Novel Ilham Drama Korea

Drama televisyen K-Pop memang sudah sekian waktu menghimpunkan ramai peminat fanatiknya.

Plot dramanya yang mementingkan hubungan kekeluargaan serta terselit unsur persengketaan dan percintaan romantis menjadikannya satu fenomena kegilaan ramai.

Bagi satu kumpulan peminat tegar drama televisyen Korea, mereka cuba mencipta kelainan dengan mengolah semula penceritaan dalam bentuk penulisan melalui penghasilan novel bersiri.

Namun apa yang diketengahkan bukan 100 peratus meniru drama berkenaan, tetapi ia sekadar dijadikan bahan rujukan untuk menyedapkan cerita.

Itu bermulanya penubuhan gabungan sekumpulan penulis dramanovella secara bersiri menggunakan laman blog PenselKontot.

Menurut pengurusnya, Malina J, 27, terdapat lima penulis tetap yang memeriahkan laman PenselKontot dan setiap minggu penulis berkenaan menerbitkan episod baru bagi cerita masing-masing untuk tatapan umum.

“Setiap siri yang diketengahkan penulis terbabit hasil ilham daripada jalan cerita drama Korea yang pernah ditonton, tetapi diberikan penambahan budaya tempatan.

“Ia bertujuan memastikan cerita yang ditampilkan itu tidak terlalu bersifat fantasi dan lebih kepada budaya serta kehidupan seharian masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui di Hulu Klang, baru-baru ini.

Pemilihan blog sebagai cara penyampaian idea bertujuan memudahkan mereka menyalurkan cerita dan berinteraksi dengan pembaca.

Pada peringkat awal, penulis perlu menerbitkan siri baru setiap minggu pada jam 10 pagi mengikut hari yang ditetapkan untuk mereka.

Namun disebabkan kesibukan kerjaya, ada kalanya ia tidak mampu dilakukan, tetapi siri baru berkenaan masih diterbitkan pada hari sama.

“Penulis di PenselKontot bukan menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang penulisan kerana mereka memiliki kerjaya masing-masing. Tetapi, disebabkan minat, mereka berusaha untuk menyajikan pembaca dengan cerita terbaik.

“Saya akan pastikan mereka mampu menyiapkan siri baru dalam masa ditetapkan memandangkan Sabtu dan Ahad masa terluang mereka dan boleh digunakan sepenuhnya untuk menyiapkan sambungan siri berkenaan,” katanya.

Setiap episod diketengahkan memiliki muka depan sendiri dan berbeza antara satu sama lain mengikut watak diketengahkan. Hingga kini 13 siri dihasilkan yang mendapat sambutan menggalakkan.

Mungkin ada yang beranggapan hujung minggu paling ramai pembaca mengikuti setiap siri terbabit, tetapi yang nyata sebaliknya berlaku.

Pada masa sama, bagi memastikan gaya penulisan cerita tidak menyalahi bentuk tatabahasa, terdapat editor dalaman yang membuat penelitian setiap karangan cerita.

Antara siri disediakan:

Isnin – Airin, Lempeng dan Flower Boy

Kisah ini berunsurkan genre muzik terutama membabitkan artis berkumpulan yang menyelitkan unsur persahabatan, cinta serta masalah keluarga.

Ceritanya membabitkan pelajar kolej muzik yang ingin memasuki pertandingan muzik berkumpulan yang menggabungkan empat watak lelaki dan seorang perempuan.

Watak lelaki cetusan inspirasi artis lelaki berkumpulan Korea terutama Lee Jong Hyun dan Kang Min Hyuk daripada kumpulan CNBlue manakala watak perempuannya pula berdasarkan artis tempatan iaitu Yuna.

Bagi penulisnya, Reyna Ren, 28, dia cuba mengolah bentuk penulisannya kepada gaya santai supaya memudahkan pembaca memahami mesej yang ingin disampaikan.

Malah, ciri-ciri yang berada di luar batas Islam seperti berpegangan tangan atau babak berpelukan tidak dimasukkan dalam plot ceritanya.

“Saya cuba menjaga adab sebagai seorang wanita Islam dalam cerita yang diketengahkan kerana kebanyakan pembaca yang mengikuti perjalanan cerita ini adalah kalangan pelajar sekolah.

“Sebolehnya saya cuba mengolah cerita bersesuaian dengan watak serta personaliti watak berkenaan supaya ia tidak kelihatan hambar dan tidak menarik,” katanya.

Selasa – Kimchi Teh Tarik

Bagi penulis, Ai Nara, 33, dia tidak memiliki latar belakang penulisan yang kukuh, justeru siri ini projek sulungnya untuk membabitkan diri dalam pasaran penulisan tempatan.

Sebelum ini, dia hanya menumpukan idea menulis blog sendiri untuk memberikan kepuasan melalui maklum balas pembaca.

Dia akui cabaran utama adalah untuk menggabungkan plot cerita.

