Pasangan Kurang Kesedaran

“Doktor saya sudah berkahwin selama setahun, tetapi masih belum hamil. Bagaimana cara untuk cepat dapat anak kerana ibu sudah bising dan bertanya bila dia dapat menimang cucu. Saya sangat tertekan, tambahan pula dengan pertanyaan rakan di pejabat yang mengatakan saya merancang sedangkan saya tidak menggunakan sebarang perancang keluarga,” kata Maslina, 30, ketika bertemu pakar sakit puan bagi membincangkan masalah kesuburannya.

Sukar hamil atau masalah kesuburan antara masalah kesihatan yang perlu dipandang serius. Menurut kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, dari 1963 sehingga 2014, jumlah kadar kesuburan semakin menurun daripada 6.1 kepada 2.1. Walaupun ia belum ke paras drastik seperti Hong Kong, Korea dan Singapura, penurunan ini sudah tentu mengurangkan populasi dan menyumbang kepada fenomena serius populasi yang semakin tua pada masa depan sekali gus mempengaruhi ekonomi negara.

Situasi ini berlaku disebabkan ramai wanita berkerjaya menangguhkan perkahwinan atas sebab kerjaya manakala mereka yang sudah berkahwin pula tidak mahu hamil atas alasan kewangan serta membeli keperluan seperti rumah dan kereta.

Ada pula yang memikirkan aspek kos penjagaan anak dan tempat asuhan kanak-kanak menyebabkan mereka merancang untuk tempoh lama. Apabila kewangan mencukupi dan bersedia untuk hamil, pada masa itu kesuburan pun menurun disebabkan usia lanjut.

Ini diakui oleh Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pusrawi Dr Natasha Ain Mohd Nor apabila menjelaskan ramai pasangan Malaysia kurang kesedaran mengenai kesuburan dan menganggap mereka boleh hamil seperti biasa tanpa memikirkan kepentingan faktor usia yang mempengaruhi tahap kesuburan mereka.

“Sebab itu ada yang melambat-lambatkan perkahwinan, ada yang sudah berkahwin menangguhkan peluang untuk hamil dan tidak bertemu doktor apabila tidak mengandung selepas usia perkahwinan menjangkau enam bulan ke setahun. Apabila sampai waktu mereka bersedia mengandung, peluang untuk hamil lebih rendah disebabkan masalah kesuburan,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, pasangan itu dikatakan mengalami masalah kesuburan apabila gagal hamil selepas satu tahun melakukan hubungan kelamin yang kerap tanpa penggunaan sebarang kontraseptif. Bukti statistik menunjukkan 84 peratus daripada pasangan akan hamil dalam tempoh setahun bersama manakala kira-kira 90 peratus daripada pasangan akan hamil dalam masa dua tahun mencuba.

“Apabila melalui keadaan ini, pasangan diminta bertemu doktor kesuburan bagi mencari punca masalah. Bagi yang mengalami haid tidak teratur atau senggugut yang teruk tidak perlu menunggu sehingga setahun, sebaliknya perlu bertemu doktor apabila tidak hamil dalam tempoh enam bulan. Begitu juga wanita yang berusia 35 tahun ke atas tidak seharusnya melengahkan rawatan kesuburan yang diperlukan.

Lelaki juga kurang subur

Apabila berbicara mengenai faktor kesuburan, bukan hanya golongan wanita dikaitkan dengan kemerosotan kesuburan, golongan lelaki juga menghadapi masalah sama. Ini berdasarkan kajian yang mengaitkan 35 peratus berpunca daripada wanita, 35 peratus lelaki , 20 peratus disebabkan kedua-duanya manakala 10 peratus sukar ditentukan punca.

Berdasarkan pengalaman menjalankan rawatan kesuburan, Dr Natasha tidak mempunyai masalah menjalankan pemeriksaan ke atas lelaki sekiranya diperlukan. Apabila wanita bertemu doktor biasanya mereka ditemani pasangan, jadi mereka membuat pemeriksaan bersama-sama.

“Antara faktor yang menyumbang kepada masalah kesuburan wanita apabila mereka tidak dapat mengeluarkan telur matang untuk persenyawaan yang dikenali sebagai Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS). Selebihnya disebabkan jangkitan saluran peranakan dan endometriosis. Malah gejala obesiti kini turut menyumbang kepada ketidaksuburan dalam kalangan wanita Malaysia.

