Paduan Rona Terang, Gelap
HARUMAN lavender dan mawar memenuhi segenap ruang. Gubahan bunga tiruan ala Inggeris selain mempesona pandangan mata juga mewujudkan situasi tenang dan mendamaikan, sesuai dengan konsep yang diketengahkan.
Bukan saja pada reka bentuk butik, malah koleksi pakaian ditampilkan Yan’s Creation mengambil inspirasi daripada pengaruh Victoria, Melayu klasik Indonesia serta ala gipsi.
Menariknya, setiap himpunan menawarkan rekaan unik seperti gaun ala jubah, kaftan, baju kurung, kebaya, blaus dipadankan palazo dan skirt labuh.
Menurut pemilik Yan’s Creation, Yani Bachtiar, 49, setiap rekaan mempunyai identiti tersendiri sesuai untuk acara kasual. Dia yang pernah menimba ilmu gubahan dan jahitan di Amsterdam dan Australia mengakui setiap potongan direka bagi memberi keselesaan kepada wanita.
“Untuk itu setiap padanan menggunakan fabrik lembut bermutu seperti sutera satin, baldu, lycra dan sifon kemudian diperindahkan menerusi motif bunga-bungaan menggunakan tampalan bunga, reben, manik dan jemeki bagi menambah unsur elegan kepada si pemakai,” katanya.
Bagi Yani, kualiti amat dititikberatkan dalam setiap rekaan kerana di situlah letaknya tanda pengenalan jenama ini sejak pembukaan pertama di Ampang Park, 20 tahun lalu.
Selain menampilkan warna gelap dan lembut, Yani sentiasa mengikuti perkembangan semasa dengan memilih rona terang dan pelbagai bagi mempraktikkan konsep suai padan.
“Kini pemilihan rona terang sebagai memenuhi konsep warna blocking menjadi pilihan semua tidak kira sama ada remaja atau wanita pertengahan usia. Dengan menyediakan kepelbagaian rekaan dan warna, pelanggan boleh memilih padanan sesuai bagi memenuhi acara yang akan dihadiri mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Yan’s creation juga banyak menampilkan rekaan blaus berpotongan jubah paras lutut yang boleh dipadankan dengan seluar atau skirt.
Sesuai untuk percutian hujung tahun selain tambahan perhiasan seperti rantai dan anting-anting, Yani juga menghasilkan rekaan topi dihiasi bunga dan reben bagi menampilkan gaya elegan wanita.
Setiap satunya direka menggunakan bunga tiruan berkonsepkan ala Inggeris dan sesuai dipadankan sama ada dengan blaus atau kaftan.
“Bagi mereka yang ingin tampil ringkas, kaftan labuh warna polos sesuai dipadankan dengan palazo manakala bagi mereka yang ingin bereksperimen dengan warna bolehlah memilih kaftan potongan pendek atau separa warna terang dipadankan skirt atau pario warna berbeza,” ujarnya.
Tambah Yani, kaftan dianggap istimewa kerana ia tampak ideal digayakan wanita bertudung mahupun tidak bertudung. Bagi mereka yang tidak bertudung, pastikan rambut diikat atau didandan sanggul atau boleh digayakan dengan topi untuk kelainan.
Selain baju, dia turut menyediakan gubahan bunga ala Inggeris di butik yang terhasil selepas menutup Yan’s Collection di Suria KLCC, sedekad lalu. Ketika itu Yani mempunyai dua perniagaan iaitu Yan’s Collection dan kedai bunga, Yan’s Creation.
“Tetapi apabila butik di KLCC ditutup, saya mula bingung memikirkan lokasi sesuai bagi menempatkan stok pakaian yang masih berbaki. Lalu timbul idea melakukan transformasi di Yan’s Creation dengan menjual bunga dan pakaian,” terang Yani yang berasal dari Padang, Indonesia.
Menjelang 2013, menurut Yani, rona ceria masih menjadi kegilaan ramai selain pakaian moden Muslimah seperti gaun labuh, jubah dan kaftan menjadi pilihan wanita.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30