Paha Pejal, Mantap
Senaman membina otot sering dikaitkan dengan sukan bina badan atau angkat berat. Bagi kebanyakan kita, membina otot bukanlah satu perkara penting kerana apa yang lebih utama ialah meningkatkan kekuatan otot.
Semestinya membina otot memerlukan belanja yang tinggi untuk membeli peralatannya atau menjadi ahli gimnasium.
Senaman membina otot juga memerlukan komitmen dan perbelanjaan yang tinggi selain sentiasa menjaga makan supaya apa yang diinginkan itu tercapai.
Sebenarnya senaman membina otot atau senaman angkat berat ada banyak kelebihan kerana ia mampu menjadikan badan kita kelihatan cantik dan sihat.
Pelatih senaman, Adila Idris berkata, senaman otot ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara iaitu dengan menggunakan peralatan yang ada di sekitar kita seperti kerusi, dinding, botol air mineral dan tuala.
Antara senaman yang boleh diamalkan untuk membina otot paha supaya kelihatan mantap dan pejal ialah Squat yang sangat bagus untuk anda yang ingin mempunyai punggung yang mantap dan pejal. Ia baik untuk menguatkan otot paha di bahagian depan dan belakang.
Mencangkung juga dapat menguatkan otot quadriseps (peha depan), hamstring (peha
belakang) dan gluteal (punggung).
Caranya ialah jarakkan kedua-dua kaki seluas bahu. Kemudian bengkokkan lutut dan rendahkan badan perlahan-lahan seperti orang duduk di atas kerusi. Pastikan kedua-dua lutut tidak melebihi kaki dan tulang belakang lurus serta tidak membongkok.
Persediaan sebelum bersenam
Sebelum melakukan sesuatu senaman, anda perlu membuat persediaan yang sepatutnya untuk mengelakkan kecederaan. Persediaan ini amat penting untuk memberi tenaga kepada badan bagi memulakan senaman iaitu daripada tahap biasa kepada yang lebih berat. Antara persediaan yang perlu dilakukan ialah.
Perlu berada dalam keadaan yang baik iaitu tidur secukupnya. Tidur amat penting bagi mengelakkan tubuh badan menjadi lesu ketika membuat senaman.
Kenal pasti matlamat anda yang sebenarnya. Jika matlamat untuk menurunkan berat badan, pastikan tidak mengambil makanan berat dalam tempoh empat hingga lima jam sebelum memulakan senaman.
Waktu awal pagi adalah paling sesuai kerana ketika itu perut masih kosong daripada sumber karbohidrat. Pastikan membawa sebotol air ketika ke taman dan minum air sebelum memulakan senaman.
Sekiranya senaman untuk kecergasan, perlukan tenaga yang banyak. Kombinasi karbohidrat kompleks dan karbohidrat ringkas makanan terbaik yang perlu diambil kira-kira 30 hingga 60 minit sebelum bersenam.
Ketika berada di taman, buat senaman regangan terlebih dulu iaitu mulakan daripada kepala, tangan, bahu, hingga ke kaki.
Kemudian lakukan senaman pemanas badan seperti berjalan pada kepantasan berbeza dan berlari anak dalam tempoh sekurang-kurangnya lima minit. Selepas aktiviti pemanas badan ini, anda boleh meneruskan senaman yang lebih berat.
Jangan teruskan larian jika matlamat untuk menurunkan berat badan dan menghilangkan lemak. Lakukan senaman rintangan iaitu tekan tubi, bangun tubi dan lunges dalam beberapa kiraan. Empat senaman ini akan menguatkan otot di bahagian paha, perut dan belakang.