercakap, dia mendekati Ros Ilyani.

“Tak nak balik lagi?” tanyanya kepada si kakak.

“Kenapa?”

“Jomlah balik.”

“Sekarang?” tanya Ros Ilyani.

“Yalah…”

“Kejaplah, Kak Ros nak jumpa Ren,” sampuk Ros Ilyani dan pergi mencari Rania.

Tinggal Halim seorang. Dia memerhatikan gelagat manusia yang bermacam-macam di rumah Tan Sri Razlan. Melihat wajah Murni yang pucat itu, Halim jadi pelik. Jauh cantik Rania yang sudah berpeluh-peluh mukanya melayan para tetamu kalau hendak dibandingkan dengan Murni yang sudah lengkap bersolek.

Ah! Hati, terima takdir yang sudah tersurat, bisiknya sendiri. Ros Ilyani datang bersama Rania. Mereka berbicara seketika sebelum Halim bersama Ros Ilyani minta diri untuk pulang. Ros Ilyani dipeluk Rania.

“Nanti kita jumpa lagi ya Kak Ros,” bisik Rania dan tidak lupa memberikan bunga telur kepada kakak angkat kesayangannya itu. Sesudah itu dia menghampiri ibu dengan Nenek Ninda dengan dua gelas minuman.

“Mama dengan mak cik dah makan belum?” tanya Rania.

“Kejap kejap lagi Ren,” sampuk Nenek Ninda. “Mak cik pun bukannya nak balik dah,” katanya lagi.

“Mama?”

“Mama tunggu dulu, tak boleh nak makan lagi,” kata Puan Sri Zalia. “Ren dah makan?”

“Kejap lagi ma, nak makan lauk pengantin,” Rania berisyarat sambil menjeling pada pasangan pengantin yang sedang makan beradab.

“Jangan lambat lambat nanti masuk angin,” pesan ibunya. Rania angguk dan kembali sibuk memantau perjalanan majlis tersebut. Walaupun majlis itu sudah dipertanggungjawabkan sepenuhnya pada pihak tertentu tapi Rania suka melakukan kerja-kerja sedemikian.

“Masih tak sihat si Murni tu.” Nenek Ninda yang prihatin berbisik pada Puan Sri Zalia sewaktu tetamu mulai berkurangan. Sungguhpun agak terkejut dengan berita pernikahan Murni dan Rais tapi Nenek Ninda begitu gembira.

“Mana nak sihatnya, err…” Puan Sri Zalia mendengus. Ikutkan sakit hatinya mahu sahaja dia membocorkan rahsia sebenar Murni tetapi apabila terkenangkan kata-kata Rania dia membatalkan niat.

Tak baik mengaibkan orang mama. Kalau kita tutup aib orang, Allah akan tutup aib kita. Pesanan Rania bergema tiba-tiba.

“Kenapa?” tanya Nenek Ninda tatkala dilihat Puan Sri Zalia serba salah.

“Kebelakangan ni dia selalu tak sihat.”

“Sakit apa?”

“Penat kot.”

“Kan Murni dah tak kerja.”

“Budak-budak sekarang kak, lembik! Tak macam kita dulu.”

“Hah, yalah, tapi masa dia duduk dengan kakak di kampung dulu dia cergas saja.”

Puan Sri Zalia mati kutu hendak menjawab.

“Tapi masa datang sebulan lepas dengan Ren dan Qayyum dia tak sihat juga,” Nenek Ninda imbas kembali kedatangan mereka bertiga tempoh waktu.

Puan Sri Zalia diam lagi.

“Kenapa tak dilangsungkan serentak saja perkahwinan Rais dengan Murni, Zalia?” tanya Nenek Ninda kemudianya. “Ren dengan Qayyum yang datang berbincang hari tu, alih-alih yang bernikah si Rais dengan Murni pula!” Nenek Ninda yang tidak tahu apa-apa tergelak kecil.

“Biarlah mereka berdua dulu. Lagipun Rais hendak majlis ringkas. Inikan kali kedua dia berkahwin.”

“Ya tak ya juga. Murni pun anak yatim piatu. Nak berlebih-lebih kasihankan pula abangnya.”

“Abangnya dah serahkan pada kami untuk uruskan. Jadi, pandai-pandai kamilah kak,” ujar Puan Sri Zalia.

“Baguslah kalau begitu. Senang hati kakak. Tak adalah Murni terumbang-ambing sendirian di Kuala Lumpur ni. Kakak pun dah duduk di rumah Bakhtiar semenjak Qayyum tak ada kat sini. Kasihan juga Murni,” Nenek Ninda menyampaikan apa yang terkandung di hati.

Sesungguhnya dia berasa sangat bersyukur mendengar berita pernikahan Rais-Murni. Rania datang menyaingi mereka. Mukanya berpeluh-peluh.

“Anak-anak Kak Rindu mana Ren?” tanya Puan Sri Zalia. Sibuk dengan tetamu, terlepas pandang pula pada cucu-cucu yang sesekali pulang ke Malaysia.

“Kakak tengah tidurkan lepas bagi mereka makan.”

“Abang Is dengan Abang Ridwan?”

“Ada kat dalam. Tengah tersadai kepenatan depan TV,” sahut Rania.

