Paduan Gincu Terang, Gelap

BUKAN pakaian saja perlu kelihatan elegan dan menarik, solekan wajah perlu dirias cantik bersesuaian dengan majlis dihadiri.

Untuk itu, solekan yang menyerlahkan kejelitaan dan tampak berbeza menjadi pilihan ketika bergaya.

Namun, harus berhati-hati apabila memilih gaya sebegini bersesuaian dengan tempat dan masa.

Mungkin agak pelik apabila mengenakan gaya sebegini untuk ke pejabat, tetapi ia sangat sesuai untuk menghadiri majlis makan malam, parti, pertunjukan fesyen, perkahwinan atau penggambaran.

Berikut antara panduan yang boleh digunakan untuk menghasilkan riasan gaya glamor:

1) Pada peringkat awal sapukan pelembap dan sedikit penyamar cela yang berwarna cerah daripada kulit asal.

2) Sapukan bedak asas pada seluruh wajah dan pastikan warna bedak asas di bahagian dagu sama dengan leher. Kemudian sapukan bedak kompak dengan pilihan warna menyerlah.

3) Gaya solekan sebegini juga perlu tahan lebih lama berbanding solekan biasa. Seeloknya, pakai bedak asas jenis cecair terlebih dulu sebelum bedak kompak (two way cake). Ini bagi memastikan solekan tampak lebih tebal dan lembut.

4) Beri tumpuan solekan pembayang pada tulang pipi dan bawah dagu bagi memberikan ilusi wajah bujur.

5) Untuk pemilihan gincu, pastikan warna terang dan satu warna lebih gelap daripada gincu biasa anda. Gunakan penggaris bibir yang sesuai.

6) Untuk pipi dan mata, pastikan warna bersinar tetapi bersih.

7) Untuk hasil yang lebih baik, penggaris mata perlu disapukan lebih tebal di hujung mata dan kecilkan apabila menghampiri kawasan dalam mata.

8) Sapukan pembayang mata dengan kemas di kelopak mata atas dan hanya sedikit di kelopak mata bawah.

9) Sentiasa bawa pengilat bibir kerana ia dapat membaiki penampilan biarpun selepas mengambil makanan berat sepanjang majlis berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

872 views