“Apabila seseorang itu gemuk, paras hormon individu itu menjadi tidak seimbang dan berlaku masalah telur tidak matang manakala ovulasi tidak berlaku setiap bulan,” katanya.

Bagi lelaki pula, gaya hidup tidak sihat, merokok serta pertambahan usia menyebabkan sperma mengalami penurunan satu peratus setiap tahun. Ditambah kehidupan yang semakin mencabar, ramai pasangan hanya melakukan seks seminggu sekali atau langsung tidak bersama dalam tempoh yang lama menyebabkan pasangan wanita mereka sukar hamil.

Rawatan kesuburan

Untuk memastikan punca ketidaksuburan, pasangan perlu menjalani ujian kesuburan. Namun sebelum ujian dijalankan, pakar ginekologi mencatat latar belakang pasangan kerana maklumat seperti tempoh perkahwinan, sejarah mengandung, kitaran haid dan masalah perubatan sangat penting diketahui.

Seterusnya, beberapa saringan ujian untuk pasangan perlu dijalankan bagi memastikan punca dan rawatan kesuburan yang sesuai diberikan.

Bagi wanita, ujian darah dilakukan bagi mengetahui paras hormon tertentu. Kemudian imbasan pelvis dijalankan untuk menguji sama ada terdapat ketidaknormalan pada rahim atau cyst pada kilang telur. Sekiranya kedua-dua ujian ini normal, barulah saluran peranakan atau tiub fallopio diperiksa untuk mengetahui keadaan saluran peranakan.

“Terdapat dua kaedah yang biasa dilakukan untuk memeriksa saluran peranakan iaitu Hysterosalpingogram (HSG) iaitu dengan memasukkan cecair khas melalui pangkal rahim dan beberapa imbasan sinaran-x bahagian pelvis diambil untuk mengetahui sama ada saluran peranakan tersumbat atau tidak.

“Kaedah kedua ialah menerusi pembedahan yang dinamakan ‘Diagnostic laparoscopy and dye’ apabila pesakit diberi bius penuh dan teropong kamera dimasukkan melalui hirisan halus pada bahagian pusat. Bahagian dalam perut, rahim dan saluran peranakan dapat dilihat dengan jelas untuk mengetahui punca ketidaksuburan.

“Pada masa sama, cecair khas boleh dimasukkan melalui faraj dan seterusnya saluran peranakan untuk mengetahui sama ada ia tersumbat atau tidak,” katanya.
Suami pula perlu memberikan sampel air mani untuk diperiksa di bawah mikroskop. Sebaik-baiknya analisis ini perlu dibuat sebelum isteri menjalani pemeriksaan saluran peranakan. Bilangan, kadar pergerakan dan kenormalan sperma akan diperiksa.

Selepas semua ujian dijalankan, barulah doktor memberikan rawatan kesuburan yang bersesuaian bergantung pada usia dan masalah dihadapi. Biasanya ada dua rawatan penting untuk kesuburan iaitu rawatan IUI atau permanian berhadas serta IVF.

Permanian berhadas (IUI)

IUI adalah salah satu prosedur rawatan untuk kesuburan apabila sperma dimasukkan ke dalam rahim menggunakan tiub plastik yang halus. Ini untuk memastikan sebanyak mungkin sperma aktif dapat sampai ke dalam saluran peranakan untuk disenyawakan dengan telur (ovum).

“Prosedur IUI membabitkan pasangan wanita yang diberikan ubat atau hormon untuk merangsang telur. Imbasan dilakukan untuk memantau saiz perkembangan folikel. Apabila saiz folikel melebihi 17 hingga 18mm ke atas, ubat HCG diberikan untuk mematangkan folikel dan proses ovulasi akan berlaku. Kira-kira 36 jam selepas suntikan HCG diberikan, prosedur IUI akan dibuat.

“Pada hari yang sama proses IUI, pasangan lelaki diminta memberikan sampel sperma yang akan ‘diproses’ di makmal. Selepas sel, plasma dan sperma yang mati diasingkan, sperma yang aktif akan diperoleh dalam larutan terakhir. Sperma ini akan dimasukkan ke dalam rahim isteri melalui tiub plastik halus. Prosedur IUI mudah dan selalunya mengambil masa hanya lima minit untuk kebanyakan pesakit,” katanya.