“Ada kalanya apabila sampai pada satu peringkat, sukar untuk saya mencari idea baru dan memanjangkan cerita. Namun sebagai penulis, ia perlu dilakukan tanpa memberikan sebarang alasan.

“Kami perlu menghasilkan siri baru dengan panjang cerita untuk setiap episod kira-kira lima muka surat kertas A4. Mungkin untuk mereka yang sudah biasa menulis, ia satu perkara mudah, tetapi bagi saya, ia agak berat,” katanya.

Oleh itu, untuk mengatasinya, dia banyak melakukan interaksi bersama penulis PenselKontot lain serta mengkaji semula drama Korea yang pernah ditonton sebelum ini.

Cerita dihasilkannya ini berkonsepkan Cinderella iaitu golongan biasa yang akhirnya berjaya dalam hidup.

Tetapi, sebolehnya dia ingin mengetepikan cerita tipikal Melayu memandangkan watak utamanya memiliki darah campuran Korea dan Melayu. Ia cetusan inspirasi drama Secret Garden.

Rabu – Dia 1st Love Saya.

Walaupun memiliki tiga novel sendiri serta empat novel bersama penulis lain, Haryani Kamidan, 34, tidak pernah melepaskan peluang untuk menulis sesuatu yang baru.

Tidak dinafikan pada awal pembabitannya sekadar suka-suka, tetapi lama-kelamaan dia mula menunjukkan minat dan ingin meneruskannya hingga akhir.

“Saya cuba meningkatkan prestasi penulisan dan tidak pernah menganggapnya sebagai satu bebanan. Ia memberikan satu keseronokan yang sukar dijelaskan.

“Apabila menulis, kita mampu meluahkan perasaan dalam bentuk kata-kata dan ia sangat menenangkan,” katanya.

Sungguhpun terpaksa mematuhi tarikh ditetapkan, ia membuatkannya berterusan memberikan idea terbaik supaya cerita yang disiarkan mendapat sambutan.

Kali ini dia mengetengahkan novel bersiri yang sedikit kompleks disebabkan plot cerita antara watak saling berkaitan tanpa disedari.

Ceritanya dimulakan dengan kisah dua watak utama yang saling bertengkar kerana tidak sependapat yang akhirnya jatuh cinta tanpa menyedari insan dicintai bukan individu sebenar, sebaliknya rakan karib sendiri.

Khamis – Abu Merah Jambu

Menurut Emin Fazel, 29, judul asal siri ini adalah Kurung Biru Cekak Musang Pink, tetapi disebabkan ingin mengkomersialkannya, ia ditukar kepada nama yang lebih pendek dan mudah diingati.

Siri dihasilkannya itu inspirasi daripada lirik lagu muzik Indie Korea
yang kemudian dikembangkan menjadi plot cerita bersiri.

Dia yang sudah lama meninggalkan dunia penulisan mengakui, bukan mudah untuk kembali mengerah tenaga dan idea menghasilkan sesebuah cerita.

Ketika di sekolah menengah dia pernah menghasilkan tiga cerpen yang dihantar kepada majalah untuk disiarkan.

Itu kali terakhir dia menulis dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran sebelum kini kembali aktif selepas bekerja.

Watak utama ceritanya iaitu Abu sangat gemarkan warna merah jambu manakala watak perempuan utama pula sebaliknya.

Banyak konflik berlaku disebabkan perbezaan terbabit dan dia sendiri belum mengetahui penghujungnya memandangkan ia masih berada di pertengahan cerita.

Jumaat – Jiranku Rock Star

Bagi Ney Joehan, 28, cabaran menulis yang dihadapinya ialah masa. Jika ada idea, ia boleh disiapkan dalam masa satu jam 30 minit saja.

Namun bukan mudah untuk memulakannya kerana idea datang sedikit demi sedikit. Lebih mencabar, dia perlu mengasingkan plot cerita berlainan berdasarkan warna pen kerana dalam satu-satu masa boleh memperoleh idea untuk cerita berbeza.

Ney memperuntukkan hujung minggu iaitu Sabtu untuk menulis dan memulakannya sejak pagi. Jika tidak, setiap bahan dihasilkannya akan tertangguh kerana kekangan idea.

“Saya cuba memberikan gaya penceritaan terbaik dan berlainan untuk setiap karya dihasilkan.

“Walaupun masa diberikan seolah-olah tidak mencukupi, penting untuk mengekalkan kualiti penulisan,” katanya.

Novel bersiri yang dihasilkannya itu berkisar kisah hidup penulis skrip yang sering teraniaya serta jirannya iaitu penyanyi lagu rock yang tidak dikenalinya.

Bagaimanapun, dia tidak pernah menyangka akan bekerjasama dengan jirannya itu untuk menghasilkan lagu disebabkan permintaan daripada seseorang individu.

Untuk melihat sendiri hasil kerja kelima-lima penulis berbakat berkenaan, boleh layari www.facebook.com/OfficialPenselKontot atau twitter.com/PenselKontot.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,466 views