Otak Keliru 2 Imej Berbeza
Mata malas atau amblyopia adalah keadaan kekurangan tahap penglihatan mata disebabkan ia jarang digunakan sejak kecil.
Ia berpunca daripada gangguan pada perkembangan sistem penglihatan semasa kecil. Masalah ini biasanya hanya berlaku pada sebelah bahagian mata sama ada kiri atau kanan, namun kadangkala ia juga boleh terjadi di kedua-dua mata.
Pembetulan penglihatan yang terbaik boleh dicapai selepas menggunakan cermin mata. Jika mata dapat mencapai ketajaman penglihatan sehingga 100 peratus dengan penggunaan cermin mata, mata berkenaan bukan dikategorikan sebagai mata malas.
Punca dan kesan mata malas
Menurut Pakar Perunding Oftalmologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Tan Niap Ming, apabila bayi dilahirkan, matanya masih belum dapat melihat persekitaran dengan baik.
“Perkembangan yang berterusan dan proses pembelajaran diperlukan di antara mata dan otak untuk mengasah keupayaan melihat dengan lebih tajam.
“Tempoh enam tahun dalam kehidupan awal selepas kelahiran adalah masa yang sangat penting kerana mata malas boleh berlaku apabila terdapat halangan saat pembelajaran ini berlangsung.
“Ia berlaku apabila otak menumpukan perhatian kepada satu bahagian mata saja untuk melihat berbanding menggunakan kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Ia sekali gus membuatkan imej lebih jelas dapat dilihat pada retina sebelah mata saja. Kesannya, otak akan mengabaikan atau membiarkan sebelah mata yang lain dengan imej kabur tanpa meningkatkan potensi ketajaman penglihatan secara sepenuhnya.
Mata malas boleh berpunca daripada beberapa faktor seperti masalah juling dan kesilapan biasan. Bagi yang mempunyai masalah juling, pandangan mata pada imej berbeza di kedua-dua mata akan menyebabkan kekeliruan kepada otak untuk menerima objek berlainan dalam satu masa.
Otak kanak-kanak yang masih segar ini akan menutup atau mengabaikan dua imej berbeza yang dilihat daripada mata juling.
Jika ia berlaku secara berterusan, potensi melihat dengan ketajaman mata sepenuhnya tidak akan dicapai. Selain itu, mata malas juga dikaitkan dengan ke–silapan biasan.
Kesilapan biasan biasanya terjadi lebih daripada satu pancaran di dalam mata seperti yang dihidapi penghidap masalah astigmatisme kekaburan penglihatan akibat ketidakseragaman lengkungan pada kanta mata atau kornea yang tinggi dan rabun jauh.
Kesilapan biasan menyebabkan imej kabur pada retina dan cermin mata diperlukan untuk memberi fokus pada imej. Otak secara semula jadi akan memilih untuk menggunakan mata dengan imej yang lebih jelas dan mengabaikan objek kabur.
Pandangan mata akan terhalang berdasarkan beberapa faktor seperti kelopak mata jatuh, katarak atau kegelapan kornea yang berlaku sewaktu kelahiran atau pada usia yang masih kecil.
“Gejala mata malas antaranya mengalami masalah penglihatan yang kurang baik atau kabur dan ketajamannya sukar diperbaiki sehingga menjadi tahap 20/20 atau sepenuhnya dengan penggunaan cermin mata.
“Namun, ia boleh diperbaiki jika masalah ini dapat dikenal pasti di peringkat awal semasa kanak-kanak. Disebabkan otak tidak dapat meningkatkan potensi ketajaman mata ketika dewasa, rawatan mata malas mesti dilakukan seawal mungkin.
“Jika perlu, kanak-kanak harus memakai cermin mata dalam beberapa jam sehari untuk menggalakkan dan merangsang otak belajar melihat menggunakan mata malas berkenaan,” katanya.
Tambahnya, ia tidak akan menyebabkan masalah yang lebih teruk apabila kanak-kanak yang menghidap mata malas itu meningkat dewasa.
Namun, sekiranya rawatan lambat diberikan, ia akan mengurangkan hasil ketajaman yang diperoleh secara jelas. Lebih tua seseorang penghidap mata malas itu, semakin sukar untuk memperbaiki penglihatannya.
Secara umumnya, apabila seorang kanak-kanak sudah melebihi usia 10 tahun, ia akan menyukarkan keberkesanan rawatan.
Perlu diingat, mata malas adalah masalah yang statik atau tidak berubah kecuali mendapat rawatan awal. Apabila potensi otak dan mata sudah dibiasakan dengan keadaan penglihatan yang kabur sejak kecil, kemungkinan untuk diperbetulkan agak sukar apabila mereka dewasa.
Disebabkan masalah mata malas sering dipandang remeh dan ada sesetengah ibu bapa terlepas pandang apabila anak mengadu mengalami penglihatan yang kabur, keadaan ini sukar dikenal pasti sejak awal.