Nur Ayuni Tak Mudah Mengalah

Pengasas perniagaan kasut secara dalam talian jenama You, Me and Shoes (YMS), Nur Ayuni Mohd Azri, menyifatkan pengalamannya ditipu pembekal menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakannya seumur hidup.

Berbekalkan modal RM800 yang dipinjam daripada ibunya untuk memulakan perniagaan, akhirnya duit modal lesap sekelip mata akibat terlalu percayakan kata-kata pembekal.

“Ketika itu saya masih baru dalam bidang perniagaan. Saya menganggap apa yang ditawarkan pembekal terbabit yang terbaik, tetapi ternyata saya tersilap percaturan.

“Akhirnya modal yang dibekalkan ibu itu hangus begitu saja tanpa sebarang pulangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Dutamas Seroja 1, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dia akui, bukan mudah untuk berjaya dalam sesuatu bidang, namun ia juga tidak mustahil. Pelbagai cabaran perlu dilalui sama ada suka mahupun duka sekiranya inginkan hasil yang lumayan.

Malah, adakalanya kesukaran yang berlaku mencetus tekad supaya jangan sesekali menjadikannya alasan untuk tidak berpandangan jauh. Begitulah yang dipamerkan gadis manis berusia 23 tahun ini yang ternyata cekal dalam mengharungi dugaan.

Selepas kejadian itu, dia memulakan langkahnya sekali lagi dan kali ini lebih berhati-hati dengan mencari pilihan sendiri bekalan dan keperluannya.

“Saya tidak bermula dengan jualan kasut buatan sendiri sebaliknya memilih untuk mengetengahkan kasut sedia dipakai sebagai tanda pengenalan jenama ini.

“Selepas beberapa ketika, barulah membuat keputusan untuk menghasilkan rekaan kasut sendiri yang nyata lebih mudah dari segi pemilihan saiz kasut serta bahan,” katanya.

Sungguhpun sibuk menelaah pelajaran yang kini memasuki tahun akhir pengajiannya dan bakal bergelar jurutera perisian, ia sedikit pun tidak mengurangkan minatnya dalam dunia rekaan kasut.

Dia tidak sesekali membelakangkan aktiviti pembelajarannya kerana baginya, kedua-duanya sama penting dan perlu diberikan tumpuan seimbang.

“Walaupun keluarga memberikan sokongan penuh terhadap apa yang dilakukan, bukan bermakna saya boleh bersikap sambil lewa.

“Saya perlu berusaha untuk buktikan saya mampu melakukan pelbagai perkara dalam satu masa, tetapi paling penting, pengajian perlu dihabiskan dengan cemerlang.

“Ia suatu cabaran yang agak sukar, tetapi boleh dicapai sekiranya saya fokus dan melakukan yang terbaik untuk mencapai kecemerlangan dalam kedua-dua bidang,” katanya.

Kebanyakan kasut yang disediakan untuk gaya kasual dan ranggi menggunakan bahan jenis kulit kerana ia lebih tahan lama.

Walaupun menganggap diri masih bertatih dalam dunia rekaan kasut, dia berharap untuk melebarkan sayap rekaannya ke peringkat lebih tinggi.

“Jika sebelum ini saya bertindak sebagai pengedar kasut dari luar negara, kini saya mula menghasilkan rekaan kasut mengikut cita rasa dan kehendak pelanggan serta keselesaan apabila menggayakannya,” katanya.

Selain itu, dia banyak menitikberatkan gaya bagi wanita yang gemarkan pemakaian kasut bertumit tinggi dan kasut baji untuk tampil langsing.

Bagaimanapun kini, dia banyak memberi peluang kepada pelanggan mendapatkan rekaan kasut tersendiri dan hanya perlu menghantar lakaran kasut dikehendaki.

“Saya tidak berpeluang menghasilkan rekaan kasut kerana sibuk dengan urusan pengajian dan hanya memberi tumpuan kepada rekaan dihantar pelanggan.

“Tetapi bukan bermakna saya tidak memberikan idea untuk menghasilkan rekaan kasut terbaru cuma mengehadkan sedikit pembabitan dan memberi fokus kepada pelajaran,” katanya.

Di samping itu, dia turut memiliki dua kilang mini dengan bantuan lima kakitangan bagi menampung permintaan terhadap koleksi kasutnya.

Memandangkan setiap rekaan buatan tangan, ia sememangnya memerlukan masa yang agak lama untuk menyediakannya.

“Kami boleh menyediakan 50 tempahan kasut sehari mengikut kesukaran rekaan dan bahan digunakan.

“Selain kasut wanita, saya turut menghasilkan rekaan kasut lelaki walaupun permintaan tidak sehebat koleksi wanita,” katanya.

Terbaru selain kasut, dia mengetengahkan rekaan beg kulit buatan sendiri dengan memfokuskan corak etnik sebagai daya penarik.

Walaupun rekaan diketengahkan masih baru di pasaran, sambutan diberikan penggemar beg amat memberangsangkan.

Antara selebriti terkenal yang pernah menggunakan kasut jenama YMS ialah Nasha Aziz, Yasmin Hani, Lisa Surihani dan Marsha manakala Nazmi Faiz pula bagi koleksi kasut lelaki.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

910 views