Melihat suaminya menggamit tangan, Puan Sri Zalia minta diri dan bergegas menuju ke arah suaminya. Rania berbual pula dengan Nenek Ninda. Beberapa soalan daripada Nenek Ninda terpaksa dijawab bertapis. Ada ketikanya dia terpaksa berbohong apabila Nenek Ninda bertanyakan tentang hubungan Rais dengan Murni.

“Tak pernah pula mak cik tahu mereka berkawan. Masa Murni balik kampung dengan Ren dan Qayyum hari tu Rais tak ikut sekali?”

“Alah mak cik, Abang Rais tu bukan suka kecoh-kecoh, inikan kali kedua dia kahwin.”

“Murni pun langsung tak bercerita masa balik hari tu.”

“Dia kan tak berapa sihat sejak hari tu.”

Nenek Ninda minta diri apabila Bakhtiar sekeluarga sudah bersalam-salaman dengan tuan rumah. Sebelum pergi Nenek Ninda peluk erat tubuh Murni. Pipi Murni dicium kiri kanan.

“Jaga diri baik-baik. Sekarang dah jadi isteri orang,” pesan Nenek Ninda. Murni menangis mendengarnya. Hiba hatinya dipesan begitu. Sewaktu abangnya sekeluarga bertemunya sebelum balik, dia biasa-biasa sahaja. Wajah kakak iparnya tidak dipandang pun. Tingkah lakunya disedari pula oleh Puan Sri Zalia.

“Apa pasal pelik saja perangai si Murni tu? Mama tengok semacam saja dia dengan kakak iparnya,” risik Puan Sri Zalia.

“Dia penatlah mama, seharian melayan tetamu.”

“Apa pula dia? Kita yang penat. Dia bergambar-gambar saja.”

“Mama dah makan belum?” tanya Rania sengaja mengubah topik perbualan.

“Belum. Mana ada selera nak makan dah kelam-kabut begini.”

“Mama pergi makan dulu ya,” ujar Rania. Tetamu sudah pulang semuanya. Yang tinggal hanya saudara-mara terdekat sahaja. Rania mengambil kesempatan menghantar gambar-gambar perkahwinan Rais-Murni kepada Ummar Qayyum. Sekejap sahaja dia mendapat balasan mesej pesanan ringkas daripada Ummar Qayyum.

“How I wish I ada kat sana. Bukan nak tengok pasangan mempelai tapi nak jumpa bakal pengantin I.”

Rania senyum sendirian membacanya. Dia lalu membalas mesej pesanan Ummar Qayyum.

“Giliran kita pun tak lama lagi. Looking forward to see you Qayyum tapi tadi I dengar mama borak dengan emak you. Mungkin tak sempat buat hujung tahun,”
“Pulak!.

“Mungkin bulan Febuari tahun depan.”

“Alahai…”

“Tak ada beza pun,” balas Rania.

Seketika kemudian Ummar Qayyum menghubunginya melalui telefon. “Susahlah nak hantar mesej panjang-panjang. Penat jari. Call lagi senang,” ujarnya seusai salam diucap.

“You memang jenis tak sabar,” usik Rania.

“Siapa kata?” Kalau I tak sabar, tak dapatlah I berangan nak kahwin dengan you Ren.”

“Kenapa cakap macam tu?”

“Hanya orang yang sabar saja yang boleh dapat you,” usik Ummar Qayyum disambut gelak kecil Rania.

“Tahu tak apa.”

“You dah baca kiriman mesej untuk you kat FB Ren?” tanya Ummar Qayyum kemudiannya.

“Dah lama tak online, tak sempat. Kenapa?”

“Siapa FF tu? Peminat? Semacam saja dia tulis.”

“Entah, tak kenal, tapi selalulah dia hantar.”

“Tapi dia selalu hantar mesej ayat bunga-bunga kat you.”

“Ha’a!”

“I nak suruh dia berhenti hantar ayat bunga-bunga macam tu,” ujar Ummar Qayyum.

“Eh, biarlah,” sanggah Rania.

“I tak suka Ren.”

“Bagus apa ayat-ayat dia tu, mencambahkan minda kreatif I.”

“Ren, I nak suruh dia berhenti meng’ayat’ tunangan I,” ujar Ummar Qayyum. Rania tergelak kecil.

“I nak beritahu dia, I sudah berada di teratak hati you,” sambung Ummar Qayyum lagi.

“Wah, you pun dah pandai meng’ayat’ I,” usik Rania seraya matikan topik perbincangan tersebut. Malam itu, sewaktu sanak-saudara berkumpul sambil membuka hadiah perkahwinan Rais dan Murni, Rania membuka akaun Facebooknya. Terus dibaca kiriman mesej daripada FF:

“Ren, di manakah kembang hatimu mekar kini? Di langit biru memutih awan atau di laut syahdu berteman bayu. Izinkan aku mengintai teratak hatimu.”

Wahh, indahnya madah yang tertulis, patutlah Qayyum dah cemburu dan dah pandai guna ayat teratak teratak, getus Rania dalam hati. Ingin sahaja dia tertawa kalau tidak kerana di sekelilingnya penuh sanak-saudara. Ah biar saja Qayyum cemburu. Aku suka dia cemburu, detik hati kecilnya lagi.

Bersambung…

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,618 views