Selepas itu, pesakit dibenarkan pulang ke rumah. Ujian kehamilan pula dibuat sekurang-kurang dua minggu selepas IUI manakala imbasan hanya dibuat sebulan selepas IUI untuk mengesahkan kehamilan.

“Peratus kejayaan kehamilan dengan IUI hanya 10 hingga 15 peratus saja dan IUI boleh dilakukan tiga hingga enam kali dan risiko IUI ini termasuklah kandungan kembar dan kandungan luar rahim. Sekiranya kali keenam IUI masih tidak berhasil, pesakit disyorkan untuk menjalani rawatan IVF,” jelasnya.

Rawatan bayi tabung uji (IVF)

IVF adalah rawatan kesuburan apabila telur disenyawakan oleh sperma di dalam tabung uji. Prosedur IVF lebih rumit dan membabitkan beberapa prosedur. Untuk itu, pasangan wanita mula menerima suntikan hormon yang diberikan pada hari kedua haid setiap hari. Tujuan suntikan hormon ini untuk merangsang kilang telur menghasilkan lebihan folikel.

Selepas itu, imbasan dilakukan beberapa kali untuk memantau folikel manakala dos hormon sama ada dinaikkan atau dikurangkan bergantung kepada tindak balas folikel.

“Pada hari ke-11 atau ke-14 haid, biasanya telur akan matang dan prosedur penyedutan telur atau OPU (Oocyte pick up) dilakukan. Pesakit diberi ubat pelali dan imbasan menerusi faraj dilakukan. Menggunakan jarum halus, folikel matang mengandungi telur (ovum) akan disedut melalui tebukan halus di lapisan atas faraj. Prosedur OPU selalunya mengambil masa selama setengah sehingga satu jam,” jelasnya.

Pada hari yang sama, pasangan lelaki diminta memberikan sampel sperma. Pakar embriologi mensenyawakan sperma dan ovum yang diperoleh. Embrio akan dihasilkan daripada percantuman sperma dan ovum.

“Pakar embriologi memantau perkembangan embrio dengan teliti. Selalunya tiga hari selepas prosedur OPU, embrio yang paling elok dan aktif dimasukkan kembali ke dalam rahim. Pesakit kemudiannya dibenarkan pulang selepas satu jam dan berehat di rumah selama beberapa hari. Sekiranya haid tidak datang seperti yang sepatutnya, kemungkinan kehamilan berlaku.

“Ujian kehamilan boleh dibuat dengan air kencing atau darah hanya selepas dua minggu. Tetapi imbasan untuk mengesan kehamilan hanya boleh dilakukan tiga hingga empat minggu. Sekiranya haid anda datang seperti biasa, prosedur IVF ini gagal.

“Walaupun peratusan kejayaan untuk hamil menggunakan kaedah IVF sebanyak 30 hingga 50 peratus, ia bergantung kepada beberapa faktor seperti umur pasangan wanita, kualiti telur atau sperma,” katanya.

Jelas Dr Natasha, terdapat beberapa komplikasi yang boleh berlaku selepas rawatan IVF seperti hiperstimulasi ovari, kandungan luar rahim dan kembar.

Walaupun ramai yang ingin melakukan rawatan IVF, kos yang mahal sekitar RM5,000 hingga RM20,000 menyebabkan pasangan terpaksa menangguhkannya dan ini menyumbang kepada masalah kesuburan yang lebih teruk apabila usia pasangan wanita semakin meningkat.

Ini kerana kualiti dan kuantiti telur wanita secara umumnya akan perlahan-lahan merosot selepas umurnya menjangkau 30 tahun.

Untuk gaya hidup sihat, pasangan lelaki dan wanita digalakkan mengambil makanan berkhasiat yang boleh menggalakkan kesuburan seperti salmon, asparagus, kekacang dan badam. Elakkan minuman mengandungi kafein kerana boleh menurunkan tahap kesuburan. Lakukan seks dua hingga tiga kali seminggu, menjaga berat badan, tidak merokok dan kerap melakukan senaman.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,365 views