Panduan Warna Solekan Mata

Sepasang kebaya pendek keemasan dengan ikatan selendang menambah seri si jelita untuk tampil anggun pada pagi Syawal. Lengkap berpakaian, langkah si gadis disusun penuh teratur menyambut kehadiran tetamu.

Namun penampilan tidak lengkap tanpa solekan. Sempena sambutan lebaran, apa salahnya jika anda berhias cantik menggunakan set lengkap alat solek supaya wajah tampil segar sepanjang hari.

Bagi Nur Ridzuani Alias atau mesra disapa Zue, setiap tahun dia memilih menggayakan sepasang kebaya atau baju kurung klasik pada pagi raya kerana ingin mengekalkan busana tradisional yang mempunyai nilai tersendiri sama ada pada potongan serta perhiasannya.

Namun berpakaian anggun saja tidak mencukupi tanpa solekan lengkap sebagai memenuhi tema gaya. Untuk itu, dia memastikan rutin penjagaan wajah dilakukan dengan sempurna dua minggu sebelum raya iaitu membersih, menyegar dan melembap bagi memastikan kulit kekal berseri terutama apabila disolek.

“Saya akui tidak menghadapi masalah pada kulit, cuma kadangkala apabila terlalu kering atau kurang mengambil air kosong, kulit kelihatan kering. Sebab itu ketika Ramadan, saya pastikan minum air suam yang banyak serta mengambil buah-buahan segar bagi memastikan kulit mendapat cukup mineral yang diperlukan,” katanya.

Dia yang bijak memilih warna pembayang mata menjelaskan, kuasa magis penggunaan rona segar mampu membuai aura kejelitaan wanita. Ditambah pemilihan selendang serta pakaian sepadan yang menjadikan penampilan anggun dan menawan, tidak kira sama ada ketika menghadiri acara rasmi atau kasual.

Walaupun tanpa perkhidmatan jurusolek profesional, anda mampu hadir memikat sekiranya mengetahui teknik memadankan warna bedak asas, pembayang mata serta gincu mengikut warna kulit.

Teruja melakukan solekan sendiri, Zue tekad mempelajari teknik asas solekan yang disifatkan sangat penting terutama ketika memilih paduan warna pada solekan mata.

“Ini kerana pembayang mata rona ceria, celak serta maskara mampu membuatkan mata galak bersinar seterusnya menjadikan wajah berseri berbeza daripada usia sebenar,” katanya.

Menurut Zue, apa yang penting wanita harus tahu kekuatan wajah terutama warna dan jenis kulit bagi memastikan rona bedak asas sesuai disapu pada keseluruhan wajah. Konsepnya sama seperti melakar warna pada sekeping kanvas yang memerlukan wanita berimaginasi mengenai tema pakaian serta tudung yang akan digayakan. Jangan bimbang sekiranya salah memilih pembayang mata kerana semua ini boleh dikurangkan dengan mengalas rona pastel seperti coklat dan kelabu pada kelopak mata.

Selepas selesai, sapukan pemerah pipi pada tulang pipi dengan memberikan senyuman ketika sapuan dilakukan supaya wajah tampak berseri. Pemilihan gincu dan pengilat bibir menjadikan wajah kekal anggun sepanjang masa. Elakkan gincu terlalu terang sekiranya anda tidak selesa dengannya, sebaliknya pilih rona segar merah jambu berkilat bagi menampakkan bibir seksi, merekah bak delima.

Bagi mereka yang ingin tampil sederhana, tidak perlu memakai bulu mata palsu. Namun bagi mereka yang ingin menghadiri majlis rumah terbuka dengan gaya moden, boleh mengenakan bulu mata palsu supaya mata lebih galak bersinar.

Panduan untuk mereka yang tidak suka bersolek:

Penggunaan celak tebal membantu menyembunyikan bulu mata nipis dan tidak perlu menggunakan pembayang mata tebal. Pensel mata berwarna gelap juga sesuai untuk menampakkan kesan mata lebih besar.

Mata adalah kuasa pemikat luar biasa untuk wanita, justeru, maskara mampu membuatkan mata lebih galak. Anda tidak perlu mengenakan bulu mata palsu semata-mata untuk mendapatkan mata yang cantik. Cukuplah sekadar mengenakan maskara hitam nipis sebagai penghias wajah.

Bagi anda yang tidak suka memakai gincu, dinasihatkan mencari pelembap bibir berwarna. Ada wanita yang hanya inginkan bibir kelihatan berwarna dan tidak nampak pucat. Untuk itu, gunakan pelembap bibir merah jambu.

Bagi yang memerlukan alat solek yang bertindak sebagai gincu dan pemerah pipi, anda boleh menggunakan pada bibir dan wajah, sekali gus mengelak wajah kelihatan pucat.

Sapu pelembap wajah bersesuaian dengan tekstur kulit. Anda dapat rasakan yang anda tidak perlu mengenakan bedak padat atau bedak asas yang tebal untuk kelihatan jelita. Kulit anda juga tidak kering dan kelihatan lebih segar.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,735 views