Nurliana Tak Cepat Mengalah
Dia mengambil masa beberapa bulan sebelum benar-benar dapat menyesuaikan diri mengajar di sekolah pendidikan khas.
Walaupun pernah tiga kali menjalani latihan amali di beberapa sekolah sepanjang tempoh lima tahun setengah menuntut di Institut Perguruan Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur, cabaran yang digalas kini terasa amat berbeza buat Nurliana Hassan, 27.
“Ramai yang beranggapan profesion sebagai se-orang guru itu kerjanya mudah. Namun hakikatnya, ia memerlukan kekuatan diri dari segi mental dan fizikal apatah lagi perkembangan dunia pendidikan masa kini yang penuh cabaran.
“Percayalah, ia tidak semudah seperti yang disangka kerana kami juga mengharungi seribu satu kesenangan dan kesulitan ketika mengajar pelajar terutama anak-anak istimewa di dalam kelas pendidikan khas.
“Jika pelajar normal boleh berlaku kasar, begitu juga pelajar pendidikan khas ini dan kadang-kadang tingkah laku mereka sukar dijangka. Kalau seorang guru itu tidak mempunyai iman serta tahap kesabaran yang tinggi, pastinya pelajar berkenaan dimarahi dan sebagainya,” katanya.
Menggalas cabaran sebagai guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi, Senawang, Negeri Sembilan, dia harus berhadapan dengan 11 pelajar yang mempunyai masalah disleksia, sindrom Down dan lembam.
Mengajar bersama se-orang lagi guru, mereka turut mempunyai seorang pembantu yang akan mengurus keperluan pelajar seperti ketika mereka mahu makan atau pergi ke tandas.
Tidak mahu menipu, di awal tempoh kerjayanya, dia pernah mengeluh dengan kerenah pelajar tetapi tidak mahu cepat mengalah kerana ia satu tanggungjawab
murni untuk membantu mendidik mereka supaya sekurang-kurangnya dapat berdikari seperti insan normal lain.
Baginya, merungut bukanlah satu penyelesaian terbaik dan menyalahkan orang lain juga bukan jawapan paling bagus. Tidak ramai yang sanggup memilih subjek ini apatah lagi bagi guru muda dan belum berkahwin.
“Jujurnya, hasrat saya mahu mengajar subjek matematik atau Bahasa Inggeris tetapi hasrat itu tidak ke-sampaian dan saya menjadi guru di sekolah pendidikan khas.
“Bagaimanapun, saya tetap gembira dengan peluang yang diberikan kerana saya mempunyai ilmu baru dan lain daripada guru biasa iaitu memahami bahasa isyarat.
“Selain itu, saya juga harus mengetahui bahasa tubuh pelajar kerana ramai antara mereka yang kurang fasih bertutur,” jelasnya.
Untuk memastikan semua pelajarnya menumpukan perhatian dengan pembelajaran yang sedang berlangsung juga menjadi dugaan terbesar buat Nurliana.
Ini kerana, kebanyakan daripada mereka tidak tahu duduk diam, berkhayal dan suka bercakap. Justeru, pendekatan memujuk dan mengajar mereka satu persatu diambil oleh Nurliana agar anak muridnya tidak tercicir.
Program Pendidikan Khas adalah tempat untuk anak istimewa menimba ilmu yang mana guru memberi perkhidmatan dan sumbangan dalam bentuk bimbingan, nasihat, tunjuk ajar, pengajaran dan pembelajaran.
Oleh kerana itu, Nurliana sedar dan bersungguh-sungguh memberikan perkhidmatan sebaiknya. Wajar difahami, masyarakat khususnya ibu bapa meletakkan harapan tinggi dalam perkembangan anak istimewa.
Bagaimanapun, terdetik di hati Nurliana bahawa tugas mendidik dan mengajar mereka bukan 100 peratus jatuh ke tangan seorang insan bergelar guru.
“Memang tugas warga pendidik mengajar pelajar tetapi saya percaya pendidikan bermula dari rumah. Kami mengajar dan membantu mereka sekadar yang mampu tetapi ibu bapa juga seharusnya memainkan peranan penting.
“Sekiranya di rumah, anak perlu dilatih sebagaimana mereka boleh mengawal diri di sekolah dan bukannya dibiarkan saja tanpa sebarang perhatian.
“Jika mereka sudah terbiasa dengan pengabaian atau sikap sambil lewa ibu bapa ketika mereka memberontak, merengek mahupun melakukan sesuatu aktiviti, tidak mustahil ia menjadi sebati di dalam diri anak,” katanya yang baru mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Mohd Faisal Samian, tiga minggu lalu.
Mendapat sokongan padu daripada keluarga tercinta terutama ibu bapanya iaitu Roziah Sulaiman, 50, dan Hassan Siraj, 52, Nurliana tetap percaya dengan niat yang betul berbekalkan semangat dan kesungguhannya dalam usaha mendidik anak-anak terpilih ini, jalannya pasti dipermudahkan oleh Tuhan.
Selain kesibukan mengajar di sekolah, Nurliana juga mampu membahagikan masa dengan baik meneruskan minatnya terhadap bidang fesyen. Suka berpenampilan cantik dan menarik, dia serius berniaga secara dalam talian sejak tiga tahun lalu.
Walaupun suka berniaga, ia tidak menjejaskan tumpuannya sebagai guru. Tugas mendidik tetap diutamakan kerana ia adalah cinta pertamanya yang mahu berbakti kepada bangsa dan negara.
Oleh itu, Nurliana menjadikan perniagaan dalam talian sebagai mata pencarian sampingan tanpa menjejaskan tumpuan untuk menggalas tanggungjawab mulia mendidik anak bangsa.